|

Dengan bersedekah
dapat menghapuskan dosa
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Umat Islam adalah bersaudara kerana Islam adalah agama persaudaraan. Di atas dasar persaudaraan sesama Islam itu maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Seandainya mereka menderita sakit, maka penderitaan itu turut sama kita rasai dan kita juga akan turut berdukacita dengan apa yang mereka alami.
Perkara tersebut jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
"Dari Ibni Shyihabin, sesungguhnya Saliman mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Abdallah ibni Umar Radiallahuanhuma mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan menyusahkannya. Barangsiapa yang memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya. Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan seseorang Muslim, maka Allah melapangkan kesusahannya pada Hari Kiamat dan siapa yang menutup keburukan seorang Muslim, nescaya Allah Subhanahu Wata’ala akan menutup keburukannya pada Hari Kiamat." ( Riwayat Al-Imam Al Bukhari).
Sejarah telah membuktikan betapa hebatnya semangat tolong-menolong dan bantu-membantu di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagai contoh Sayidina Abu Bakar telah mendermakan seluruh hartanya demi perkembangan dakwah Islamiah dan sekali gus membantu umat Islam yang dalam kesusahan. Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada Sayidina Abu Bakar, apakah yang beliau tinggalkan untuk keluarganya, beliau menjawab, tiada apa-apa melainkan Allah dan Rasul-Nya sahaja.
Selain itu, kita merasa kagum terhadap hubungan tali persaudaraan di kalangan kaum Ansar yang memberi pertolongan kepada kaum Muhajirin yang tertindas, hingga dinyatakan bahawa keluarga kaum Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai kepada saudaranya dari kaum Muhajirin. Mereka yang memiliki dua buah rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga kaum Muhajirin, manakala mereka yang mempunyai dua bidang tanah, diwakafkan sebidang kepada kaum Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap pengorbanan, sikap bantu-membantu dan kasih sayang yang dihayati oleh umat Islam terdahulu hingga menyebabkan mereka tidak merasa lokek walau sedikit pun untuk menyedekahkan sebahagian harta yang dimiliki oleh mereka.
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala menjanjikan pahala yang berlipatganda kepada orang yang bersedekah. Pahala orang yang bersedekah adalah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Demikianlah betapa besarnya manfaat yang diperolehi daripada sedekah atau derma yang kita berikan kepada golongan yang memerlukan.
Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya memiliki sifat bakhil, mementingkan diri sendiri dan tidak ambil peduli dengan penderitaan orang lain. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 180, tafsirnya :
"Dan jangan sekali-sekali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahannya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu kerjakan."
Allah Subhanahu Wata’ala memberikan nikmat kepada hamba-hamba-Nya berupa kekayaan harta, namun perlu diingat kekayaan yang dimiliki itu terdapat hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Dalam hal ini, Allah Subhanahu Wata’ala mengingatkan hamba-hamba-Nya supaya bijak dalam mengurus harta. Biarlah kekayaan yang dimiliki itu digunakan bagi membantu kepentingan umum, menolong fakir miskin dan meringankan penderitaan orang-orang yang susah dan tidak berkemampuan.
Ketahuilah bahawa amal kebajikan yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata’ala itu dengan mengorbankan harta benda untuk memberi nafkah, sedekah dan sebagainya akan dapat menghapuskan dosa dan kesalahan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 271, tafsirnya :
"Kalau kamu menzahirkan sedekah-sedekah itu secara terang, maka yang demikian adalah baik kerana menjadi contoh yang baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Sesungguhnya kita dituntut memberikan pertolongan dengan ikhlas kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan negara. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
"Dari Annasin Radiallahuanhu, sesungguhnya seorang lelaki telah meminta kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam kambing kepunyaan Baginda yang digembala di antara dua gunung. Lalu Baginda pun memberikan kepada lelaki itu kambing tersebut. Lalu lelaki itu pulang ke negerinya dan kepada kaumnya dia berkata : Hendaklah kamu mengikut Islam kerana sesungguhnya Muhammad memberi bantuan yang tidak sedikit sebagai orang yang tidak takut kepapaan." (Riwayat Al-Imam Muslim).
Jelas daripada hadis tersebut bahawa kita hendaklah berbuat baik kepada sesiapa sahaja, malah kepada haiwan pun kita dituntut untuk berbuat kebaikan. Sebagaimana yang dikisahkan dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Tatkala seorang lelaki sedang berjalan di jalanan, ia berasa sangat dahaga, tiba-tiba dia mendapati ada sebuah perigi maka segera ia turun ke dalam perigi itu untuk minum. Sebaik ia keluar dari perigi itu, dia melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana terlalu kehausan. Lelaki itu berkata sendiri dalam hatinya : Anjing itu pasti sama kehausan seperti aku. Lalu lelaki tersebut turun lagi ke dalam perigi untuk mengisi kasutnya dengan air. Kemudian ia menggunakan mulutnya supaya dapat membawa kasut yang berisi air tersebut naik ke atas, lalu memberi minum anjing tersebut. Maka dengan demikian Allah pun mengampunkan dosa-dosanya."
Melihat betapa besarnya ganjaran orang yang bersedekah, maka rebutlah peluang dengan berbuat baik sesama manusia seperti bersedekah atau menderma kepada tabung-tabung kutipan yang telah ditempatkan di seluruh negara.
Bersedekah atau mendermalah dengan ikhlas, tanpa mengira bangsa, agama atau negara, mudah-mudahan apa yang kita lakukan itu mendatangkan kesan yang mendalam, melahirkan manusia yang prihatin dan ingin bekerjasama dan sentiasa berusaha mewujudkan keamanan dan kesejahteraan umat manusia seluruh dunia. Sama-samalah kita berdoa semoga apa yang kita sedekahkan dan dermakan itu diterima Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat ganjaran daripada-Nya. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 264, tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman jangan rosakan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan harta-hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat."
Kembali ke muka utama
|