Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Idris bin Haji Md. Ali dalam ucapannya yang juga mewakili penduduk Kampong Benutan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tentera Darat Diraja Brunei khususnya Batalion Kedua yang terlibat secara langsung bagi Projek Titian Amal pembinaan gelanggang sukan tersebut.
Beliau berpendapat Projek Titian Amal telah banyak memberi manfaat yang begitu besar kepada ABDB iaitu sebagai platform utama ABDB untuk mendekati masyarakat melalui khidmat bakti membantu membina kemudahan-kemudahan asas berskala sederhana di kawasan kampung, di samping peranannya menjaga kesejahteraan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
Melalui projek tersebut juga katanya, boleh dijadikan ‘titian’ penghubung di antara ABDB dengan masyarakat yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi hubungan silaturahim serta memupuk persefahaman yang jitu dan sangat diperlukan dari semasa ke semasa.
Menurut Awang Haji Idris, ABDB telah banyak melaksanakan beberapa projek seumpama itu di Daerah Tutong yang mana di antara projek yang telah diungkayahkan itu di antaranya membina pondok rehat, trek larian di kawasan Taman Rekreasi Sungai Basong, membina Dewan Serbaguna Kampong Danau, membina gelanggang sukan Kampong Batang Mitus dan membina Balai Warisan Kampong Tanjong Maya.
Di kesempatan itu beliau juga mengingatkan penduduk kampung tersebut supaya akan sentiasa menjaga kebersihan gelanggang sukan tersebut dan menggunakan dengan sebaik-baiknya tanpa mengharapkan semata-mata kepada pihak kerajaan.
Pembinaan gelanggang sukan tersebut telah mula dibina pada bulan April dan siap pada bulan Mei dan bahan binaan disediakan oleh Jabatan Daerah Tutong.
(Berita dan foto : Shari Haji Garib)
Kembali ke muka utama