|

Sabtu, 6 Februari 2010
21 Safar 1431
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
DAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN INFLUENZA A (H1N1)
RAKYAT penduduk di Negara Brunei Darussalam dinasihatkan mendapatkan suntikan vaksin Influenza A (H1N1) sebagai usaha sama bagi mengelakkan diri dari dijangkati penyakit tersebut. Langkah Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai segera mendapatkan suntikan berkenaan jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjaga kepentingan khususnya kesihatan awam dari sebarang jangkitan virus A (H1N1) yang telah mula 'bertapak' dan menyerang seluruh dunia sejak bulan Mac 2009 termasuk juga Negara Brunei Darussalam. Langkah yang diambil merupakan komitmen berterusan kerajaan yang tidak kendur-kendurnya berusaha gigih bagi memastikan kesihatan orang ramai terkawal dan terjamin dari sebarang jangkitan. Kementerian Kesihatan juga setakat ini telah dibekalkan sebanyak 130 ribu dos vaksin Influenza A (H1N1) untuk penduduk Negara Brunei Darussalam dan orang-orang asing yang bermastautin di negara ini yang memegang kad pengenalan berwarna hijau.
Apa yang mustahak, orang ramai akan segera menyahut seruan kerajaan ini bagi mendapatkan suntikan vaksin tersebut. Ini bermakna orang ramai janganlah mengambil mudah seruan kerajaan itu demi kebaikan bersama. Apa yang perlu orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke pusat-pusat suntikan yang disediakan tanpa dikenakan bayaran. Suntikan tersebut diberikan secara percuma. Bawalah keluarga biskita untuk mendapatkan suntikan tersebut. Orang ramai tidak perlu risau mengenai kesan sampingan selepas menerima suntikan, kerana alhamdulillah setakat ini segala yang dijangkakan berjalan dengan baik sekali.
Mereka yang ingin mendapatkan suntikan vaksin berkenaan bolehlah mendapatkan di puat-pusat suntikan yang berdekatan: Bagi Daerah Brunei dan Muara ianya bertempat di Pusat Vakinasi Ong Sum Ping, Pusat Kesihatan Berakas 'A', Kampung Anggerek Desa, Pusat Kesihatan Jubli Perak, Kampung Sengkurong dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Bagi Daerah Belait pula, pusat suntikan beroperasi di Hospital Suri Seri Begawan dan Pusat Kesihatan Sungai Liang.
Sementara itu, bagi penduduk di Daerah Tutong, mereka bolehlah mendapatkannya di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Manakala bagi penduduk Daerah Temburong pula bolehlah berkunjung ke Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam. Khusus bagi memudahkan warga Perkhidmatan Awam mendapatkan vaksin suntikan itu, Kementerian Kesihatan menyediakan Pusat Suntikan, Stadium Tertutup Berakas yang juga dibukakan kepada orang ramai.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai agar terus mengamalkan kebersihan diri bagi mengawal jangkitan ini dari merebak. Pertama kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air dan mengeringkannya dengan menggunakan alat pengering tangan atau tuala buang pakai, menggunakan tisu pakai buang yang mengandungi alkohol atau gel pembasmi kuman, menutup hidung dan mulut dengan kertas tisu apabila bersin atau batuk dan segera membuang tisu dalam tong sampah. Kebersihan adalah merupakan kunci utama dalam mengelakkan sebarang penyakit berjangkit. Dari setiap individu haruslah mengutamakan kebersihan dalam semua aspek dari persekitaran membawa kepada makanan. Kerana jalan itu adalah langkah terbaik dan efektif dalam membasmi sebarang penyakit berjangkit seperti Influenza A (H1N1).
Kepada orang ramai juga, khususnya bagi mereka yang melawat pesakit-pesakit di hospital-hospital supaya akan terus mematuhi peraturan melawat pesakit dengan mematuhi waktu melawat pada masa yang ditetapkan, tidak membawa kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun, memakai penutup muka dan hidung (face mask) dan mengehadkan dua pelawat bagi setiap pesakit. Situasi ini memerlukan pertimbangan yang sewajarnya dari kita sendiri. Yang utama jangan mementingkan diri sendiri dan jangan mengambil ringan arahan pihak berkuasa kerana peringatan yang dibuat semata-mata sebagai langkah mencegah jangkitan wabak tersebut dari merebak kepada pesakit.
Mengenai situasi Influenza A (H1N1) di negara ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu cemas dengan kes terbaru di negara ini seperti yang dilaporkan memandangkan keadaannya sentiasa terkawal dan kementerian berkenaan sentiasa memantau dan menumpukan perhatian serius tentang kes-kes terbaru itu sambil menyeru pihak awam mendapatkan suntikan dan sentiasa menjaga kebersihan diri sendiri dan persekitaran.
Sebarang keraguan dan kefahaman serta pertanyaan mengenai Influenza A (H1N1), orang ramai bolehlah berhubung terus ke talian 145 pada waktu bekerja atau 7180991 di luar waktu bekerja. Dapatkan suntikan vaksin Influenza A (H1N1). Bersmalah membantu usaha mencegah Influenza A (H1N1). Bersamalah kita berdoa agar negara kita terus terselamat dari jangkitan virus Influenza A (H1N1). - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.
Kembali ke muka utama
|