|

ETIKA MENEGAKKAN AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR
AL-QUR'AN dan hadis telah mengajarkan umat Islam agar bijaksana dan adil dalam menegakkan perkara kebajikan dan menegah kejahatan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan golongan seseorang itu demi memelihara dan memuliakan hukum Allah Subhanahu Wata'ala. Ini adalah bertujuan untuk memakmurkan dan meningkatkan kesejahteraan hidup manusia seluruhnya.
Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Sa'id Al-Khudri Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ia hendaklah mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya dan jika ia tidak mampu maka hendaklah ia mencegah dengan lidahnya dan jika ia tidak mampu juga maka hendaklah ia mencegahnya dengan hati. Itulah selemah-lemah iman."
Hadis di atas menerangkan bahawa ada tiga langkah utama dalam mencegah kemungkaran mengikut keupayaan masing-masing:
1. Mencegah dengan tangan (kuasa)
Proses pelaksanaan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar hendaklah memastikan bahawa seseorang itu benar-benar melakukan kemungkaran dengan sengaja dan terang-terangan. Tindakan yang diambil bukanlah dengan kekerasan yang membawa kepada pertumpahan darah atau cara yang menimbulkan kekacauan yang lebih dahsyat, tetapi memadai dengan mengenakan hukuman atau denda yang setimpal dan adil menurut syarak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Maa-idah ayat 42 tafsirnya : "… dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
Kemudian jika mereka ingkar dan terus melakukan kemungkaran, pihak berkuasa bolehlah menggunakan kekerasan yang boleh membawa mereka kepada mentaati Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Hujuraat ayat 9 tafsirnya : "… maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah …"
Pemimpin masyarakat, ibu bapa dan individu Muslim mempunyai hak menggunakan kuasa yang ada pada mereka dalam memastikan masyarakat Islam khususnya orang-orang yang di bawah tanggungjawab mereka melakukan perkara yang diperintah melakukannya dan menjauhi segala kemungkaran yang ditegah melakukannya.
2. Mencegah dengan lidah (nasihat)
Cara ini dilakukan setelah seseorang itu tidak mampu mencegah dengan kuasa yang ada padanya. Mencegah dengan lidah yang dimaksudkan ialah mencegah berlaku kemungkaran dengan cara menasihati dengan baik dan penuh hikmah, memberi bimbingan, kaunseling, teguran atau amaran yang dilakukan oleh pihak berkuasa atau individu ke atas orang yang melakukan kemungkaran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Thaahaa ayat 44 tafsirnya : "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut."
Bagi menyedarkan masyarakat Islam agar sentiasa ingat dan patuh akan perintah Allah Subhanahu Wata'ala, majlis-majlis ilmu seperti forum, ceramah, seminar, diskusi dan muzakarah perlu diperhebatkan lagi dengan tujuan menjauhkan mereka dari perkara maksiat yang tidak membawa keuntungan.
3. Mencegah dengan hati
Mencegah dengan hati bermaksud merasa kebencian dan tidak rela dengan kejahatan atau kemungkaran yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Pada peringkat ini seseorang itu sudah tidak mampu menentang dengan kuasa yang ada padanya dan tidak mampu juga menasihati orang yang melakukan kemungkaran itu disebabkan kelemahan fizikal sendiri atau takut mendatangkan kemudaratan kepada dirinya sendiri. Keingkaran dengan hati ini adalah tanda selemah-lemah iman, tetapi fardu ain bagi tiap-tiap orang Islam.
Kemungkaran yang menular dalam sesebuah masyarakat dan negara adalah suatu gejala yang boleh mengancam keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam. Oleh itu segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan patut dicegah walaupun dengan hati dan perasaan benci jika tidak mempunyai kuasa demi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Bagi menegakkan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar perlu kepada beberapa cara dan pendekatan seperti mana disebutkan dalam Al-Qur'an, antaranya :
i. Menyuruh dan menyeru dengan cara yang baik sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nahl ayat 125 tafsirnya : "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik …"
ii. Memberi pengajaran kepada manusia tentang akibat buruk perbuatan mungkar sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam menerangkan keburukan arak, judi, berhala dan tenung nasib kepada hamba-Nya dalam Surah Al Maa-idah ayat 90 tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."
iii. Mengajar dan mendidik manusia agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan kemuliaan akhlak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Shaad ayat 26 tafsirnya : " … dan janganlah engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah …"
iv. Memudahkan dan tidak menyulitkan satu-satu kewajipan atau tindakan agar senang diterima. Islam agama yang mementingkan kebajikan umatnya dalam segenap segi sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 286 tafsirnya : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya."
Kembali ke muka utama
|