Pelita Brunei - Minda Pembaca
MINDA PEMBACA

MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu ‘Bersama Memantau Sebarang Kegiatan Penyeludupan’. Mereka akan menerima hadiah sebanyak $40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut :

Jangan takut mengeluarkan pendapat

MANUSIA adalah makhluk yang diciptakan oleh Yang Maha Esa dengan penuh keistimewaan. Antara anugerah-Nya yang paling berharga ialah akal. Melalui akal, manusia mampu berfikir dan melahirkan pendapat dan idea-idea yang sememangnya telah menjadi sifat yang selari dengan keperluan hidup. Namun, semua itu tiada gunanya jika hanya dipendam dan tidak diluahkan.

Budaya bisu hendaklah dihapuskan. Sesetengah kita tidak berani menyuarakan pendapat kerana malu dan takut dihentam atau dilabel sebagai “mengada-ngada”. Walhal, pada hakikatnya, dengan berani melahirkan pendapat atau idea-idea itu, individu yang kreatif akan lahir serta idea-idea dan pendapat yang bernas akan terhasil. Jika ini terjadi, sesebuah masyarakat itu mampu berkembang dan beradya saing serta maju.

Tidak rugi jika kita menghapuskan budaya bisu. Sebagai misalnya, kepetahan bercakap dan bijak menjawab soalan merupakan antara faktor yang dilihat ketika temuduga. Ramai calon yang menghadiri temu duga akhirnya gagal bukan kerana tidak layak dari segi akademik tetapi gagal menampilkan diri dan suka berdiam diri. Perlu diingat bahawa kebanyakan penemu duga tidak menyukai calon yang “ditanya sepatah, menjawab sepatah”. Oleh yang demikian, memiliki kemahiran bercakap dan tidak bisu akan menyakinkan penemu duga supaya memilih calon itu dan melihatnya sebagai seorang yang paling berpotensi untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.

Budaya bisu juga harus dihapuskan di tempat kerja. Kita mestilah tidak berasa takut untuk meluahkan pendapat serta pandangan demi meningkatkan kredibiliti dan kemajuan tempat kita bekerja. Kita hendaklah berani menyuarakan pandangan untuk menyatakan pendirian kerana setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai satu-satu isu. Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua orang yang bersependapat dengan kita, namun perbezaan pendapat dan idea-idea yang pelbagai itulah yang sebenarnya membuka ruang ilmu, minda dan membuatkan kita berfikir dengan lebih rasional. Bukan itu sahaja, malah dengan berani bersuara, ia akan mengelak wujudnya perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya kita melakukan perubahan demi kebaikan dan budaya 'yes sir' perlu dihapuskan.

Budaya bisu hendaklah dihapuskan apatah lagi jika ia bersangkut-paut dengan perkara yang membawa kepada perubahan positif. Janganlah kita malu dan takut untuk bersuara kerana kita adalah jurucakap yang terbaik bagi diri kita. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa membisukan diri atau diam itu adalah lebih baik daripada bercakap jika sekiranya ia hanya membawa kepada keburukan dan mendatangkan fitnah dan kemusnahan. Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman :

"Dan jka kamu melahirkan apa yang ada dalam hatimu (keburukan-keburukan yang kamu sembunyikan) atau kamu menyembunyikannya nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu, maka Allah mengampuni siapa saja yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu".

Hajah Rafizah binti Haji Abdullah
No. 139 ‘N’, Kampong Peramu,
Bandar Seri Begawan, BP 1126
Negara Brunei Darussalam
No. k/p : 00-298007.


Generasi Muda Seharusnya Petah Bercakap

BUDAYA bisu ini selalu dan memang terjadi serta wujud di negara kita ini. Ini bukan bererti orang yang kurang upaya (OKU) yang bisu tidak dapat mengucapkan kata-kata dari mulutnya tetapi budaya bisu ini adalah satu sikap yang mana setentunya tidak akan membawa keuntungan pada diri sendiri apatah lagi kepada kemajuan negara.

Sikap ini dapat dihindari dari diri seseorang individu itu terkecuali mereka sendiri yang mahu berubah untuk kemajuan dan kebaikan pada dirinya. Sikap seperti ini kebanyakkannya terjadi dan berlaku kepada golongan remaja yang takut untuk berdepan mahupun bersua muka bagi menghadapi sesuatu dengan orang lain. Sebagai contoh : Jika menghadapi sesuatu ujian yang mana akan bersua muka dengan orang lain yang tidak dikenali sama sekali. Dalam kitab Al-Qur'an juga ada menyatakan, "Janganlah kamu berdiam diri demi menegakkan keadilan".

Hanya orang-orang yang berani dan berazam kuat sahaja yang akan membawa kemajuan pada diri dan untuk negara; yang setentunya akan membuat hidup dalam ekonomi yang lebih baik. Serta orang yang selalu mengamalkan 'Budaya Bisu' inilah yang akan merugikan semua orang. Tidak hanya rugi kepada diri sendiri tetapi juga melibatkan orang lain seperti keluarga.

Sepatutnya setiap rakyat di sesebuah negeri atau negara itu mestilah bersikap lebih berani dan berpegang teguh bagi untuk memajukan diri dari terpencil dari individu yang lain. Harus lebih berani untuk mneghadapi sesuatu itu terkecuali individu itu sememangnya ditutup hatinya oleh kemalasan dirinya untuk tidak mahu memajukan diri.

Ria Danawarti binti Umar
No. 836 C - 17, Kampong Selangan,
Jalan Batang Duri, Temburong, PD 2751
Negara Brunei Darussalam.
No. k/p : 01-030140


Hapuskan budaya bisu

BUDAYA bisu terutama di Negara Brunei Darussalam ini sudah berleluasa sejak adanya peralatan canggih yang dijadikan sebagai alat perhubungan dengan orang lain. Budaya bisu adalah berhubung dengan seseorang dengan tidak berinteraksi dengan berjumpa malah hanya menggunakan alat canggih seperti komputer dan telefon bimbit. Penggunaan ‘chatting’, ‘SMS’ dan sebagainya.

Disebabkan zaman moden ini juga setiap individu sibuk dengan pekerjaan masing-masing maka ini membuatkan setiap individu itu hanya akan berkomunikasi dengan menggunakan alat-alat yang canggih saja. Maka ini terjadilah budaya bisu di negara ini. Kesan yang akan terjadi akibat budaya bisu ini ialah membuatkan seseorang itu kurang bercakap dan pendiam dan juga takut untuk bersuara. Banyak bercakap pada diri seseorang adalah sangat penting misalnya apabila menghadiri temu duga, keberanian untuk bercakap adalah sangat penting dan ini akan dapat memajukan negara.

Selain itu juga apabila di dalam dunia pekerjaan, budaya bisu juga mesti dihapuskan kerana tanpa bercakap sesuatu pekerjaan itu tidak akan dibuat dengan lebih efisien lagi. Begitu juga penting jika untuk menyuarakan sesuatu pendapat jika berada dalam mesyuarat. Budaya bisu itu mestilah dihapuskan agar negara terus mendapat kemajuan.

Oleh itu adalah sangat penting untuk menghapuskan budaya bisu di negara ini agar negara itu terus maju dan tidak akan mundur. Jika budaya bisu ini dapat dihapuskan maka negara kita akan melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan dan berani untuk memberi pendapat dalam beberapa hal yang penting. Hendaklah selalu ingat bahawa budaya bisu itu seolah-olah menyekat minda kita untuk berfikir lebih jauh lagi.

Ramizah binti Haji Razali
No. 350, Kampong Kuala Abang,
Layong Tutong, TG 1343
Negara Brunei Darussalam.
No. k/p : 00-312707


Beri kerjasama kepada kempen kebersihan

SIKAP malu sering dikaitkan dengan stereotaip orang melayu. Pada zaman teknologi moden dan waktu untuk maju membangun ini, sifat ini tidaklah begitu membanggakan dan digalakkan. Sebaliknya, orang-orang kita hendaklah berani bersuara dan tegas menyatakan pendapat masing-masing.

Perkara ini tidaklah dikhususkan bagi sesuatu generasi. Demi kemajuan negara, kita semua hendaklah memiliki daya dan keberanian untuk maju ke hadapan dan menyuarakan pendapat dan minda kita. Keberanian untuk bersuara ini juga membantu kita menyerlah dari suatu rumpun atau kumpulan dan menaikkan keyakinan diri.

Demi pembangunan negara, golongan belia dan muda mestilah dilatih supaya berani dan berkeyakinan berdiri di hadapan dan bersuara serta tidak ‘bisu’. Jika tidak, ini bukan sahaja menenggelamkan bangsa kita sendiri, tetapi menjadikan mereka lembap dan malu dalam menyuarakan pendapat dan kepintaran masing-masing. Siapa tahu jika mereka mempunyai kebijaksanaan yang diperlukan dan mampu membuat suatu solusi atau jawapan bagi sesuatu permasalahan?

Sejak di bangku sekolah lagi, para pelajar sebaiknya digalakkan bertanya dan bersuara di dalam kelas di hadapan orang ramai. Mereka juga hendaklah dididik supaya tidak takut membuat atau menyuarakan suatu kesilapan, kerana ini merupakan antara halangan yang selalu timbul.

Golongan muda ini juga sebaiknya digalakkan dan dibiasakan bersosial dan mengikuti segala aktiviti luaran serta sosial yang sihat ketika cuti sekolah kerana ini dapat membantu menaikkan keyakinan mereka dan menghindari dari sifat malu dan ‘bisu’. Keeratan dalam hubungan kekeluargaan dan persahabatan juga penting dalam melatih perkara ini.

Bengkel keyakinan diri (self-esteem camp) juga sepatutnya diadakan tidak kiralah untuk golongan mana pun terutama sekali golongan muda dan masih bersekolah. Melalui bengkel ini, mereka dapat diajar untuk percaya diri, mengetahui keistimewaan masing-masing, menaikkan keyakinan, memperluaskan pengetahuan dan hubungan sosial serta berani bersuara.

Dengan latihan dan langkah-langkah yang disarankan ini, segala individu tidak kiralah dari golongan mana pun memiliki keberanian untuk bersuara dan ini bukan sahaja untuk kebaikan masing-masing, bahkan untuk kemajuan dan pembangunan negara juga.

Mohamad Saiful bin Sulong
G44, Lorong 102, Penanjong Garisson,
Tutong, TA 3141
Negara Brunei Darussalam.
No. k/p : 00-320498


TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG

1. 'Persatuan Belia Perlu Kerap Adakan Aktiviti Kebajikan dan Kemasyarakatan'. Tarikh tutup : 15 November 2008.

2. 'Elakkan Kerja Yang Bertindih-tindih''. Tarikh tutup : 22 November 2008.

3. 'Brunei Mampu Lahirkan Penulis Yang Berkaliber'. Tarikh tutup : 29 November 2008.

Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :

Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn


Kembali ke muka utama