Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu, 3 Februari 2010
18 Safar 1431

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

KIBARKAN BENDERA SEMPENA
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

SAMBUTAN Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 Tahun 2010 akan bermula dengan Upacara Menaikkan Bendera Besar pada hari Ahad, 7 Februari 2010 sebelum perhimpunan agung pada hari Selasa, 23 Februari ini bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara. Bersempena dengan sambutan berkenaan dan bagi memeriahkan lagi sambutan yang bersejarah itu, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam supaya sama-sama mengibarkan bendera di rumah-rumah kediaman masing-masing dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan mulai hari Ahad, 7 Februari 2010 sehingga hari Sabtu, 27 Februari 2010. Sementara Pengiran-pengiran akan mengibarkan bendera peribadi, orang-orang yang dikurniakan gelaran akan mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai pula akan mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Dalam masa tempoh 21 hari, kita mahu bendera negara dengan warna hitam, putih dan kuning berkibar megah di bangunan-bangunan kerajaan, jalan-jalan utama di sekitar Bandar Seri Begawan, pusat membeli-belah dan rumah-rumah persendirian di seluruh pelusuk tanah air bagi sama-sama menyemarakkan dan membesarkan lagi sambutan hari keramat itu. Inilah sebenarnya cara budaya kita membesarkan hari kebangsaan setelah kita mengecap buah kemerdekaan lebih 25 tahun yang lalu.

Amatlah wajar sebagai bangsa yang merdeka, beramai-ramai mengibarkan bendera yang menjadi lambang kebangsaan dan lambang patriotik yang sejati. Wajarlah bagi semua rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam akan lebih bersikap positif dan patriotik dengan mengibarkan bendera negara secara terhormat dan sempurna sama ada di kampung-kampung dan mukim-mukim, di kawasan-kawasan perumahan dan perniagaan di seluruh negara. Kita mahu supaya setiap rumah di negara ini menaikkan dan mengibarkan bendera sebagai lambang ketaatan kepada raja dan negara, kerana kita mengibar bendera bukan bertujuan bermegah-megah, tetapi yang penting sebagai simbol kebanggaan dan kemegahan bernegara. Mesej yang utama yang cuba digarap ialah sebagai perlambangan dan pembarigaan ke seluruh pelusuk negara tentang sambutan yang bersejarah bagi menimbulkan aura semangat cintakan bangsa dan negara, di samping memupuk semangat patriotik yang sejati.

Bangsa yang patriotik adalah menjadi keagungan negara. Kerana itu kita sering menyemai rasa kecintaan kepada negara melalui bendera kebangsaan kita. Apa tidaknya kerana tidak ada siapa yang kita harapkan untuk menegakkan bendera kebangsaan yang menjadi kemegahan selain kita sendiri. Begitulah pengaruhnya bendera dalam kehidupan kita. Perlu diingat, bendera negara berkait rapat dengan maruah dan martabat bangsa kerana ia merupakan lambang kedaulatan bangsa, lambang keteguhan dan kekuatan negara. Pada hakikatnya, bendera dijadikan mekanisme dan saluran penting untuk menghimbau serta menyemai bibit-bibit semangat patriotisme, semangat cintakan bangsa dan tanah air.

Namun semboyan itu tidak cukup untuk menghimbau kesemuanya. Ini dapat diperhatikan bilamana masih ramai lagi orang kitani tidak mahu dan bersedia mengibarkan bendera setiap menjelangnya Hari Kebangsaan sungguhpun pelbagai usaha telah dijalankan bagi menarik perhatian orang ramai bagi sama-sama menaikkan bendera kebangsaan. Berbagai alasan yang diberikan sedangkan ianya mudah dan tidak memerlukan tenaga dan wang ringgit yang banyak. Akan tetapi orang kitani masih sahaja beranggapan mengibarkan bendera membuang masa dan tidak memberi apa makna dan keuntungan. Tegasnya orang kitani masih saja berkira itu dan ini. Memang secara kasar ianya tidak membawa apa-apa keuntungan, tetapi jika kitani memahami pengorbanan erti kemerdekaan amatlah besar maknanya sebagai pancaran bagi memupuk semangat cintakan kepada negara. Jauh dari itu sebagai simbol memupuk semangat patriotik untuk terus berjuang dan berbakti ke arah kemajuan dan kecemerlangan Negara Brunei Darussalam di masa mendatang. Kenapa perkara damit menaikkan bendera pun kita tidak sanggup melakukannya apa lagi perkara besar yang memerlukan pengorbanan sejati? Di mana sebenarnya letak semangat patriotik dan semangat kebangsaan yang kita laung-laungkan selama ini?

Sehubungan dengan itu, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melancarkan Kempen Mengibar Bendera di keempat-empat Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Kuala Belait dan Temburong. Kempen berkenaan akan bermula di daerah Tutong pada hari Khamis, 4 Februari ini bertempat di Dewan Kemasyarakatan Tutong. Kempen kali ke-2 yang diungkayahkan oleh Jabatan Penerangan lebih merupakan menanamkan dan mempertingkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan penduduk, di samping sebagai usaha berterusan menaikkan semangat patriotisme sebagai lambang jati diri, pemangkin semangat nasionalisme, simbol kemegahan dan kebanggaan negara bangsa.

Marilah kita bersama-sama mengibarkan bendera kebangsaan sambil kita menghormati dan memartabatkan sebagai alat kebesaran negara. Dalam meniti liku-liku kehidupan berbangsa dan bernegara, amatlah wajar kita mengorak langkah ke hadapan dengan lebih maju dan dinamik bagi membawa sirna yang berkilau-kilauan penuh gilang-gemilang kepada bumi Darussalam yang tercinta ini. Sikap positif sedemikian amatlah dituntut sebagai tanda keyakinan yang negara ini adalah bumi tempat berpijak, bernaung dan mengabdikan jasa bakti di atas jalan yang benar seperti maksud slogan pada bendera negara, 'Sentiasa membuat kebajikan dengan petunjuk Allah'. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN

Kembali ke muka utama