|
Berjaya sediakan sate terbanyak di dunia
BRUNEI TERSENARAI DALAM GWR
rencana oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn
NEGARA Brunei Darussalam telah menempa sejarahnya apabila berjaya menyediakan sate terbanyak di dunia atau ‘The largest serving of grilled satay in the world’ dan sekali gus meletakkan negara ini dalam Guinness World Records (GWR).
Bagi tujuan pengiktirafan pencapaian rekod tersebut, Restoran Tarindak, Royal Brunei Polo and Riding Club telah mendatangkan seorang Pengadil Eksekutif daripada GWR London, Talal Omar dan terlibat secara langsung meneliti setiap garis panduan yang telah ditetapkan oleh GWR ditepati sebelum mengesahkan dan mengiktiraf pencapaian rekod penyediaan sate terbanyak di dunia
Pengumuman dan penyerahan sijil GWR ‘The largest serving of grilled satay in the world’ diadakan sempena keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Majlis Pelancaran Pembakaran ‘Penyediaan Sate Terbanyak Di Dunia’ yang berlangsung di Pekarangan Royal Brunei and Riding Club, Jerudong pada 23 Februari baru-baru ini sempena Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Penyerahan sijil GWR ‘penyediaan sate terbanyak di dunia’ telah disembahkan oleh Pengadil GWR London, Talal Omar ke hadapan majlis Yang Teramat Mulia dan kemudiannya berkenan menye- rahkannya kepada Pengarah Tugas-Tugas Khas, Royal Brunei Polo and Riding Club, Awang Haji Mohd. Shahminan bin Haji Abdul Hamid.
Terdahulu sebelum itu, YTM berkenan menyaksikan ‘preview’ pembakaran sate terbanyak di dunia, di mana ini dengan sendirinya telah meletakkan Brunei dalam GWR.
Ketika ditemui oleh pihak media baru-baru ini, Awang Haji Mohd. Shahminan menyatakan dengan pengiktirafan GWR telah meletakkan negara kita ke mata dunia. Kesemua ini adalah pencapaian bersepadu daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pelancaran ini.
Khusus bagi penciptaan dan pencapaian rekod yang disasarkan pihak Restoran Tarindak kelab berkenaan telah menyediakan daging ayam seberat 1184 kilogram dengan mengambil sukut Sambutan Pengisytiharan Hari Kemerdekaan Negara iaitu pada 1 Januari 1984.
Menurutnya, sebanyak 25,000 cucuk sate telah dapat dibakar pada setiap pembakaran dan di hari tersebut sebanyak tiga pembakaran dibuat dan menjadikan jumlah sate yang dibakar sebanyak 75,000 cucuk.
Sate yang dibakar disediakan di alat pembakaran sepanjang 250 meter di pekarangan Restoran Tarindak.
Beliau menambah, di samping sate, pihak resto- ran juga menyediakan kuahnya seberat 175 kilogram (kg) berserta nasi himpit 285 kg dan 270 kg hirisan timun.
Seramai 205 orang sukarelawan terdiri daripada penuntut Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) terlibat dalam acara pembakaran sate dan 15 orang pekerja sepenuh masa terlibat menyiapkan penyediaan sate berkenaan dengan mengambil masa keseluruhan selama 1,200 jam iaitu secara purata 80 jam seorang dalam masa sepuluh hari.
BERBANGGA
Beberapa orang pelajar yang ditemui iaitu Dayang Hazimah binti Mahmud dan Awang Muhd. Danial Saifullah bin Mejari, pelajar dalam National Diploma in Travel & Tourism Services, berbangga dengan keterlibatan mereka dalam acara pembakaran sate ini yang mana meletakkan negara kita sebaris dengan negara-negara maju bukan sahaja dalam hubungan antarabangsa ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ malah mengharumkan nama negara di persada dunia sebagai pusat penggerak utama dalam ekonomi halal global.
Kelebihan yang ada pada Brunei, ianya adalah satu kesultanan Islam yang masih kekal, moderat dan berjaya. Apabila dunia bercakap mengenai Brunei, ianya terkenal dengan ne- gara aman, stabil dan makmur dan kelebihan Brunei bukan hanya sekadar satu negara Islam, aman dan untuk menjadikan berperanan utama dalam ekonomi halal global.
"Dengan pelancaran itu nanti ianya mengharumkan negara ini kepada dunia yang sudah mencapai 25 tahun kemerdekaannya," sampuk seorang lagi rakan mereka iaitu Dayang Daliyah binti Haji Mohd. Yunos, pelajar dalam bidang Hotel and Catering Management ketika ditemui bersama dua rakannya begitu ceria ‘mengiap’ sate dan mereka ini berjaya menghabiskan pembakar- an sate 400 hingga 500 cucuk setiap seorang.
Bagi Pemangku Penge- tua MTSSR, Dayang Norzainab binti Haji Abdul Ladi begitu berbangga ke- rana para penuntut MTSSR dilibatkan bagi pembakaran sate yang terba- nyak di dunia ini dan sekali gus bersama-sama menya- hut titah Kebawah DYMM sama-sama tampil ke hadapan untuk memberikan sumbangan bantuan kepada mereka yang memerlukannya, di mana sate-sate yang dibakar ini juga diagih-agihkan kepada kepada fakir miskin dan anak-anak yatim seluruh negara.
Dua orang mahasiswa Universiti Brunei Darussalam yang turut menyaksikan pelancaran bersejarah ini, Awang Haji Muhammad Nur Asma’an bin Haji Nordin dan Da- yangku Nurulezuana binti Pengiran Haji Morni berkongsi kegembiraan kerana majlis pelancaran ini akan melonjakkan imej negara kita ke mata dunia.
"Selama 25 tahun, alhamdulillah negara kita berada dalam mencapai pelbagai pencapaian yang membanggakan sehingga membawa nama negara terkenal dan turut mene- rima pengiktirafan tinggi dari seluruh dunia dan menjadi rakan penting dalam pertubuhan antarabangsa," tegas Awang Haji Muhammad Nur Asma’- an.
Majlis pelancaran ini adalah dianjurkan oleh Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disalurkan melalui Restoran Tarindak, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Apa yang sangat me- narik perhatian di majlis pelancaran ini, sate-sate berkenaan diberikan secara percuma kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan orang-orang tertentu dan Majlis Penyampaian Sumbangan Bagi Pelunasan Tunggakan dan Bayaran Setahun Pinjaman Pe- rumahan Untuk Warga Emas Pilihan.
Dua orang warga emas yang ditemui oleh wakil PELITA BRUNEI, Awang Taha bin Sulaiman dan Dayang Hajah Damit binti Bidin menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana mengurniakan skim perumahan kerajaan dan berterima kasih kepada para dermawan dalam memberikan sumbangan bagi pelunasan tunggakan dan bayaran setahun pinjaman perumahan.
Usaha ini adalah menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama tampil ke hadapan kepada yang memerlukan bantuan se- perti yang baginda titahkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2001.
Majlis pelancaran yang menempa sejarah itu juga dihadiri oleh jemaah dermawan bagi mengen- dalikan bantuan kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan warga emas pilihan yang menanggung hutang.
Kembali ke muka utama
|