Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Cetusan Minda

CETUSAN MINDA 38

FUNGSI OTAK MANUSIA TIDAK SAMA DENGAN FUNGSI MEKANIKAL KOMPUTER
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


AKAL atau 'otak' adalah suatu anugerah Allah yang begitu luar biasa. Suatu hal yang menjadikan manusia lebih mulia serta lebih unggul dibanding dengan binatang serta makhluk-makhluk lain yang diciptakan oleh Allah ialah akal. Akal yang membezakan manusia dengan haiwan.

Terdapat satu ungkapan di kalangan ilmuwan-ilmuwan tersohor Islam serta ilmuwan-ilmuwan Barat yang sepakat berkata bahawa 'dengan akal, manusia boleh membina dan mencipta kebun binatang tetapi binatang tidak mampu membuat kebun manusia.'

Sesungguhnya setiap anak damit yang lahir ke dunia ini adalah dalam keadaan yang cerdik atau genius, waima mereka itu berasal dari mana, keturunan siapa, berkulit apa, tetapi orang tua dan persekitarannya yang membuat mereka jadi tidak pintar.

Menurut penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar otak bahawa suatu hal yang lumrah dan wajar jika seorang anak damit berumur empat sampai lapan tahun, misalnya, mampu menguasai 16 bahasa. Jangan hairan?

Bukankah kita juga telah mengetahui dan sedia maklum bahawa terdapat kanak-kanak yang berumur tujuh tahun sudah hafal Al-Qur'an 30 juzuk. Kenapa? Kerana kemampuan otak atau akal manusia jauh lebih hebat dibanding sekadar itu. Demikian kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Otak manusia itu sama, tidak kira bangsa, tidak kira keturunan. Dan beza antara si cerdik dengan si lembap bukan kerana genetik.

Ahli Sains atau pakar otak telah menemui beberapa perkara yang ajaib mengenai sistem dan kuasa otak manusia. Menurut mereka, bahawa otak manusia mengandungi lebih kurang10 bilion sel yang disebut neuron.

Setiap neuron itu pula memiliki 10 ribu rangkaian dengan sel-sel lain. Tiap-tiap rangkaian ini dihubungkan oleh sejenis urat yang disebut synapse (istilah Melayu, sinapse). Ini bermakna bahawa dalam otak manusia terdapat sekurang-kurangnya 10 trilion, atau 10,000,000,000,000 (13 angka 0) sinapse.

Dan semua makhluk halus yang luar biasa banyaknya ini terkandung dalam otak manusia yang kecil sahaja saiznya. Berat otak hanya kira-kira tiga setengah paun. Lihat, betapa hebatnya keajaiban dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala. Allah yang menciptakan semua itu.

Nah kawan-kawan, carilah komputer yang paling canggih. Komputer yang tentunya dicipta oleh otak manusia. Carilah dan kakaslah. Otak manusia tidak akan sama dengan kebolehan atau kekuatan sistem otak manusia. Kenapa?

Menurut pakar-pakar otak serata dunia bahawa otak manusia dapat dan mampu menyimpan seribu bit maklumat baru tiap-tiap saat di sepanjang hayat manusia. Dan bagi manusia yang hidup selama lebih 60 tahun misalnya, bayangkan berapa banyak bit maklumat yang terakam atau tersimpan dalam otak manusia.

Memang menarik jika berbicara tentang otak dan perkembangannya sangat luar biasa. Ahli-ahli sains otak manusia berpendapat bahawa seluruh sistem telefon di dunia ini baru sama dengan kira-kira satu gram saiz otak manusia. Satu gram sama dengan sebiji kacang! Dan kajian terbaru juga mendapati bahawa apa-apa maklumat yang tersimpan dalam otak manusia sejak manusia itu masih anak damit dapat diingat oleh manusia itu sekiranya dia mengetahui tekniknya.

Nah! Kawan-kawan, komputer peribadi saya seberat enam paun (diulang, seberat enam paun) dapat memproses dan menyimpan lebih lima giga byte (yakni lima bilion megabyte) yang dapat menyimpan kira-kira lima buah ensiklopedia setebal 30 jilid tiap satu set dalam cakera padatnya, bayangkan daya muat komputer seberat 10 tan, ya daya muat komputer seberat 10 tan, yang boleh menyimpan data beratus bilion megabyte saiznya.

Nah, daya muat komputer 10 tan itulah saiz muatan otak manusia. Muatan maklumat dalam otak manusia sama dengan saiz muatan komputer 10 tan. Bayangkan! Ini bukan cakap saya. Ini cakap pakar otak, pun juga cakap pakar komputer.

Namun hingga kini, manusia dari jurusan pakar manapun masih teraba-raba di mana letaknya 'akal' atau 'minda' manusia. Adakah 'minda' itu letaknya di dalam kepala atau otak manusia? Bagaimanakah rupa 'minda' itu? Apakah kuasanya?

Contoh, jika manusia berfikir, mengingat sesuatu, menghasilkan sebuah syair, puisi, lagu atau muzik, atau karya seni yang hebat, adakah kebolehan ini datangnya daripada otak manusia semata-mata atau dibantu juga oleh sistem lain yang lebih kuat dari otak manusia?

Tapi, hubaya-hubaya dan ingat kawan-kawan, jangan cuba-cuba samakan kerja otak dengan kerja mesin atau komputer. Fungsi otak manusia tidak sama dengan fungsi mekanikal komputer atau sebarang mesin.

Kenapa? Kerana mesin atau komputer menerima dan memproses maklumat secara mekanikal, langsung tidak dibantu, ya tidak ditolong oleh hati atau sanubari atau perasaan manusia. Misal saja, haiwan mempunyai naluri atau instinct. Haiwan tidak sekadar makan secara mekanikal. Haiwan dipandu oleh nalurinya. Apatah lagi manusia.

Yang jelas dalam otak manusia, kita mengenal ada berbagai macam tingkat kecerdasan. Terdapat kecerdasan intelektual bagi ahli pemikir seperti pakar Sains dan lain-lain. Ada kecerdasan perasaan atau emosional. Ada kecerdasan bahasa seperti pakar bahasa. Ada kecerdasan muzikal seperti penyanyi, seniman dan lain-lain. Ada kecerdasan motivasi seperti pakar motivasi dan lain-lain kecerdasan.

Benar, manusia berfikir melalui otak tetapi merenung, berkhayal, berimaginasi adalah melalui kekuatan minda. Kaum sufi dalam Islam, contohnya, percaya bahawa manusia yang paling dekat dengan Allah akan dianugerahi kuasa rohaniah yang luar biasa. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Mereka ini, seperti para rasul dan nabi, akan dapat mendengar dengan telinga makrifat. Mereka melihat dengan mata makrifat. Mereka mengetahui dengan ilmu makrifat yang tidak dapat dicapai melalui pancaindera manusia yang biasa.

Kuasa mendengar, melihat dan mengetahui secara makrifat ini hanya dapat diperolehi atau dirasai melalui pengalaman antaranya, pengalaman sufi, pengalaman berzikir dan bertafakur. Tidak melalui proses berfikir semata-mata. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Hajj ayat 54 yang kira-kira maksudnya:

“Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”

Dalam hal ini kita pun teringat kepada pemikir-pemikir Islam zaman dahulu yang menguasai berbagai-bagai bidang ilmu, misalnya bidang teologi (Islam), metafizik atau falsafah, astronomi, sains, psikologi dan sebagainya.

Ibnu Sina (980 - 1037) dianggap sebagai ahli Sains dan ahli Falsafah Islam yang masyhur dan salah seorang manusia yang agung daripada sekalian bangsa, di mana-mana sahaja dan dalam mana-mana sejarah jua. Ibnu Sina adalah seorang doktor perubatan, ahli falsafah, ahli psikologi, ahli teologi yakni ilmu kalam, ahli matematik, ahli astronomi, ahli muzik dan penyair.

Sesungguhnya kita yakin bahawa setiap benda yang wujud di alam ini ada penciptanya. Tentulah kita dapat menggunakan kaedah logika, di samping kaedah rasional untuk membuat kesimpulan bahawa alam ini seluruhnya, apa-apa yang termasuk di dalamnya, baik yang nyata ataupun yang ghaib, tentulah ada penciptanya. Bagi kita pencipta itu ialah Allah Subhanahu Wata'ala.

Nah, pemikir Islam yang masyhur dalam perbahasan teori ilmu atau epistemologi mulai abad ke 12 ialah Imam Al-Ghazali. Dia ini begitu ulung dengan teori keraguan ilmu. Masalahnya, jikapun dapat disebut sebagai masalah yang dihadapi oleh Imam Al-Ghazali ialah, untuk mengetahui ilmu yang pasti, atau ilmu yang benar dengan sendirinya, bukan ilmu bayangan, bukan ilmu ilusi dan luaran, pun bukan ilmu taklid.

Disiplin ilmu ini, yang disebut sebagai 'ilmu yakin', mesti bebas daripada segala was-was, segala keraguan sehingga tiada ada cara atau kaedah yang dapat membuktikan bahawa ilmu itu salah atau tidak benar. Imam Al-Ghazali tidak sahaja menolak keabsahan kaedah yang berdasarkan persepsi pancaindera manusia untuk mengetahui ilmu yang sebenarnya, yakni 'ilmu yakin', bahkan tokok pemikir Islam ini juga meragui kaedah intelek dan logika untuk mengetahui ilmu yang pasti dan benar sehingga jatuh sakit kesan krisis teori ilmu ini di dalam dirinya.

Akhirnya, menurut Imam Al-Ghazali, Allah telah menyembuhkan penyakitnya dan beliau mulai yakin akan kebenaran dan kepastian akal. Namun keyakinan ini tidak lahir daripada kaedah pembuktian sistematik atau hujah rasionalistik. Keyakinan ini diperolehi melalui cahaya, yakni makrifat, yang dipancarkan oleh Allah ke dalam dada dan hatinya.

Cahaya atau makrifat inilah yang menjadi kunci untuk membuka pintu rahsia ilmu yang sebenarnya, ilmu yang bebas dari sebarang keraguan. Daripada cahaya atau makrifat inilah wujud pemahaman atau pengetahuan yang intuitif tentang rahsia Ilahi, punca ilmu yang pasti, ilmu yang hak.

Sesungguhnya, tamadun Islam dan pelbagai disiplin ilmu yang dikembangkan oleh antaranya, Ibnu Sina, Imam Al-Ghazali, Al-Razi, Ibnu Rushd, Ibnu Tufail, Ibnu Zuhr, Al-Farabi dan Al-Khwarizmi banyak mempengaruhi falsafah dan pemikiran pemikir-pemikir Barat pada abad ke 12 hingga abad ke 17.

Tetapi kelihatan disengaja, kebanyakan buku tentang sejarah dan wacana ilmu yang ditulis oleh para sarjana dan ahli sains Barat tidak menyentuh pengaruh atau sumbangan tamadun lain, termasuk sumbangan pemikir, ahli sains dan ahli falsafah Islam sejak abad ke 9, terhadap asal usul dan perkembangan ilmu di Barat. Bagi mereka, sejarah ilmu Barat bermula sejak zaman ilmu klasik bangsa Yunani kira-kira 2,650 tahun dahulu. Walhal, contohnya, Ibnu Al-Nafis yang menemui rahsia perjalanan darah manusia lama sebelum orang Eropah yang bernama Harvey, mengetahui rahsia itu. Walhal, Imam Al-Ghazali yang lahir pada abad ke 11 itu telah mendahului Rene Descartes (lahir di abad ke 15) dalam usaha membahaskan soal kebenaran yang hak atau necessary truth.

Descartes iaitu ahli Matematik dan ahli Falsafah Perancis, yang mengungkapkan kata-kata Latin, Cogito Ergo Sum yang bermakna, 'Aku Berfikir, Jadi Aku Wujud'. Rene Descartes dianggap berjaya membuktikan bahawa dia ada setelah dia puas hati wujudnya itu adalah kerana dia berfikir.

Maka dengan pemikirannya ini, orang-orang Barat pun menganggap Descartes sebagai pelopor pemikiran rasionalisme yakni yang menggunakan kaedah akliah berasaskan logika bagi membuktikan kebenaran yang wajib wujud atau necessary truth. Walhal, Plato sudah memulakan rasionalisme lebih sembilan abad sebelumnya.

Hakikatnya, bangsa Arab yang beragama Islam yang banyak sekali memperkenalkan falsafah dan pemikiran bangsa Yunani (Greek), terutama falsafah Plato dan Aristotle.

Contohnya, pada abad ke 8 dan ke 9, ketika bangsa Arab Islam membicarakan soal-soal teologi Islam secara rasional dan lutanan menterjemahkan karya-karya sains, perubatan, astronomi dan falsafah bangsa Yunani ke dalam bahasa Arab, orang Eropah Barat masih berada dalam zaman Dark Age atau Zaman Gelap, lebih-lebih lagi dari segi keadaan perkembangan ilmu dan pemikiran akliah. Sistem falsafah dan pemikiran Plato dan Aristotle itu diperkenalkan oleh pemikir-pemikir Islam ke dunia Eropah. Pemikir Islam membuat ulasan mendalam tentang falsafah bangsa Yunani itu.

Ibnu Masawaih (meninggal tahun 857) merupakan seorang sarjana sejarah, banyak menterjemahkan karya-karya Pahlevi, Yunani dan Sanskrit ke dalam bahasa Arab. Ini diikuti oleh anak muridnya yang bernama Hunain yang dikatakan banyak menterjemahkan karya-karya Plato, Aristotle dan Archimedes. Begitulah caranya bangsa Arab Islam di abad ke 8 hingga abad ke 12 membina tamadun ilmu yang cemerlang walhal pada ketika itu benua Eropah masih dalam Zaman Gelap. Ini hakikat sejarah.

Apabila dikaji dan dianalisis ternyata kejayaan tamadun gemilang Islam itu berpunca daripada tiga faktor. Pertama, dukungan berterusan dari pemimpin yang mapan. Tidak sekadar retorik malah turut terlibat dalam wacana ilmuwan. Kedua, keyakinan bangsa Arab dan para ilmuawnnya terhadap kemampuan bahasa Arab sebagai mekanisme penjana setiap disiplin ilmu.

Ketiga, adanya kesungguhan dan rancangan yang teratur lagi begitu terarah bagi membina perbendaharaan disiplin ilmu dalam bahasa Arab, baik melalui penulisan mahupun kegiatan berterusan penterjemahan karya tamadun asing ke bahasa Arab.

Nah strategi-strategi serupa ini ditiru oleh orang Eropah sejak abad ke 16, memuncak ke abad ke 17 ketika mana bangsa-bangsa Eropah menggunakan bahasa masing-masing, menggantikan bahasa Latin, untuk menulis karya ilmu sains, falsafah, di samping memberi kebebasan untuk berfikir dan berkarya, dalam bahasa sendiri. Hinggakan kegemilangan ilmu yang dulunya berpusat kepada dunia Islam, akhirnya diambil alih oleh bangsa Eropah. Nah, belum lewat kita belajar dari sejarah, wahai kawan-kawan. Nah, umat Islam dulunya berada di hadapan sekarang berada di mana?


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.