|
Perpustakaan gedung khazanah ilmu
SENGKURONG, Rabu, 3 Februari. - Perpustakaan adalah merupakan gedung khazanah ilmu pengetahuan, pusat pengembangan budaya ilmu dan pertumbuhan intelek yang memberi peluang dan ruang untuk mencari dan menggali ilmu pengetahuaan.
Ketua Bahagian Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Haji Sahari bin Haji Nassar berucap demikian pada Bengkel Kemahiran ICT bagi pegawai dan kakitangan DBP, berlangsung di Bilik ICT, DBP Sengkurong.
 PENGURUS Am, Pembangunan dan Pendidikan Teknikal, Akademi ILM, Tel Bru, Dayang Mahdiana binti Haji Mahmud semasa membimbing bengkel.
Menurutnya, perpustakaan juga merupakan institusi penting yang memelihara khazanah warisan negara secara lengkap lagi terarah untuk kemudahan penyibaran maklumat seluas-luasnya kepada segenap golongan masyarakat.
Beliau menjelaskan, perpustakaan sekarang dengan perkembangan pesat ICT tidak lagi dapat wujud dalam fungsi tradisionalnya, tetapi ia telah berkembang maju sesuai dengan peranannya yang proaktif dan selari dengan perkembangan semasa.
"Kita menyedari bahawa perpustakaan mesti berdiri sebagai sebuah institusi yang dinamik dan sentiasa berkembang maju bagi menyokong Wawasan Negara 2035 dari semua aspek atau bidang seperti pendidikan, ekonomi, kebudayaan, sosial dan politik, dengan tujuan untuk pembangunan bangsa yang merangsang pembinaan minda dan budaya, ilmu yang menggalakkan masyarakat supaya sentiasa cerdas, pintar dan mengekalkan taraf penghidupan tinggi," katanya.
Dalam ucapannya, beliau juga menjelaskan bahawa DBP khususnya Bahagian Perpustakaan akan sentiasa peka dan berusaha untuk meningkat dan mengembangluaskan lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran yang ada pada setiap pegawai dan kakitangan terutama sekali dalam bidang kemahiran ICT.
 PARA peserta semasa mengikuti Bengkel di Bilik ICT, Dewan Bahasa dan Pustaka Sengkurong.
Beliau juga berharap agar semua peserta bengkel supaya akan dapat merebut peluang keemasan dan ilmu pengetahuan yang diikuti dengan sepenuhnya demi kemajuan bangsa, agama dan negara.
Bengkel tiga hari itu dibimbing oleh Pengurus Am, Pembangunan Pendidikan Teknikal, Akademi ILM, Tel Bru, Dayang Mahdiana binti Haji Mahmud berkisar Microsoft Excel.
Antara tujuan bengkel tersebut untuk memberi peluang pegawai dan kakitangnan DBP memahirkan diri dalam bidang ICT khususnya Microsoft Excel bagi memudah dan melancarkan lagi kerja seharian mereka.
(Berita dan Foto : Ak. Haji Mohd. Zukarnaen Pg. Haji Abu Bakar)
Kembali ke muka utama
|