|

Sabtu , 28 Februari 2009
3 Rabiulawal 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
NEGARAWAN UNGGUL
PENUH KEBIJAKSANAAN,
KEBERANIAN
AL-MARHUM Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang merupakan Sultan Brunei Ke-28 telah meletakkan hala tuju pembangunan negara sehingga kini tegak berdiri sebagai sebuah negara aman makmur dan sejahtera. Melalui wawasan, pemikiran serta usaha gigih Al-Marhum, Negara Brunei Darussalam telah membawa Negara Brunei Darussalam gilang-gemilang. Sepanjang pemerintahan baginda 1950-1967 dengan dikenali sebagai ‘Akritek Brunei Moden’, baginda telah berjaya meletakkan asas-asas bagi negara kita seperti mana yang ketahui sehingga ke hari ini. Pendek kata Al-Marhum berjaya membawa pembaharuan dan pemodenan dalam infrastruktur negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa mengenang jasa Al-Marhum dalam titah baginda sempena Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari lalu menyifatkan salah satu jasa besar Al-Marhum pelancaran Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 5 Tahun Yang Pertama 1953 dengan memperuntukkan sejumlah BND100 juta telah berupaya mengangkat program pemodenan Brunei dalam skala besar dan skop yang luas. RKN tersebut berjalan sehingga RKN Ke-8 yang berakhir 2005 telah berjaya memberikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Brunei jelata. Bermula 2007-2012 RKN Pertama dilancarkan yang merupakan fasa pertama dari lima fasa sehingga 2035 bagi memenuhi Wawasan Brunei 2035.
“Al-Marhum dengan budi bicara dan wawasan tersendiri telah menumpukan usaha bagi memenuhi beberapa keperluan asasi seperti kemudahan kesihatan dan pelajaran, pembinaan rumah, jalan raya, janakuasa elektrik, sistem perhubungan dan pengembangan industri minyak, pertanian dan perikanan. RKN pada keseluruhannya berjaya memberikan kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat serta penduduk negara ini," titah baginda.
Sebagai seorang raja yang mempunyai kesungguhan dan semangat yang tinggi, baginda memiliki gagasan yang mantap dan jauh ke hadapan bagi haluan untuk mencorak negara kita dan membuat persediaan bagi masa hadapan negara yang tercinta. Baginda juga dikenali sebagai seorang pemimpin tersohor yang memiliki kebolehan luar biasa dan pelbagai lingkungan minat. Melalui lingkungan luas dasar-dasar Al-Marhum telah berjaya meletakkan negara kita di peta dunia antarabangsa.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa bersabda melancarkan Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture pada 25 Februari lalu pula menyifatkan Al-Marhum selain sebagai seorang penulis prolifik, artis yang berjiwa jitu, arkitek dan ahli sukan yang gigih, baginda adalah seorang pemimpin yang mempunyai kearifan dan kemahiran diplomatik yang hebat, di samping mempunyai penghayatan dan kepatuhan sepanjang hayat baginda kepada ajaran-ajaran murni Islam.
Langkah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Syarahan Memorial Sultan Omar 'Ali Saifuddien yang diabadikan sempena AlMarhum adalah amat bertepatan sebagai mengenang jasa yang Al-Marhum yang begitu banyak terhadap pembangunan negara bagi membincangkan buah-buah fikiran Al-Marhum amat didambakan untuk direalisasikan oleh para cendekiawan, ahli-ahli akademik, para intelek tersohor dan pensyarah-pensyarah terkemuka.
Sementera itu, bekas Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Kuan Yew pula melihat Al-Marhum sebagai seorang negarawan yang bijaksana, berani menghadapi riskio serta mempunyai deria yang kuat dalam meramal keadaan politik masa hadapan. Sepanjang tempoh 17 tahun memerintah, Al-Marhum berhasil merealisasikan perkembangan ekonomi, sosial dan politik di Brunei dengan menyediakan pendidikan dan kesihatan secara percuma. Menurut Tuan Yang Terutama, rakyat Brunei meratapi Al-Marhum yang lindung pada 7 September 1986, kerana mereka menyedari Al-Marhum telah menyelamatkan kedaulatan negara ini sehingga rakyat Brunei dapat hidup dalam suasana yang ada sekarang dengan kemakmuran dan kekayaan yang melimpah ruah dari hasil minyak dan gas.
Syarahan Memorial Sultan Omar ‘Ali Saifuddien setentunya menjadi pelengkap penting terhadap usaha-usaha kita dalam mengembangluaskan pengajaran ilmu pengetahuan dan penanaman budaya belajar sepanjang hayat di kalangan warga kita khususnya generasi muda melihat dan menganalisa secara terperinci jasa-jasa, sumbangan dan khidmat bakti Al-Marhum sepanjang tempoh baginda memerintah Negara Brunei Darussalam. Tegasnya Al-Marhum telah berjaya meletakkan asas-asas yang kukuh sebagai sebuah negara yang berdaulat yang tampuk pemerintahan kini disambung oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Brunei Ke-29.
Kembali ke muka utama
|