
Kampung-kampung yang terjejas ialah Kampong Tanjong Maya, Panapar, Ukong, Lubok Pulau dan Kampong Layong yang melibatkan kira-kira 205 buah rumah, sejak turunnya hujan beberapa hari lalu.
Dari jumlah tersebut , 63 buah rumah darinya adalah di Kampong Tanjong Maya , 46 buah di Kampong Panapar, 40 buah di Kampong Lubok Pulau dan Kampong Layong melibatkan sebanyak 56 buah rumah.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan dan rombongan hari ini turun padang meninjau beberapa buah kampung di Daerah Tutong yang terlibat dalam banjir tersebut.
Lawatan Yang Berhormat bermula dari Kampong Tanjong Maya, sehingga ke Kampong Layong dengan berjalan kaki dan juga menggunakan kenderaan trak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Jabatan Daerah Tutong bagi melihatkan keadaan paras air yang tinggi serta membimbangkan kepada penduduk-penduduk kampung khususnya mangsa-mangsa banjir.
Kebanyakan rumah-rumah dan bangunan sekolah-sekolah rendah di kampung yang terbabit itu ditenggalami air dan sebahagian jalan raya pula tidak dapat dilalui kecuali menggunakan trak dan perahu.
Demi keselamatan mangsa-mangsa banjir di kampung yang terlibat sebahagian mereka telah di arah untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat dan sebahagian para mangsa juga ditempatkan di penempatan sementara yang disediakan oleh pihak kerajaan dan syarikat kerjasama di kampung berkenaan.

MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan diberikan penerangan oleh Penghulu Mukim Tanjong Maya Haji Abd Wahab bin Haji Apong . (Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
Bagi mangsa di Kampong Tanjong Maya, Panapar dan Kampong Lubok Pulau , mereka ditempatkan sementara di Bilik Perpustakan Masjid Kampong Tanjong Maya dan juga di Bangunan Syarikat Kerjasama Tanjong Maya Sdn Bhd dan juga di Balai Raya Kampong Layong.Para mangsa diberikan kemudahan seperti tilam, makanan dan sebagainya daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dalam perbincangan ringkas Yang Berhormat dan rombongan bersama para penghulu dan ketua kampung yang berlangsung di Balai Bomba Lamunin sejurus selepas lawatan itu,Yang Berhormat menyarankan agar mereka membuat tindakan-tindakan wajar dalam menangani para mangsa dengan segera.
Dalam menangani mangsa banjir, OPS Khidmat Sepadu katanya telah dibentuk bertempat di Bilik Gerakan Mukim Tanjong Maya, dan Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong yang melibatkan semua agensi-agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perkhidmatan Eletrik, Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan yang beroperasi 24 jam.
Dalam perbincangan itu, Yang Berhormat meminta agensi-agensi berkenaan supaya menyediakan kemudahan 'generator ' di setiap penempatan sementara para mangsa banjir itu, di samping kemudahan lain yang bersesuaian.
Yang Berhormat juga mengarahkan agensi yang terlibat supaya membuat lawatan ke setiap rumah-rumah yang terlibat dalam banjir, dikhuatiri terdapat orang tua atau mereka yang sakit yang memerlukan pertolongan dan perlu dihantar terus ke Rumah Sakit Duli Pengiran Muda Mahkota Tutong bagi tujuan rawatan, di samping memberikan kemudahan asasi seperti makanan, lilin dan sebagainya.
(Oleh : Haji Ahmad Haji Salim)
Kembali ke muka utama