BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Mac.-Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) mengingatkan dan menasihatkan orang ramai supaya memantau pergerakan anak-anak terutama golongan perempuan apabila keluar rumah agar keselamatan mereka sentiasa terjamin.
Peringatan itu dibuat oleh PDB dalam laporan berhubung kes jenayah dan kemalangan lalu lintas hari ini berikutan terdapatnya dua laporan kes rogol yang berlaku sekitar 25 hingga 27 Februari lepas melibatkan dua mangsa perempuan berusia 14 tahun.
Selain kes rogol, pihak polis turut menerima sepuluh laporan kes curi dalam pelbagai kategori, 24 laporan kemalangan dan beberapa kesalahan akta.
Sebanyak empat laporan kes pecah kereta dan curi (U/SEC 427 & U/SEC 379 PENAL CODE) telah dilaporkan di kawasan-kawasan Kampong Mulaut, letak kereta bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, jalan Sekolah Tunas Jaya PGGMB Jalan Pasir Berakas dan letak kereta Giant Mall Supermarket, Taman Tasik Rimba.
Barang-barang yang telah dilaporkan hilang adalah wang tunai BND185, sebuah telefon bimbit Nokia dan dua bungkusan kain.
Turut dilaporkan dua kes pecah rumah dan curi yang berlaku di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Tanah Jambu 2 dan Jalan Pandan 4 Kuala Belait melibatkan kehilangan sebuah enjin 15 kuasa kuda dengan kerugian dianggarkan bernilai BND2000.
Juga diterima empat laporan kes curi dalam bangunan (U/SEC 380 PENAL CODE) yang berlaku di kawasan simpang Beribi Gadong, kawasan Kampong Keriam, kawasan Kampong Peninjau Jerudong dan di kawasan bangunan Abdul Razak Kompleks Gadong.
Barang yang dilaporkan hilang ialah wang tunai BND6,500, sebuah DVD player, 14 tin sotong, enam tin sardine, empat botol Nescafe dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia.
Selain itu PDB turut melaporkan tujuh kes mendatangkan kecederaan, dua laporan tangkapan berhubung kes curi melibatkan dua lelaki berumur 16 dan 18 tahun, tiga laporan kes pekerja lari dari majikan, tiga laporan kes waran tangkap berhubung hutang piutang dan satu laporan kes mati melibatkan seorang lelaki warga asing.
Juga diterima ialah satu laporan kes Akta Buruh, satu laporan kes cuba melakukan kesalahan curi melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun, satu laporan kes tipu, satu laporan kes pecah amanah dan satu laporan kes kesalahan di bawah akta perjudian.
Sementara itu dari segi kemalangan lalu lintas, pihak polis menerima 24 laporan kemalangan dari 25 hingga 27 Februari.
Dari 24 kemalangan itu, sebanyak 11 laporan kemalangan kereta dengan kereta, 12 laporan kemalangan sendiri dan satu laporan kemalangan kereta dengan binatang.
Dari jumlah laporan yang diterima seorang telah meninggal dunia dan empat orang menghadapi cedera ringan.
Manakala dari segi pecahan bagi kes kemalangan di keempat-empat daerah pula, 17 laporan kemalangan di laporkan di Daerah Brunei dan Muara, satu laporan di Daerah Belait, enam laporan kemalangan di laporkan di Daerah Tutong dan tidak ada kemalangan dilaporkan di Daerah Temburong.
(Oleh : Norliah Mohd. Zain)
Kembali ke muka utama