Ibu bapa Sofea bangga melihat telatah manja anaknya itu. Dari jauh mereka memuji betapa Sofea begitu cantik mengenakan pakaian lengan pendek yang dipadankan dengan mini skrit. Wajahnya semakin ayu di usianya 17 tahun itu. Tambahan lagi dengan kulitnya yang putih gebu, halus dan bermata sepet membuatkan banyak lelaki yang tergila-gilakannya dan cuba untuk mendekatinya. Sofea senang dengan pujian yang dilontarkan oleh orang tua dan rakan-rakannya. Dia merasakan dirinya adalah seorang bidadari yang paling cantik di kalangan mereka.
Majlis yang sengaja dibuat selama tiga hari berturut-turut itu menyebabkan ketidakselesaan penduduk kampung tersebut. Kampung Permai yang dulunya tenang dan indah kini hanya tinggal kenangan saja sejak kehadiran keluarga baru yang menetap di situ. Tuan Hashim dan Puan Hawa merupakan orang yang berpengaruh dan penting ketika dia berada di bandar. Mereka berhijrah ke kampung tersebut mempunyai seribu sebab yang belum diketahui oleh penduduk di sana. Seorang ahli perniagaan yang begitu bijak dan sentiasa memastikan segala urusan dan kehendaknya tercapai.
“Papa, marilah menari dengan Sofea.”
Tuan Hashim senyum sambil menarik anak kesayangannya dalam dakapannya sambil menari mengikut rentak muzik yang perlahan. Semua yang ada di sana bersorak gembira melihat dua beranak yang menari dengan rentak yang indah.
Di sebalik keramaian itu, sepasang mata menyapa wajah Sofea yang manis itu. Dia telah lama terpikat dengan kejelitaan wajahnya. Dia terus mencuba sedaya upaya mencuri hati Sofea.
Matahari mula menampakkan dirinya dicelah-celah awan. Semua orang dalam rumah banglo itu masih nyenyak tidur. Mungkin mereka merasa letih setelah semalaman berdansa dan berhibur.
“Assalamu'alaikum … Assalamu'alaikum.”
“Ya siapa tu?” selang beberapa minit terpacul seorang perempuan yang memakai baju tidur.
Wajahnya kelihatan seperti baru bangun dari tidur. Rambut merah mengerbang dan warna hijau menghiasi kukunya yang panjang mengejutkan Tok Ketua seketika. Setelah menyedari keadaannya yang tidak kemas, perempuan itu lantas mengemaskan rambutnya ke belakang.
“Cari siapa?” sapa perempuan tersebut.
“Tuan rumah ada tak?”
“Oh, saya isteri tuan rumah Puan Hawa. Encik ini siapa?”
“Saya Ketua Kampung di sini.”
“Tok Ketua, ada apa? Puan Hawa meneruskan pertanyaannya kepada lelaki yang separuh abad itu tanpa mempelawa atau memberi senyuman manis kepadanya.
Tok Ketua menyatakan hasrat salah sebuah keluarga yang akan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka sebulan lagi. Sebagai penduduk kampung, sama ada baru atau lama digalakkan untuk sama-sama bergotong-royong bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Majlis itu akan bermula pada minggu hadapan bagi majlis berjaga-jaga yang dimulai dengan majlis berbedak mandi.
“Tengoklah Tok. Lagipun kami di sini bukan nak menetap terus. Setahun dua baliklah kami ke bandar. Ada urusan sikit di sini.”
Tok Ketua hanya diam mendengarkan jawapan yang diterimanya itu. Dia meminta diri untuk berlalu bagi memberitahu jiran-jiran yang lain. Tok Ketua berlalu dengan penuh kehampaan. Dia tidak menyangka akan menerima ucapan sebegitu. Sejak berkurun lamanya dia menetap di kampung tersebut, tidak ada seorang pun yang tidak mengambil bahagian untuk menolong penduduk kampung yang memerlukan. Jika tidak dengan wang ringgit, tenaga sebagai ganti bagi menunjukkan sikap kejiranan yang telah bersemadi sejak nenek moyang mereka lagi.
Akan pupuskah sikap kejiranan itu? Apakah yang akan terjadi dengan dunia sekarang? Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran Tok Ketua. Jika perkara ini pupus, apakah yang akan terjadi dengan kampung tersebut. Tok Ketua tidak mampu membuat tafsiran yang karut. Dia meneruskan perjalanannya dari sebuah rumah ke sebuah rumah.
Puan Hawa kembali ke kamar tidurnya. Suaminya yang kurang siuman disebabkan terlalu banyak minum alkohol itu hanya bersuara sepatah dua bertanyakan kehadiran insan yang tidak diundang itu.
“Kenapa tidak mereka buat katering saja? Senang kerja. Mereka ingat kita makan gaji agaknya,” celoteh isterinya panjang lebar sambil menghempaskan badannya ke katil untuk menyambung kembali mimpi yang tergendala sebentar tadi.
Suaminya hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Di dalam hatinya dia mempunyai strategi lain untuk mendekati orang orang kampung. Dia akan sedaya upaya memancing dan meracun fikiran mereka supaya mereka bersetuju menjual ladang getah yang seluas lebih sepuluh hektar itu kepadanya. Dia berharap sangat pada ladang tersebut untuk membangun sebuah bangunan yang lengkap dengan keperluan orang kampung. Dari sana nanti ia akan dapat menggali harta kekayaan yang berlipat ganda.
Rosyam orang bawahannya yang memperkenalkan kampungnya yang belum membangun itu. Rosyam mahu pembaharuan supaya orang-orang kampung dapat merasakan sedikit kesenangan dan tidak perlu bersusah payah pergi ke kampung sebelah untuk membeli keperluan jika kedai runcit yang hanya sebuah terdapat di kampung itu kekurangan bekalan. Bukan setakat itu, banyak lagi orang kampung yang menumpang bekerja dengan kampung jiran mereka.
“Encik tentu mendapat pendapatan yang berlipat ganda nanti,” jelas Rosyam.
“Setujukahorang-orang kampung kamu itu?”
“Encik pandai-pandailah mengambil hati mereka, mereka ini senang dipujuk. Lagipun saya pasti mereka semua inginkan keselesaan juga.”
Semalaman Tuan Hashim memikirkan cara-cara untuk memujuk orang kampung. Dia sudah mula berangan-angan agar Permai Holdings Sendirian Berhad akan terbangun megah di sana nanti. Dia akan lebih dihormati dan ditakuti. Di sana dia boleh berlagak seperti seorang raja yang memerintah sebuah negara.
Awal-awal lagi mereka suami isteri pergi ke kedai kopi. Orang kampung yang dijumpainya begitu ramah menegur mereka. Mereka dalam kepuraan membalas teguran dengan mesra. Sebenarnya, mereka langsung tidak berminat untuk minum di kedai kopi itu. Mereka meragui akan kebersihan yang ada pada kampung itu. Namun mereka terpaksa untuk mendekatkan diri dan mengambil hati orang kampung. Sekurang-kurangnya ada orang kampung yang menjadi pengikutnya. Dengan demikian akan memudahkan setiap pekerjaannya nanti.
“Ambillah bakinya,” Tuan Hashim menghulurkan wang lima puluh ringgit bagi membayar dua cawan kopi yang diminum bersama isterinya.
“Banyak sangat ni Tuan,” Rahim, pemilik kedai itu cuba menolak wang yang tidak selayaknya diterima.
“Tak apa. Saya sedekah.”
Setelah berkali-kali dipaksa barulah dia mengambil duit itu. Sungguh baik hati orang luar ini. Kaya dan tidak kedekut. Walaupun pada mulanya dia sendiri mempersetujui kata-kata orang kampung yang dia telah membuat bising selama tiga hari berturut-turut tetapi sekarang dia sendiri yang menyatakan kebaikan yang tersimpan di dalam hati lelaki itu.
Setibanya di rumah, Puan Hawa menghempaskan badannya pada kerusi sofa itu. Rumah kepunyaan Rosyam itu disewanya seribu ringgit sebulan walaupun pada awalnya Rosyam hanya ingin menyuruh mereka tinggal saja di rumah tersebut. Orang tuanya telah lama meninggal dunia, jadi rumah itu terbiar kosong sedangkan dia tidak lagi mendiami rumah itu disebabkan kerjanya yang terlalu banyak di bandar.
“Abang rasa berjaya ke rancangan kita ini,” isterinya bertanya kepada suaminya.
Suaminya yang berkulit putih dan tinggi lampai itu pernah membuatkan dia jatuh cinta kepadanya. Banyak gadis yang cuba mendekatinya ketika itu, hinggakan mak Salleh juga turut mencuba nasib memikat hati lelaki itu ketika mereka sama-sama menuntut di Kota Londan 18 tahun yang lalu. Tetapi lelaki itu lebih mencintai dirinya yang cantik berbanding dengan orang- orang yang pernah ditemuinya. Itu pendapat suaminya ketika ditanya mengapa dia menyukai dirinya.
“Awak jangan susah hati, tidak pernah satu perkara pun yang pernah dirancangkan oleh abang gagal. Ini Hashim, ahli koperat yang terkenal dengan kejayaannya. Takkan pernah jatuh tangga, faham tak?”
Puan Hawa tersenyum bangga dengan suaminya. Suaminya memang bijak dalam segala hal. Dia lebih pintar dari orang- orang kampung yang berfikiran kolot dan pasti suaminya akan mencapai apa yang diimpikannya, sekali gus nama mereka akan lebih disanjung di mata masyarakat.
Dalam kesibukan membuat persiapan majlis perkahwinan yang hanya tinggal dua minggu saja, kelihatan sepasang teruna dan dara sedang hanyut dibuai cinta. Di hujung kampung itu tempat mereka memadu asmara tanpa diketahui oleh penduduk kampung dan keluarga mereka.
Adam tidak tahu bagaimana dia telah jatuh cinta pada gadis bandar itu. Walaupun pada hakikatnya dia sudah punya pilihan hati dan akan berkahwin pada masa yang terdekat ini. Dia tidak pernah mengambil peduli dengan semua itu. Apa yang difikirkannya hanyalah kebahagiaan hidup bersama Sofea yang manja, cantik dan pandai pula bergaya. Kali pertama dia bertemu dengan Sofea, dia telah tertawan dengannya. Tambahan pula cara Sofea melayan dirinya begitu manja sekali.
“Adam sayang saya tak?” tanya Sofea suatu hari.
“Sayang. Kenapa? Sofea masih meragui cinta Adam?”
“Kenapa Adam belum juga memberhentikan perkahwinan Adam?”
“Oh ya. Adam hampir lupa yang Adam ini bakal pengatin. Jangan bimbang, semuanya akan berakhir malam ini,” jawab Adam sambil memeluk erat kekasih hatinya itu.
Dalam masa dua minggu Sofea sudah dapat mempengaruhi remaja d sana dengan cara penampilannya. Hampir semua remaja-remaja cuba mengikuti cara yang dibawa oleh Sofea. Berpakaian seksi, pandai bergaya dan pandai pula mencari pasangan. Sofea telah mengajarkan remaja kampung yang ingin mengubah penampilannya.
“Cara ini baru padan. Kita semua mesti ikut cara terkini ... Baru banyak lelaki yang suka pada kita.”
Orang tua Sofea tidak kurang juga hebatnya. Dia telah banyak pengikut. Hasratnya untuk memiliki ladang getah itu akan berhasil tidak lama lagi. Dia hanya menanti seorang tiga saja untuk melepaskan ladang itu kepadanya. Orang kampung sedaya-upaya memujuk tuan tanah itu supaya menjualkan saja ladang yang ada bagi kepentingan mereka di masa yang akan datang.
“Mama dan ayah jual saja ladang itu. Kita akan hidup senang,” kata Adam kepada ibunya.
“Awak jangan nak jadi bodoh Adam. Ladang itulah yang menolong aku membesarkan engkau. Ladang itu juga yang menolong orang kampung supaya dapat bekerja dan mendapat pendapatan yang mampu menanggung mereka sekeluarga.”
“Kau telah banyak memalukan kami Adam, jangan kerana perempuan itu kau nak musnahkan kampung kita. Kau telah malukan kami dengan membatalkan perkahwinanmu. Sekarang kau mahu kami berkorban untuk kekasih hatimu itu. Tidak! Tidak akan ku biar perkara ini berlaku.”
“Argh ..! Sudahlah. Kalau tak mahu jangan nak menghina orang pula. Sofea tak ada salah pada mama dan ayah,” sergah Adam sambil berlalu meninggalkan rumah setinggan yang masih kelihatan baru disebabkan dijaga dan diubahusai oleh mereka. Dia begitu hampa dengan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayahnya itu.
Lebih tiga bulan Tuan Hashim dan keluarganya berada di situ. Tok Ketua masih juga berdegil. Kehidupan di Kampong Permai tidak lagi seperti dahulu. Semuanya telah berubah. Tok Ketua terlalu kecewa dengan perubahan ini. Segala yang difikirkannya dahulu kini menjadi kenyataan.
“Saya harap Tok Ketua fikirkanlah hal ini. Jangan hampakan impian orang kampung.”
“Harapan orang kampung atau kamu sekeluarga. Sudahlah, tak payah nak memujuk saya. Keputusan saya tetap sama. Saya tidak akan pernah menjual ladang tersebut. Lebih-lebih lagi kepada orang luar seperti awak. Orang yang telah meracun fikiran orang kampung.”
Perubahan anak-anak kampung semakin menjadi-jadi. Teruna dan dara tidak lagi mempunyai rasa malu. Hinggakan bercumbuan di tengah jalan mereka sudah mulai berani melakukannya. Ini menyebabkan orang tua mereka gelisah dan susah hati. Mereka mulai merasa kehadiran orang luar tersebut. Mereka mula merasa marah dengan kehadiran itu. Mereka mulai mengiakan kebenaran yang dikatakan oleh Tok Ketua tentang tujuan sebenar kehadiran keluarga Tuan Hashim.
“Memang mereka itu pemusnah. Lihatlah anakanak kita sekarang. Mereka dah pandai melawan dan memalukan kita,” salah seorang dari mereka bersuara ketika mengadakan mesyuarat tentang kampung mereka.
“Betul. Jika kita mempunyai bangunan tinggi sekalipun, apakah kita akan diterima bekerja bersama mereka. Kita akan kehilangan kerja dan segalanya.”
Semua yang berada di sana mempersetujui kata-kata yang dibentangkan. Mereka mulai membenci keluarga tersebut. Mereka berhasrat untuk menghalau mereka keluar dari kampung tersebut. Tetapi dihalang oleh Tok Ketua kerana sikap orang kampung tidak pernah begitu.
“Jadi Tok Ketua nak biarkan saja mereka merosakkan hidup kita semua?”
“Bukan begitu. Saya akan fikirkannya nanti.”
Tuan Hashim dan Puan Hawa berserta anak perempuannya mula dicemuh dan dihina. Mereka hidup dalam kebencian manusia. Namun mereka tetap dengan ego mereka. Tuan Hashim tetap dengan perjuangannya walaupun sekarang dia cuma ada Adam yang setia menanti cinta Sofea yang pada hakikatnya bersalut seribu kepalsuan.
Cuaca pagi itu cerah dan tenang. Tuan Hashim memandu kereta mewahnya yang megah itu. Dia akan pergi ke bandar pagi itu bagi urusan lain. Dia cuba untuk meminta pertolongan pihak atasan bagi menangani masalah yang dihadapinya sekarang. Dia juga perlukan nasihat dari seorang rakannya. Walaupun dia merasa malu tetapi dia mesti juga meneruskannya. Seumur hidupnya dia tidak pernah gagal. Tidak pernah seorang pun yang berani menghalang kerjanya. Dan tidak seorang pun yang pernah menghampakan cita-citanya. Semua berjalan dengan lancar.
Tetapi hari itu, dia begitu hampa dan duka. Dia tidak menyangka, fikiran orang kampung yang dahulunya menyokong dirinya kini berpaling tadah. Dia tidak mahu, kerana itu dia berputus asa dan melupakan segala hasrat yang telah dirancangkannya hampir setengah tahun ini.
“Argh ..! Tolong ..!” cuma itu yang terkeluar dari mulut Tuan Hashim. Isterinya yang duduk di sebelahnya telah lama terkulai pengsan disebabkan hentakkan kuat pada bahagian kepalanya.
Orang ramai datang berpusu-pusu melihat kejadian yang berlaku. Di antara mereka ada yang menghubungi pihak rumah sakit untuk mendapatkan bantuan. Mereka berdua dikejarkan ke rumah sakit yang terletak di sebelah kampung tersebut.
“Mama, ayah,” terdengar esakan dari Sofea mendayu-dayu melihat tubuh orang tuanya yang penuh dengan darah. Kereta mereka telah bertembung dengan sebuah trak besar yang memunggah hasil getah. Sebiji tong getah itu telah menghetak tepat ke kepala Puan Hawa. Manakala Tuan Hashim hanya mengalami luka ringan sahaja. Tetapi dia tetap ditahan untuk membuat rawatan selanjutnya untuk beberapa minggu. Isterinya pula dirawat di Unit Kawalan Rapi di hospital tersebut.
Walau sejahat mana mereka sekeluarga yang cuba untuk menghancurkan ketenteraman kampung tersebut. Penduduk kampung tidak pernah melupakan mereka. Mereka tetap mengambil peduli dengan kesusahan yang menimpa keluarga itu. Mereka bergilir-gilir melawat dan membekalkan mereka hidangan yang berkhasiat bagi mempercepatkan proses penyembuhan mereka.
Kembali ke muka utama