Sebut sahaja remaja, belia atau generasi muda ia begitu mendapat tempat di hati masyarakat. Golongan ini merupakan satu subsistem penting dalam sistem masyarakat pada keseluruhannya. Mereka menjadi kebanggaan masyarakat, akan selalu dicatat dalam sejarah dengan tinta emas. Sebagaimana fakta membuktikannya, baik dimasa lampau, kini mahupun esok dan akan datang, generasi muda adalah pembawa aspirasi umat dan sekali gus pemecah masalah kehidupan yang dianggap rawan sama ada di dalam mahu pun di luar negara atau di mana sahaja mereka berada.
Tahap peranannya dan kualiti jiwanya bergantung kepada sistem nilai anutannya dan perkembangan ilmu serta teknologi. Tiada sesiapa pun menyangkal bahawa pendidikan adalah syarat utama untuk mengenali dan mencipta kehidupan cemerlang mereka. Sistem pendidikan berkait rapat dengan ilmu pengetahuan yang mereka tuntut. Ilmu pengetahuan pula tidak dapat lari daripada pembacaan, pengkajian dan penyelidikan. Sejarah mengakui bahawa Islam amat sinonim dengan ilmu pengetahuan, pembacaan dan penyelidikan. Wahyu pertama yang diturunkan lebih kurang 1,400 tahun lalu adalah Surah Al 'Alaq, di mana tema utamanya adalah berkaitan pembacaan dan ilmu pengetahuan. Dalam Islam, ilmu dan maklumat itu bertujuan membawa manusia menuju kebenaran dalam kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sumber mutlak kebenaran adalah Allah yang mencipta ilmu dan kebenaran itu. Firman Allah bermaksud : "Bacalah, dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan, menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan kalam dan mengajarkan mereka apa yang tidak diketahui". - (Surah Al 'Alaq, ayat 1-5).
Ayat ini membenarkan hakikat bahawa Allah sebagai Pencipta ilmu dan kebenaran. Di samping itu, diingatkan bahawa umat manusia memerlukan kepada ilmu dan kebenaran untuk mencipta satu kehidupan terarah. Kehidupan yang terarah pula mencerminkan satu tahap pemikiran yang menerima kemajuan hasil daripada didikan ilmu dan kebenaran. Sememangnya inilah ajaran Islam iaitu menyeru sekalian manusia ke arah kebenaran. Sumber mutlak ilmu dan kebenaran dalam Islam adalah Al-Qur'an dan sunah.
Lantaran, menjadi tanggung jawab umat Islam dan generasi muda remaja, khususnya untuk memantapkan diri dan minda mereka dengan pelbagai disiplin ilmu kerana ilmu adalah tunggak kepada kemajuan pemikiran dan kehidupan mereka.
Bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya selagi generasi muda remaja tidak mengenali diri atau gagal memahami keadaan dan kedudukan mereka sebagai anggota masyarakat yang mempunyai tugas dan amanah besar pada masa depan. Adalah sesuatu yang mudah untuk menerima anggapan bahawa menguasai ilmu adalah langkah utama ke arah kemajuan pemikiran dan kesejahteraan hidup. Tetapi kekangan minda yang sudah lama berakar umbi tanpa disedari ini yang masih menguasai pemikiran, tentu akan membantutkan hasrat mulia ini jika tidak diperbaiki. Masih ada generasi muda era teknologi maklumat dan komunikasi ini yang beranggapan bahawa mempelajari ilmu seperti Kejuruteraan, Matematik, Astronomi, Kesusasteraan Inggeris, Fizik dan Sains Hayat tidak perlu kerana ia adalah ilmu dunia atau bersifat keduniaan.
Mempelajarinya akan menutup minda dan hanya mengutamakan dunia semata-mata. Pemikiran seperti inilah yang perlu diubah agar menjadi lebih positif dan produktif. Jika ingin disingkap kembali sejarah awal menyaksikan bahawa kecemerlangan ilmu itu dalam apa juga disiplin sememangnya datang dari negara Islam. Dalam abad ke-8 hingga 12, orang Islam sangat maju dalam bidang ilmu dan pelbagai bidang kehidupan mereka. Lahir ramai tokoh dan sarjana Islam dalam pelbagai bidang pengkhususan seperti Al Razi dan Ibnu Sina dalam perubatan; Al Jabar dalam Algebra dan Matematik; Al Kindi dan Al Farabi.
Negara Islam menjadi tumpuan negara barat untuk mendapatkan ilmu itu daripada orang Islam. Dan mereka membawanya pulang untuk disebarkan di pusat pengajian tinggi mereka. Sarjana barat berusaha menguasai bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu itu yang kemudiannya diterjemahkan pula ke dalam bahasa mereka. Dan keadaan ini berterusan sehingga abad ke-14 apabila negara Islam mula ditawan oleh kekuatan tentera barat dan khazanah keilmuan mereka dirampas serta dimusnahkan.
Generasi muda wajar memahami keadaan bahawa mereka bukanlah golongan yang bakal mendominasi masa depan, jika tidak mempunyai kekuatan yang boleh diharapkan untuk membangunkan agama, negara dan umat. Halangan yang mereka hadapi akan berbagai-bagai termasuklah sikap dan minda mereka. Mereka perlu berusaha meningkatkan pencapaian kecemerlangan dalam bidang akademik dan keilmuan. Perkara inilah yang akan menentukan kedudukan mereka pada masa depan. Hakikatnya terbukti dalam era globalisasi ini. Mereka yang cemerlang adalah mereka yang menguasai ilmu dan pengetahuan. Tetapi Islam tidak pernah mengajar pemisahan ilmu sama ada ilmu dunia atau akhirat, baik secara konsep mahupun aplikasinya. Apa yang jelas mereka perlu menguasai ilmu tanpa mengira ilmu dunia atau akhirat. Kita renungkan dan hayati firman Allah bermaksud : "Orang yang diberi ilmu meyakini bahawasanya Al-Qur'an itulah yang benar daripada Tuhanmu, lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka". - (Surah Al Hajj, ayat 54).
Justeru dalam arus perkembangan dan kemajuan yang kita lalui ini, pencarian dan penggalian ilmu kini menjadi suatu yang amat penting dan paling utama. Umat dan bangsa yang berilmu bukan sahaja akan mampu mempertahankan identiti dan keupayaannya, malahan lebih jauh dari itu ia mampu menjana kecemerlangan yang melahirkan kesejehteraan kehidupan. Masyarakat yang tinggi tamadun ilmu pengetahuan, di samping generasinya pula giat dan gigih memakmurkan ilmu itu akan mampu menjadi teras kekuatan bermasyarakat dan bernegara. Justeru ilmu itu tidak dapat tidak menjadi penjana ke arah kehidupan yang lebih terarah dan terpimpin dengan jalan yang lebih selamat dan sempurna.