Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Jaga kesempurnaan bendera yang dikibarkan

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, pada tahun ini telah 26 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Selaku rakyat, kita patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana ditakdirkan hidup di negara yang merdeka dalam suasana yang aman damai dan harmoni, menikmati kemakmuran dan keselesaan. Ini adalah berkat kita berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan hidup bersatu padu, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala melalui firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran, ayat 103, tafsirnya :

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara."

Pada 23 Februari yang akan datang, kita akan menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan. Sebagaimana kelazimannya apabila menjelang sambutan tersebut, maka seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diarahkan mengibarkan bendera negara sebagai tanda membesarkan dan memeriahkan sambutan berkenaan dan yang lebih besar lagi sebagai tanda taat setia kepada raja dan negara.

Setiap negara di dunia ini mempunyai bendera masing-masing dengan identitinya yang tersendiri kerana bendera merupakan simbol atau lambang sesebuah negara, kedaulatan pemerintah dan bangsanya. Negara kita juga mempunyai bendera kebangsaan sendiri yang berwarna kuning, putih dan hitam serta di tengah-tengahnya terdapat panji-panji negara berwarna merah yang tertera perkataan bahasa Arab yang berbunyi : Ertinya: "Sentiasa membuat kebajikan atau kebaikan dengan petunjuk Allah."

Sebenarnya kata-kata yang termaktub pada panji-panji tersebut mengandungi erti yang mendalam dan penuh makna, antaranya sentiasa berkhidmat, berbakti, berjasa kepada agama dan negara dengan bimbingan serta petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala. Kata-kata ini amat relevan dijadikan sebagai konsep hidup dalam berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Kata-kata ini juga bersesuaian dengan falsafah negara iaitu 'Melayu Islam Beraja' serta menepati sebagaimana dikehendaki oleh ajaran agama Islam.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 120, tafsirnya : "Katakanlah kepada mereka sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar."

Bendera juga merupakan lambang perpaduan rakyat di sesebuah negara walaupun wujud perbezaan agama, keturunan, bangsa dan fahaman, tetapi tetap bersatu di bawah naungan seorang raja atau ketua negara. Kita perlu ingat bahawa perpaduan menjamin keselamatan dan mewujudkan kemakmuran dan pembangunan. Oleh kerana bendera merupakan lambang dan simbol negara, maka kita sebagai rakyat seharusnya menghormati bendera kita sebagai salah satu tanda cinta kita kepada negara.

Bendera dapat membakar semangat patriotik dan semangat kenegaraan. Contohnya dalam sukan, setiap kontinjen mengibarkan bendera negara mereka masing-masing sebagai pengenalan negara yang diwakili. Jika persidangan permesyuaratan luar negara diadakan, bendera negara perwakilan diletakkan di atas meja masing-masing sebagai lambang pengenalan negara yang mereka wakili. Oleh itu tidak hairanlah jika seseorang rakyat yang berjiwa patriotik akan merasa marah dan terhina jika bendera negaranya dihina dan tidak dihormati.

Oleh itu, wahai kaum Muslimin, kita hendaklah menjaga dan memelihara kehormatan bendera kita yang menjadi maruah bangsa dan negara. Perlu kita ambil perhatian bendera yang dikibarkan itu hendaklah dijaga kesempurnaannya, jangan sampai bendera tersebut ada yang koyak dan pudar warnanya.

Maka bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada bulan ini, kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini sepatutnya sama-sama menyahut seruan kerajaan supaya mengibarkan bendera negara ini sebagai tanda ketaatan dan kesetiaan kita kepada raja dan negara yang dicintai.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nisaa', ayat 59, tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Kitab Allah (Al-Qur'an) dan Sunnah Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya."


Kembali ke muka utama