Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Elakkan diri menjadi hamba kepada dunia

DI DALAM menjalani kehidupan yang sentiasa dipenuhi dengan kesibukan, manusia sentiasa mengejar dan bertungkus lumus untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi dan harta benda yang lebih mewah. Mereka begitu asyik dengan persoalan-persoalan kehidupan sehingga hati dan fikiran sentiasa tertuju kepada dunia sahaja. Kerja-kerja dunia diperbesar-besarkan, sementara kerja-kerja akhirat diperemeh-remehkan. Mereka sanggup membelakangi larangan-larangan agama dengan menerima riba, rasuah serta menindas dan menipu orang lain demi untuk mencapai hasrat keduniaan masing-masing.

Tanpa disedari, mereka bukan lagi hamba Allah Subhanahu Wata’ala tetapi hamba dunia, kebendaan dan hawa nafsu. Ingatlah bahawa perhambaan kepada dunia membawa kemurkaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Al-Imam Ibnu Athaillah Assakandary pernah berkata yang bermaksud :

“Tidaklah kamu mencintai sesuatu melainkan kamu akan menjadi budaknya (hamba-Nya), padahal Allah tidak suka jika kamu menjadi budak (hamba) bagi yang selain daripada-Nya.”

Hati mereka begitu terpaut dengan kenikmatan dunia yang sementara ini. Akhirnya mereka tidak pernah merasa kepuasan dan bersyukur dengan apa yang mereka perolehi. Disebabkan hati begitu terpaut dengan dunia, manusia dengan mudah merasa kecewa, resah dan bimbang apabila kemahuan, kebendaan dan nafsu tidak tercapai.

Mereka telah bertukar menjadi makhluk Allah Subhanahu Wata’ala yang tidak dapat duduk diam dan asyik dengan cita-cita keduniaan sampai terlupa apakah matlamat hidup yang sebenar mereka dijadikan di dunia ini. Keghairahan mengejar dunia yang berlebihan-lebihan yang menyebabkan timbulnya rasa kegelisahan dan ketidakpuasan yang melonjak-lonjak. Mereka sanggup menyakiti diri sendiri dengan menimbulkan perasaan-perasaan negatif dalam jiwa seperti gelisah, bimbang, dengki, tidak puas hati dan seumpamanya lagi. Kelekaan kepada dunialah yang menjadi punca kerosakan dan kelemahan batin mereka. Kelekaan kepada dunia jugalah yang akan memusnahkan harapan di akhirat kelak.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Kahfi ayat 7, mafhumnya :

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”

Dari masa muda sampai ke usia tua, manusia tidak henti-henti memperhambakan diri untuk menjadi kaya dan mewah sehingga hanya nampak wang dan hartalah yang membawa erti kebahagiaan dan kepuasan hidup. Apabila mereka mengalah kepada hawa nafsu keduniaan (yang sentiasa dibisik mesra oleh syaitan), maka akan timbul perasaan gelisah, gundah dan tidak puas dengan hidup. Mereka begitu kasih kepada keduniaan sehingga terdorong melakukan kederhakaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan melanggar perintah-perintah-Nya. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al A’laa ayat 16 - 17 yang mafhumnya :

“(Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

Perhambaan kepada dunia menyebabkan mereka merasa seolah-olah keputusan dari usaha-usaha mereka hanya terletak di tangan mereka. Mereka lupa bahawa hasil dan ketetapan dari usaha dan cita-cita mereka adalah hak Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka lupa bahawa nikmat yang berupa harta benda, pangkat, anak dan isteri adalah milik serta pemberian Allah Subhanahu Wata’ala (Allah Subhanahu Wata’ala boleh mencabut nikmat yang diberikan kepada mereka dalam sekelip mata sahaja, jika dikehendaki-Nya).

Allah Subhanahu Wata’ala menyediakan dua bentuk penghidupan kepada kita iaitu penghidupan yang rendah (penghidupan dunia yang sementara) dan penghidupan yang tinggi (penghidupan akhirat yang kekal). Kalau dia seorang mukmin yang bijak dan berfikir, dia akan berusaha mengimbangi antara kedua-dua kehidupan itu, supaya dia beroleh kejayaan pada kedua-dua bentuk penghidupan berkenaan. Ramai daripada mereka lupa tentang satu amanah besar yang mereka pikul, iaitu menjadikan dunia ini sebagai jambatan ke alam akhirat yang kekal.

Umat manusia yang pendek akal akan leka menjadi hamba dunia dengan bekerja bermati-matian sehingga menyeksa diri sendiri untuk kesenangan hidup. Sebaliknya, Mukmin yang bijak dan berfikir akan merasa cukup dengan bekerja secara tekun atau bersungguh-sungguh untuk kesenangan di dunia, di samping membuat persiapan yang cukup untuk bekalan di hari akhirat.

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dia tahu batas-batas usaha dan keupayaanya sebagai hambaNya yang lemah. Dia berserah kepada Tuhan akan hasil dari usahanya dan sekiranya gagal, dia tidak mudah kecewa kerana dia sedar bahawa itu adalah ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala. Jika baik di sisi Allah Subhanahu Wata’ala maka baik jugalah di sisinya dan begitulah sebaliknya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang mafhumnya :

“Akan datang suatu zaman di mana umat manusia cinta kepada lima perkara, tetapi mereka lupa kepada lima perkara yang lain : Mereka cinta kepada dunia dan mereka lupa akhirat, mereka cinta kepada hidup dan mereka lupa kepada mati, mereka cinta pada harta dan mereka lupa tanggungjawab harta itu di muka Allah, mereka cinta kepada makhluk dan mereka lupa pada Pencipta-Nya, mereka cinta kepada rumah dan mereka lupa kepada kubur.”


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-