Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

MINDA PEMBACA

MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Menghargai dan mengurus masa penuh' . Mereka akan menerima hadiah sebanyak $40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut :

Menghargai masa penuh bijaksana

MASA berputar begitu pantas dan kadangkala tanpa kita sedari terbuang begitu saja. Setiap waktu yang berlalu, tidak dapat diputar kembali. Apa yang pasti, pengurusan masa memerlukan disiplin yang tinggi, baik pada mereka yang sudah bekerja, mahupun pelajar-pelajar sekolah.

Waktu bertugas atau temu janji misalnya, ada di antara kita sering terlewat dan ini kadangkala menjengkelkan satu pihak yang menunggu itu, apatah lagi jika alasan yang diberi itu disebabkan oleh hal remeh atau tidak munasabah. Agar tidak terjadi demikian, usahakan untuk bersiap lebih awal sekurang-kurangnya awda berada di tempat yang di janjikan 15 minit lebih awal. Ini dapat mengurangkan rasa panik terlewat atau terpaksa bergegas hingga tidak menghiraukan keselamatan orang lain.

Bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan, tugasan, projek sekolah dan lain-lain persediaan awal adalah perlu. Untuk menghadapi peperiksaan misalnya, aturkan masa untuk menghadiri kelas tambahan, susulan dengan pengajar dan sebagainya. bagi pelajar pengajian tinggi, tugasan seperti laporan, pembentangan, ujian dan sebagainya tidak pernah lekang dari diari harian pelajar. Bagi penukis sendiri, tugasan yang diterima kadang-kadang bertindih antara satu dengan lain, apatah lagi jika bertembung dengan ujian. Situasi begini memang mencabar minda dan kadangkala melelahkan disebabkan oleh waktu yang singkat. Antara langkah yang boleh di- kongsikan di sini ialah jangan bertangguh dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan dan usahakan untuk memulakannya walau sedikit (daripada tiada langsung). Apabila siap awal, hasil kerja dapat disemak lagi untuk sebarang kesilapan dan membuat mana-mana pembetulan yang perlu. Kesemua pengalaman sewaktu belajar itu memberi peluang untuk menilai keupayaan dalam mengurus waktu dan kemahiran analitikal seseorang pelajar itu.

Namun, aktiviti pembelajaran dan riadah harus seimbang. Ini kerana otak yang cerdas terletak pada badan yang cergas. Usah bimbang untuk meluangkan waktu sekali-sekala untuk aktiviti riadah begini kerana otak juga perlu istirahat daripada ketegangan belajar atau bekerja.

Dengan pengurusan yang bijak dan teratur, kita tidak akan tergesa-gesa dan kesuntukan waktu. Kepada para pelajar khasnya, jangan bertangguh dalam membuat tugasan dan pastikan tidak membiasakan menghantar pada saat-saat terakhir kerana ianya hanya akan merugikan pelajar itu sendiri apatah lagi apabila markah turut melayang.

Lepasan sekolah atau graduan yang masih belum mendapat pekerjaan seharusnya memanfaatkan waktu yang ada sementara menunggu pekerjaan tetap ke arah membangun diri, memahirkan diri mempelajari kemahiran baru seperti kursus-kursus asas atau lanjutan dalam penggunaan teknologi maklumat, simpan kira atau mengambil peluang dengan bekerja sementara menjadi 'tutor' sambilan, di samping dapat berkongsi ilmu juga dapat menambah pendapatan. Setiap masa yang ada adalah peluang. Peluang membuka ruang kepada pengalaman dan inilah yang digunakan untuk memberi nilai tambah pada 'resume' dan kredibiliti pada saat memohon pekerjaan.

Norhafizah binti Karim
No. 802, Kampong Panchor Murai,
Jalan Kulapis,
BH 3123.
No. k/p : 00-313224.


Masa - Mendisiplinkan seseorang

MENGHARGAI dan mengurus masa dengan penuh bijaksana adalah suatu sikap yang sangat dituntut di dalam usaha kita mengemaskinikan pengurusan dan perjalanan penghidupan kita seharian. Perkara ini juga sangat dituntut dalam Islam apabila perkara pengurusan masa ini ditekankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam firman-Nya yang kira-kira berbunyi. "Demi masa bahawa manusia itu sentiasa dalam kerugian melainkan orang-orang bersabar dan mengajak kepada kebenaran". Pengurusan masa yang bijaksana jelas akan membawa kita kepada kesempurnaan dalam mengurus dan mentadbir penghidupan harian. Mereka yang mengurus dan mentadbir masa dengan bijaksana selalunya akan berjaya dan menepati sasaran perancangannya.

Dengan mengurus masa dengan bijak, kita juga akan mendisiplinkan diri kita untuk sentiasa peka dan bersedia dalam apa jua keadaan. Dengan yang demikian juga kita akan terdidik untuk akur dan patuh kepada waktu dan peraturan-peraturan yang sedia ada. Bayangkanlah jika pengurusan masa itu diabaikan, sudah tentu semua akan menjadi haru dan tidak teratur dan akan menjadikan seseorang itu tidak berdisiplin dan berbuat sesuka hatinya sahaja.

Dengan menentukan waktu dan masa, sesuatu perancangan akan dapat dilaksanakan mengikut jadual. Supaya dengannya nanti rancangan berkenaan akan terlaksana dengan sempurna dan siap serta lengkap pada tarikh dan waktu sasaran. Kita lihat sahaja bagaimana indahnya pengurusan masa dalam Islam itu. Umpamanya waktu-waktu sembahyang lima waktu yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan bila ia bermula dan berakhir. Ini jelas apabila sembahyang berkenaan kita kerjakan tepat pada waktunya akan memberikan kita ganjaran pahala yang setimpal, sementara jika kita gagal melaksanakannya pada waktunya kita akan mendapat dosa kerana melalaikan waktu berkenaan. Perkara ini jika kita tamsilkan kepada penghidupan harian kita, ianya akan menjadikan perancangan kita kucar-kacir dan mungkin akan siap tidak tepat pada masa yang kita sasarkan.

Perihal pengurusan waktu dan masa ini juga sangat ditekankan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hayatnya. Sehingga Baginda pernah bersabda dalam hadisnya yang kira-kira berbunyi : “Rebutlah lima sebelum datangnya lima perkara, iaitu waktu senangmu sebelum susahmu, waktu kayamu sebelum miskinmu, waktu santai sebelum waktu sibukmu, waktu mudamu sebelum tuamu, waktu hidupmu sebelum matimu.” Hadis tersebut jelas menekankan betapa pentingnya masa dan waktu itu diurus dan ditadbir dengan bijaksana kerana ingatlah, waktu yang terlepas tidak akan berulang kembali.

Muhammad Hassanul Hadi Iqbal bin
Haji Dayang,
No. 13, Baitun Nurhadi, Jalan 82,
Simpang 127,
Perumahan Negara Kampong Rimba,
Gadong BE 3319.
No. k/p : 01-054454.


TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG

1. 'Meningkatkan Pertumbuhan Industri Bukan Minyak'. Tarikh tutup : 7 Mac 2009.

2. 'Bijak Berbelanja Menangani Krisis Kewangan Global'. Tarikh tutup : 14 Mac 2009.

3. 'Perubahan Minda dan Sikap Ke Arah Kecemerlangan Bernegara'. Tarikh tutup : 21 Mac 2009.

Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :

Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn

Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Berkhidmat Kaunter TAP di bulan Ramadan

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.