Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu , 3 Jun 2009
9 Jamadilakhir 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

SIAP SIAGA MENDEPANI ANCAMAN

DALAM titah amanat Sempena Sambutan Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Ke-48, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perlunya Kementerian Pertahanan dan ABDB memberikan penumpuan seimbang terhadap semua aspek dan elemen pertahanan. Perkara ini menurut baginda amatlah wajar diberikan perhatian serius memandangkan negara kini berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman semasa dari setiap penjuru. Kita juga perlu peka dengan kejadian-kejadian yang sering berlaku di sekeliling kita. Kejadian-kejadian itu sesetengahnya tidak sunyi dari turut mengancam keamanan sejagat. Ada yang berupa penggunaan peralatan-peralatan canggih untuk mengacau-bilaukan dan mengharu-birukan keadaan dan tidak kurang juga ancaman dalam bentuk saikologi melalui bermacam-macam tindakan dan perbuatan yang tidak diingini. Semua itu tidak boleh dipandang ringan dan mesti kita depani serta wajar kita hindarkan.

Memang negara berkeadaan aman, makmur dan sejahtera, tetapi itu tidak bermakna kita boleh leka. Kita perlu memisi-misi akan pepatah Melayu bahawa, ’air yang tenang jangan disangka tidak berbuaya’. Pepatah ini masih relevan dan amat perlu dijadikan teladan bagi memastikan negara terus-menerus berkeadaan aman damai dan sejahtera. Lebih-lebih lagi susur galur bentuk ancaman kini bahangnya pelbagai rupa, antaranya termasuk ancaman keselamatan bukan tradisional seperti wabak penyakit berjangkit, krisis kewangan global dan kesan rumah hijau serta pemanasan global yang semakin banyak menyumbang kepada bencana alam. Melihat landskap ancaman itu, sudah sampai masanya bagi Kementerian Pertahanan dan ABDB, sebagai tulang belakang pertahanan negara di masa depan agar lebih memfokus hala tuju mengisi rancangan bagi melahirkan Kertas Putih Pertahanan yang baru.

Dalam pada itu, baginda juga mahukan agar kementerian berkenaan dan ABDB sendiri benar-benar memberikan perhatian secukupnya kepada usaha meningkatkan tahap profesionalisme dan nilai tambah bagi setiap anggota. Baginda juga memperingatkan pegawai-pegawai dan anggota ABDB supaya menitikberatkan faktor kepimpinan yang menjadi tunjang dalam menentukan kredibiliti dan integriti pertahanan. Jika kepimpinan diabaikan kesannya akan meruntuhkan pertahanan dan keselamatan negara. Tegasnya, kepimpinan mesti mantap dan berwibawa kerana jika pemimpin porak-peranda dan hilang arah pedoman maka akan kucar-kacirlah organisasi yang dipimpin. Perkara ini boleh kita jadikan sukat-sukat melihat kepada adanya negara luar yang tidak mempedulikan kepimpinan yang mengheret negara berkenaan kucar-kacir dan menempuh pelbagai kehidupan yang tidak menentu.

Justeru itu baginda penuh berharap supaya para pemimpin serta pegawai atasan akan sentisa mempertahankan tahap kualiti kepimpinan bagi menjamin kesempurnaan dalam pengurusan dan pentadbiran secara keseluruhannya. Kita jangan sekali-kali lupa biar macam mana sekalipun canggihnya teknologi ketenteraan itu, namun semua itu tidak akan mampu menggantikan fungsi kepimpinan dalam organisasi. Kepimpinan akan terus diperlukan selaku tunggak utama untuk menentukan baik buruknya perjalanan sesebuah organisasi. Semogalah titah amanat baginda itu akan diperincikan satu per satu dengan menganalisa penuh lutanan, di samping bersedia membuat perubahan terutama sekali dalam meningkatkan tahap profesionalisme anggota-anggotanya tidak kira yang berpangkat tinggi, menengah dan rendah, tetapi semuanya memainkan peranan sebagai bentang keselamatan tanah air.

Amatlah wajar benteng pertahanan negara diperteguhkan bagi mendukung kemantapan dan keupayaan sesebuah negara sesuai dengan tema sambutan ’Memperkukuhkan Pertahanan Dalam Mendukung Kedewasaan Bernegara'. Bagi ABDB sendiri pengukuhan pertahanan atau kedewasaan dalam memperkasakan pertahanan ini merangkumi pelbagai perkembangan terutama dari segi sumber tenaga manusia, kelengkapan prasarana dan doktrin. Anjakan paradigma meliputi perubahan dan peningkatan adalah lebih wajar kerana pada 31 Mei 2011, ABDB akan menjangkau usia ke angka 50, dan akan meraikan Sambutan Jubli Emas sempena penubuhan 50 tahun itu.

Apa pun, alhamdulillah, sejak 48 tahun lalu, ABDB semakin mantap, berwibawa dan berkaliber. Dari sebuah angkatan bersenjata yang konvensional, ABDB kini telah menjadi sebuah entiti pertahanan yang bukan sahaja mampu menyumbang kepada pembangunan negara bangsa bahkan melangkaui sempadan keamanan dan keselamatan antarabangsa melalui penglibatan dalam misi-misi pengaman dan juga kemanusiaan luar negara di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kejayaan terakhir di luar negara yang dikecapi oleh ABDB ialah penghantaran lima anggotanya menyertai kontinjen Malaysia bagi menjalankan tugas pengaman di Lubnan. Ini menunjukkan bukti jelas sekali bahawa saiz yang kecil bukan halangan untuk maju ke hadapan dan berada pada kedudukan yang setara dengan negara-negara lain, malah situasi itu menjadi pendorong yang kuat ke arah berdaya saing.

Kita yakin, ABDB tetap menjadi harapan utama dan pasak pertahanan dari angkara musuh yang cuba mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara kitani. Kementerian Pertahanan dan ABDB akan sentiasa tetap siap siaga menempuh apa jua cabaran dan ancaman di depan dalam sama-sama mempertahankan, memelihara keamanan, kestabilan dan kesejahteraan secara berterusan demi nusa dan bangsa, kedaulatan raja serta kesucian agama Islam.

SELAMAT MEYAMBUT ULANG TAHUN KE-48 PENUBUHAN ABDB


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Tarikh tutup bagi penghantaran borang-borang penyertaan ialah pada 30 Julai 2009

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.