Langkah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) untuk menubuhkan akademi tentera pada tahun ini mendapat sambutan baik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, begitu juga penubuhan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta kerja-kerja peningkatan kepada institut latihan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pemerintah Tertinggi ABDB dan Menteri Pertahanan yakin segala kemudahan tersebut akan memperluaskan lagi perspektif dan visi para anggota ABDB.
Sesuai dengan tema sambutan ulang tahun ABDB Ke-47, 'Memperkasa Tunas Bangsa Memperkukuh Pertahanan Negara' di mana generasi muda sama ada yang sudah menceburi kerjaya di dalam ABDB, yang akan menceburi kerjaya tentera ataupun mereka yang akan menyumbang kepada kekukuhan pertahanan negara ini melalui bidang atau kepakaran masing-masing mestilah disediakan atau dibekalkan dengan semangat serta ciri-ciri keperkasaan; berani, yakin, tidak mudah berputus asa dan berdaya saing.
Ianya juga selaras dengan wawasan ABDB sebagaimana yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2007 untuk melahirkan angkatan tentera yang cekap, responsif dan efisien dalam penggunaan sumber yang mana Perkembangan dan Pengurusan Sumber Tenaga Manusia adalah di antara elemen penting yang dikenal pasti dalam meningkatkan keupayaan.
Harapan baginda supaya aset tersebut hendaklah digunakan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan pelbagai kemahiran tambahan pula dengan pertumbuhan pesat pembangunan infrastruktur antaranya pembukaan Perkhemahan Batalion Ketiga serta kemudahan prasarana bagi perajurit yang bertugas di Pulau Baru-Baru merupakan petunjuk nyata bahawa tahap profesionalisme dan keupayaan ABDB adalah meningkat.
Titah baginda semua itu menandakan keprihatinan kita dalam menyediakan persekitaran yang lebih selesa bagi para anggota, di samping bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih profesional sesuai dengan sebuah angkatan pertahanan yang sedang berkembang.
Sesungguhnya penempatan Batalion Ketiga di Perkhemahan Lumut merupakan suatu lagi pencapaian terpenting bagi ABDB di alaf baru yang menjadi tanda kehadiran ABDB secara kekal di Daerah Belait dan ianya menjadi landasan bukan sahaja bagi gerakan ketenteraan tetapi juga bagi mendekatkan lagi ABDB dengan masyarakat negara ini dalam memberikan keyakinan dan juga tekad pemedulian kepada orang ramai khususnya rakyat serta penduduk di Daerah Belait tambahan pula kedudukannya yang strategik yang kaya dengan hasil bumi yang menjadi sumber kekayaan negara iaitu berdekatan dengan Loji Gas Cecair Asli dan Taman Perindustrian Sungai Liang yang merupakan sebahagian daripada infrastruktur yang berkepentingan strategik dalam menjana ekonomi negara.
Di samping langkah menimba ilmu, mengasah kepakaran, memperoleh peralatan dan membina infrastruktur, baginda juga menekankan akan pentingnya memiliki prestasi kepimpinan yang berkesan. Pemimpin-pemimpin perlu mempunyai wawasan untuk melakukan peningkatan serta memiliki kebolehan bagi mengatasi apa saja kelemahan.
Dalam institusi ketenteraan titah baginda ciri-ciri kepimpinan seperti itu adalah amat mustahak untuk membezakannya dari institusi yang lain. Semua lapisan kepimpinan dalam ABDB perlu menjadi 'centre of gravity' di mana semua kebajikan atau kepentingan angkatan bersenjata banyak bergantung.
Para pemimpin mestilah menjadi teladan kepada yang dipimpin, baik dari segi standard, disiplin mahupun hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala. Pemimpin yang berjaya bilamana pemimpin itu berjaya membawa anggota pempimpinnya memenuhi tanggungjawab asas yang dipikulkan kepada mereka.
Jika kita perhatikan di keliling kita umpamanya di negara-negara Asia Tenggara sendiri juga kini telah berlumba-lumba untuk mengukuhkan dan memantapkan sistem pertahanan masing-masing umpamanya dengan mengeluarkan peruntukan yang besar bagi membeli kelengkapan pertahanan yang lebih canggih.
Bagi negara kita sendiri tidak memadai dengan memiliki peralatan canggih dan kekuatan anggotanya, tetapi yang lebih dipentingkan daya kepimpinan yang bijaksana yang berteraskan iman. Ini bererti perkembangan fizikal itu mestilah diseimbangkan dengan perkembangan rohani bagi menjamin kejayaan yang diharapkan.
Kekuatan fizikal dan mental jika disertakan dengan kekuatan rohani akan melahirkan seorang tentera yang mempunyai kekuatan pertahanan yang utuh dan sukar digugat. Di samping gabungan kekuatan ketiga-tiga elemen kognitif, efektif dan psikomotor ditambah lagi dengan kekuatan senjata mampu menjadi benteng pertahanan yang mantap walaupun pelbagai tentangan datang dari bilangan yang ramai. Dalam pada itu semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan negara juga harus ada pada jiwa setiap anggota ABDB.
Sesungguhnya penguasaan ilmu ketenteraan, disiplin yang mantap dan tabah menghadapi cabaran akan menaikkan martabat anggota tentera. Disiplin ketenteraan sangat penting kerana ianya menjadi sukat-sukat yang boleh menonjolkan imej terhadap ABDB kerana dengan mengamalkan disiplin yang tinggi dapat membantu mewujudkan sistem pertahanan yang efektif dan kuat yang memerlukan setiap pertubuhan ABDB mewujudkan kualiti operasi yang tinggi. Disiplin amat mustahak dan penting dalam menonjolkan imej dan kepercayaan orang ramai. Kecuaian dan kelonggaran dalam disiplin secara langsung boleh menjejaskan imej pasukan.
Kemantapan benteng pertahanan Negara Brunei Darussalam benar-benar efektif dan berkemampuan dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Ini adalah kerana adanya semangat keperwiraan dan keberanian, disiplin dan semangat dedikasi yang tinggi di kalangan anggota ABDB dan ditambah dengan sikap keprihatinan baginda dalam jentera pertahanan dan keselamatan negara.
Tanggungjawab yang dipikul oleh ABDB amat berat kerana demi mempertahankan negara yang dicintai dari sebarang ancaman luar mereka sanggup mempertaruhkan nyawa mereka. Pengorbanan dan sumbangan serta jasa setiap anggota ABDB lebih-lebih lagi mereka yang terkorban bagi menegakkan keamanan dan ketenteraman negara sangat berharga tidak dapat di-nilai dengan harta dan wang ringgit. Jasa mereka seharusnya dikenang sepanjang zaman dan menjadi contoh kepada anggota yang ada ketika ini.
Penubuhan ABDB sejak 47 tahun yang lalu setidak-tidaknya dapat mempertahankan dan memperkukuhkan kubu negara, di samping bertindak untuk menghalang sebarang kuasa luar yang berniat untuk campur tangan secara langsung kepada negara dan sebarang unsur subversif yang aktual atau potensi berlaku di dalam negeri.
Sesungguhnya kita bertuah mempunyai negara, raja dan kerajaan yang pemedulian jika kita bandingkan dengan keadaan sebahagian besar warga dunia hari ini seperti mana yang kita saksikan di kaca TV, internet, majalah dan berita, peperangan dan konflik yang berterusan, kepincangan ekonomi yang berpanjangan, krisis moral yang bagaikan tiada jalan keluar, krisis alam sekitar yang wujud akibat kecuaian serta pelbagai konflik yang sebahagian besar sengaja diwujudkan untuk kepentingan segelintir kuasa-kuasa besar.
Berada dalam keadaan inilah, sewajarnya kita terus meningkatkan rasa cinta kepada negara dalam erti kata taat kepada ketua negara dan ketua kerajaan iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mematuhi undang-undang dan peraturan negara, sentiasa bersikap positif dan ingin maju serta bersedia menyumbang tenaga dan fikiran untuk keluarga, masyarakat di sekeliling kita, bangsa dan negara keseluruhannya.
Kembali ke muka utama