
Rabu, 4 Februari 2009
8 Safar 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
IMPAK banjir kilat dan tanah susur yang melanda Negara Brunei Darussalam dua minggu yang lalu bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian kita, malahan ia juga mengundang situasi panik dan ‘kelam kabut’ seketika apa tidaknya akibat terputusnya bekalan tenaga elektrik di sebahagian Daerah Brunei dan Muara yang menjejaskan sektor perdagangan yang mendukung aktiviti perekonomian. Selain itu kita juga merasa sedih di atas kemusnahan meluas harta benda orang ramai dan juga kemudahan awam kerajaan dan bersedih di atas kehilangan dua nyawa. Fenomena yang sesiapa pun tidak menyangka berlaku ‘sekelip mata’ ditambah lagi dengan pertembungan air pasang yang memburukkan lagi keadaan sehinggakan kemusnahan harta benda yang banyak, sungguhpun kerugian belum lagi ditafsirkan, walau bagaimanapun dari kesan hujan luar biasa pada 20 dan 21 Januari itu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menanggung kerugian termasuk pengurusan pentadbiran sebahagian kementerian dan jabatan kerajaan terjejas.
Kejadian itu sebenarnya menguji kemampuan kita baik dari segi persediaan dan keupayaan kita dalam menangani bencana dan keberkesanan serta kemampuan sebenar sistem dan rangkaian prasarana awam, jalan raya dan komunikasi. Banyak suara-suara yang menyalahkan pihak berwajib kerana tidak peka terhadap bencana itu kerana ‘signal'nya sudah ada sebelum kejadian berkenaan. Cuma apa yang dapat diperkatakan ‘yang terjadi tetap terjadi’, biarlah pengalaman itu menjadi pengajaran berguna kepada kita semua dan mengambil iktibar serta meningkatkan usaha bersunggguh-sungguh dalam menangani bencana yang lebih dahsyat di kemudian hari, lebih-lebih lagi musim tengkujuh diramalkan sehingga bulan Mac depan. Semogalah kitani belajar daripada pengalaman yang pahit dan bersedia dari sekarang dengan lebih yakin dan siap siaga.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 31 Januari lalu juga menyabdakan bahawa pengalaman fenomena itu benar-benar ‘membuka mata’ kita semua betapa rapuh dan lemahnya keupayaan sistem prasarana awam dan perhubungan kita. Bayangkan jika hujan berlanjutan untuk beberapa hari, apakah kemampuan dan kesediaan yang sedia ada boleh menangani kemungkinan keadaan bencana yang lebih luar biasa?
Apa pun alasannya, seperti yang disarankan oleh Duli Yang Teramat Mulia biarlah ada kesinambungan langkah, usaha dan kerja-kerja pengurangan risiko bencana seperti banjir kilat agar ianya dijalankan dan dikendalikan sebelum tibanya musim tengkujuh, bukannya setelah terjadinya bencana. Sabda DYTM sesungguhnya tersirat kebenarannya bila kita berpegang teguh kepada pepatah Melayu iaitu ‘sediakan payung sebelum hujan’.
Dalam hubungan ini, agensi teras dalam penjanaan dan pembekalan tenaga perlu menyediakan pelan kontingensi masing-masing bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih ’resilient’. Selain itu, pihak berkenaan juga perlu mengkaji dan menilai semula keadaan sungai-sungai yang banyak dipengaruhi oleh aktiviti-aktiviti pembangunan yang semakin pesat. Perubahan alam persekitaran ini memaksa kita bertindak lebih segera memperdalamkan dan memperluaskan dasar sungai. Begitu juga pemeliharaan longkang-longkang dan parit-parit juga perlu diberikan perhatian serius agar tidak akan mengundang ‘kelimpahan air’ di masa mendatang.
Yang juga patut menjadi keutamaan, memastikan pelaksanaan projek-projek kerajaan dipantau dengan memastikan syarat kontrak, spesifikasi, peraturan kewangan dan lain-lain peraturan dipatuhi. Apa yang penting membuat penilaian supaya setiap projek pembinaan dilaksanakan dengan sempurna bukan ’cincai’ dan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’, tetapi hendaklah dipantau setiap masa.
Sebenarnya, tugas menjaga kesejahteraan negara adalah hak dan tanggungjawab bersama bukan sahaja dibebankan kepada pihak kerajaan semata-mata. 'Program kesedaran’ di kalangan penuntut, para belia, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah diusahakan dan dijadikan konsep hidup sehari-hari. Dengan adanya kesedaran seumpama itu membolehkan semua lapisan rakyat merasa terpanggil untuk bersedia menyumbang tenaga secara sukarela tanpa menagih imbalan dalam membantu mangsa-mangsa bencana. Kita sama-sama berharap agar lebih ramai lagi yang tampil ke hadapan bagi memberikan kerjasama erat kepada kerajaan khususnya Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam menangani apa jua malapetaka.