Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

SEMANGAT PERJUANGAN PERLU ADA PADA SEMUA LAPISAN MASYARAKAT

MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sentiasa patuh dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya serta sedia berkorban untuk agama, bangsa dan negara demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat.

Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dikurniakan sebuah negara yang aman damai, makmur dan harmoni. Oleh sebab itu kita mestilah sentiasa menjaga kesejahteraan yang kita nikmati ini dengan sebaik-baiknya iaitu dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga dengan syukur itu Allah Subhanahu Wata’ala akan menambahkan dan mengekalkan nikmat-Nya, menjauhkan kita daripada sebarang malapetaka dan kemurkaan serta azab sengsara, seperti mana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ibrahim ayat 7, tafsirnya :

“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Untuk mencapai kesejahteraan dan keamanan di sesebuah negara atau tempat bukannya suatu pekerjaan yang mudah, malah memerlukan kepada pasukan keselamatan. Alhamdulillah, di negara kita terdapat pasukan-pasukan keselamatan yang diberi amanah untuk mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara dan salah satunya ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, di mana pada 31 Mei ini genaplah usianya 48 tahun. Maka dalam usianya yang matang itu, sudah setentunya mereka mempunyai kekuatan dan kemampuan serta persediaan yang cukup dan mampu untuk menghadapi segala rintangan dan cabaran untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.

Sesungguhnya tugas sebagai tentera adalah amat mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Anggota tentera yang menjalankan tugasnya dengan amanah dan penuh dedikasi sangatlah kita sanjung tinggi dan hormati. Apa yang lebih penting juga, tugas yang mereka pikul ini amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertai dengan niat ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan tentera bukan sahaja terletak pada senjata yang canggih dan lengkap serta anggota yang ramai, bahkan ianya juga memerlukan kepintaran dalam menyusun strategi, persefahaman yang baik, sifat setia kawan, taat kepada pemerintah, fizikal yang sihat dan cergas dan yang lebih penting ialah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Kekuatan iman amatlah penting bagi sesebuah pasukan kerana sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam bukanlah terletak kepada keramaian tentera dan kecanggihan peralatan perangnya tetapi berpunca dari kekuatan iman, keikhlasan, kejujuran, taat kepada ketua dan yang penting berjuang semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata’ala. Sebagai contoh peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam semasa Perang Badar. Walaupun pada ketika itu bilangan tentera Islam lebih kurang 300 orang dan tentera musuh lebih kurang 1,000 orang, tetapi berbekalkan keimanan dan ketaqwaan dan semangat juang yang tinggi kepada Allah Subhanahu Wata’ala serta strategi yang berkesan maka tentera musuh dapat ditewaskan.

Satu contoh lagi, semasa pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al- Khattab Radiallahuanhu, Sayidina Amru bin Al-A’as Radiallahuanhu yang berjuang di dalam peperangan untuk menakluki Kota Iskandariah telah memohon bantuan ketenteraan daripada Khalifah Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu. Sayidina Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu telah mengutus 8,000 tentera termasuk empat orang sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang pernah berperang dengan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sejak Perang Badar.

Sayidina Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu menyatakan dalam sepucuk suratnya kepada Amru bin Al-A’as : Aku menghantar kepada kamu bukannya 8,000 tentera, tetapi 12,000 tentera. Kerana empat orang sahabat yang pernah berperang bersama-sama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sejak Perang Badar itu kekuatannya adalah menyamai 1,000 orang Mukmin. Dengan ketaqwaan yang dimiliki oleh tentera tersebut, dalam masa yang singkat, tentera Rome seramai 120,000 yang berkubu di Kota Iskandariah telah tewas dengan izin Allah. Tentera Islam yang jumlahnya jauh lebih sedikit dari tentera Rome telah beroleh kemenangan atas kekuatan taqwa mereka kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Peristiwa inilah yang sepatutnya menjadi iktibar dan pembakar semangat kepada tentera kita supaya berkhidmat hanya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata’ala, bukannya hanya sekadar untuk mendapat pekerjaan sahaja.

Semangat perjuangan dan mempertahankan negara bukan hanya pada anggota tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negara memerlukan rakyat yang sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negaranya. Oleh itu perasaan cinta kepada agama, bangsa, raja dan tanah air perlu disemai. Kita perlu sedar bahawa musuh yang sebenarnya bukanlah sekadar musuh yang beradu kekuatan dengan kita, akan tetapi musuh yang sebenar ialah hawa nafsu yang mendorong kepada kemungkaran yang cuba menggugat kesejahteraan, keharmonian, mengancam kesucian agama dan merosakkan budaya seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan bermacam-macam lagi gejala-gejala sosial yang boleh membawa keruntuhan moral. Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita seharusnya memerangi gejala ini daripada terus merebak meracuni pemikiran anak bangsa kita. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya :

“Dari Abi Sa’id Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya ia tiada juga berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya yang demikian it adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Al-Imam Muslim).

Kita perlu sedar bahawa maruah agama, bangsa dan negara wajib dibela dan kemakmuran negara mestilah dipertahankan. Agama Islam amat memandang tinggi kepada umatnya yang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana ia merupakan sifat mulia yang disanjung tinggi oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala melebihkan kedudukan orang-orang yang berjuang daripada orang-orang yang tidak berjuang, sepertimana firman Allah Subhanahu Allah di dalam Surah An Nisaa’ ayat 95, tafsirnya :

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk tidak turut berperang dari kalangan orang-orang yang beriman, selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang- orang yang berjihad berjuang pada jalan Allah untuk membela Islam dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orangorang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk tidak turut berperang kerana uzur dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu dari dua golongan itu Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga). Dan Allah melebihkan orang- orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur dengan pahala yang amat besar.”

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala dan kita memohon kepada Allah supaya akan tertanam dalam jiwa mereka semangat cintakan agama, bangsa dan negara dan semangat rela berkorban. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan sentiasa melindungi negara kita daripada ancaman musuh dan musibah. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 200, tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan dan bersedialah dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.”


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-