Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
injauan
Sastera dan Budaya

'Kemewahan' bersandarkan hutang bertompok-tompok mendatangkan
kerugian jangka panjang

Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
Foto : Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali, Hatral Hazmi Abd. Hamid

KEBANYAKAN orang menyedari apa dia kad kredit?. Ianya diistilah sebagai sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai atau buat masa ini lebih dikenali sebagai wang plastik. Penggunaan kad kredit sejak akhir-akhir ini semakin popular di kalangan masyarakat kita terutamanya di kalangan ahli perniagaan. Banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa dan Master Card.

Bagi beberapa orang peniaga yang ditemui salah satu faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah menggantikan membawa wang tunai yang banyak untuk membeli-belah terutama di luar negara dan menjamin keselamatan. Sesetengah pengguna berpendapat membawa wang tunai yang banyak ketika membeli-belah merupakan suatu beban kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila difikirkan perlu maknanya pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang.

MENUNJUK-NUNJUK

Dengan kad kredit, mampukah diri kita menggunakannya sekadar mahu menunjuk-nunjuk?

Sebenarnya penggunaan kad kredit memberi keselesaan kepada pengguna bukan menyebabkan kesusahan hingga mengakibatkan pelbagai masalah kepada si pengguna. Di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya apatah lagi, fenomena penggunaan kad kredit yang melanda masyarakat kita kini boleh mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.

Kenapa orang gemar menggunakan kad kredit. Menurut pendapat mereka lebih suka menggunakan kad kredit kerana mereka diberikan layanan yang lebih istimewa ketika berurus niaga terutamanya di hotel-hotel yang terkemuka dan bertaraf antarabangsa.

Di sebalik itu, pemegang kad kredit mungkin berbelanja secara berlebih-lebihan kerana mereka tidak begitu peka dengan nilai wang yang dibelanjakan. Justeru itu, kita sering mendengar rungutan daripada pemilik kad kredit yang menghadapi masalah beban hutang yang banyak. Setelah puas berbelanja, mereka mungkin akan berada dalam keadaan yang sugul kerana terpaksa berfikir bagaimana hendak membayar balik jumlah wang yang telah mereka belanjakan itu.

Seperti pesanan orang tua kita 'beringat-ingat sebelum terkena'. Menurut kajian yang pernah dibuat oleh salah sebuah negara lebih 35 peratus daripada pemilik kad kredit mengalami masalah beban hutang yang teruk sehingga ada antara mereka yang diisytiharkan muflis kerana tidak dapat menjelaskan hutang-hutang mereka. Keadaan ini mungkin berlaku kerana pemilik kad tersebut tidak sedar bahawa kad yang digunakan itu sebenarnya ialah wang, bukannya plastik yang tidak bernilai.

Menyentuh mengenai dengan pentingnya hal ehwal kewangan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru telah melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit, di mana langkah tersebut telah menarik perhatian pelbagai pihak dan menjadi satu perkara yang dipertikaikan ramai.

Dalam titah Sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Brunei, baginda menegaskan tujuan kerajaan ialah supaya kita sama-sama memahami bahawa kemewahan hidup yang disandarkan kepada hutang yang bertumpuk-tumpuk merupakan kemewahan yang rapuh dan malah akan banyak mendatangkan kerugian pada jangka panjang.

Walaupun pada peringkat awalnya jelas titah baginda perkara ini mungkin sedikit sebanyak mempersulit sebilangan rakyat atau institusi yang mempunyai kepentingan, namun pihak kerajaan adalah percaya tindakan ini sungguh tepat demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini pada jangka waktu yang jauh.

"Ini, adalah satu dari strategi kita dalam menjadikan ekonomi sebagai salah satu dari tiga tiang utama Wawasan Brunei 2035," titah baginda menjelaskan.

Negara Brunei Darussalam memerlukan dasar-dasar ekonomi yang lebih teratur, mantap dan menarik serta juga iklim pelaburan yang kondusif yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perekonomian secara keseluruhan. Selain itu adalah perlu bagi negara berusaha gigih bagi membolehkan kita mengimbangi kekurangan dalam pasaran domestik serantau mahupun global serta menukarkannya kepada situasi yang lebih positif dan menguntungkan.

GHAIRAH

Dalam hubungan ini, adalah juga diingatkan agar jangan terlalu ghairah dengan pelbagai tawaran penggunaan kad kredit tanpa melihat kemampuan sebenar dan tahap pengetahuan mereka tentang kemudahan tersebut. Malah bagi pengguna yang kesempitan wang sudah pasti melihat tawaran itu untuk melunaskan pinjaman mereka atau membeli barang keperluan yang sebelum ini sukar untuk mereka memperolehinya.

Ketika penulis meninjau di salah sebuah lokasi bank di negara ini, beberapa orang pelanggan mengeluh kerana para pemegang kredit 'terpaksa' membayar tunggakan yang dikenakan ke atas mereka berikutan dengan pengawalan itu, tetapi persoalannya, kata mereka yang sudah membuat kesilapan menggunakan kad kredit ada yang diantaranya lebih dari empat kad kredit yang diistilah 'kali lubang tutup lubang' perlu melangsaikan hutang piutang yang tertunggak dengan peraturan yang baru dikenakan sehingga 12 peratus sebagai contoh, seorang pengguna kad kredit mempunyai tunggakan BND2,000 akan dikenakan BND70 sebulan dalam masa tiga tahun dan ianya di'convert' menjadi pinjaman kredit kad (credit card loan). Ini bermakna kad kredit berkenaan tidak didapat digunakan lagi seperti sebelumnya. Sekiranya pemegang kad kredit berhasrat hendak meneruskan kad kredit, pemotongan gaji para pengguna akan dipindahkan ke bank berkenaan atau mempunyai simpanan tetap dengan dikenakan faedah lapan peratus sebulan.

Persoalannya bagaimana dengan pemegang yang mempunyai lebih dari satu kad kredit dengan tunggakan yang tinggi, mahu tak mahu mereka terpaksa melangsaikan hutang tersebut. Mereka kebanyakannya mencadangkan agar ada satu institusi mengekalkan pembayaran dengan jumlah sebelumnya dikenakan faedah dua peratus sebulan bagi menyelesaikan pembayaran yang berlambak-lambak atau diberikan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah bagi melangsaikan hutang berkenaan.

Pengguna harus faham konsep sebenar kad kredit. Pengguna selalunya baru tersedar apabila pihak bank menelefon mereka meminta untuk melunaskan jumlah wang yang telah mereka gunakan. Maka tidak hairanlah ada beberapa negara yang penulis terbaca dalam internet dan surat khabar, lebih 40 peratus pengguna kad kredit di negara berkenaan gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah berbilion-bilion ringgit. Daripada jumlah itu, ratusan juta adalah pinjaman tidak berbayar.

Inilah bahaya kad kredit ini kerana mereka tidak nampak bahawa mereka sebenarnya telah berhutang setiap kali mereka menggunakannya dan mengawasi penggunaannya agar tidak dibebani hutang dan diisytiharkan bankrap.


GAMBAR HIASAN ... Keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit telah menarik perhatian pelbagai pihak dan menjadi satu perkara yang dipertikaikan ramai, tapi ianya sungguh tepat demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini. Gambar menunjukkan sebahagian orang ramai yang membuat pelbagai urusan kewangan.

Beberapa orang ditemui memberi cadangan agar institusi-institusi kewangan atau agensi-agensi berkenaan supaya tidak memberikan had kredit yang terlalu tinggi kepada orang ramai, manakala orang ramai juga pula perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak berbelanja sesuka hati. Manakala pihak bank dan institusi kewangan perlu memastikan had kredit yang diberikan kepada orang ramai adalah sesuai dengan pendapatan mereka. Had kredit yang terlalu tinggi berbanding dengan pendapatan bulanan akan menyebabkan penggunaan kad kredit dengan sewenang-wenangnya, kemudian dibelenggu bebanan hutang, di samping mendapatkan khidmat nasihat daripada institusi berkenaan mengenai cara-

cara menguruskan pendapatan masing-masing seperti yang dianjurkan beberapa institusi kewangan di negara ini seperti pengurusan kewangan.

Sekiranya mampu untuk membayar jumlah digunakan melalui kad kredit setiap hujung bulan maka tiada salahnya menggunakan kad kredit. Bagaimanapun, sekiranya tidak berkemampuan jangan sesekali mencuba untuk mendapatkan kad kredit.

Penggunaan kad kredit yang tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan melebihi pendapatan. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan berlakunya masalah hutang yang tidak dapat dilangsaikan. Makin lama hutang tertunggak, makin banyak pula 'faedah' yang terpaksa ditanggung oleh pengguna. Berikut beberapa tips yang boleh dijadikan panduan kepada para pengguna kad kredit yang didapati dari sebuah laman web.

Awda berfikir dahulu, sebelum memiliki kad kredit, adakah menjadi satu kepentingan untuk memiliki kad kredit dan untuk apa memohon kad kerdit itu. Jika awda rasa tidak mampu mengawal diri daripada berbelanja berlebihan menggunakan kad kredit, elok anda batalkan sahaja niat anda untuk memohon kad kredit. Ianya lebih selamat daripada anda terpaksa menanggung beban hutang yang tidak berkesudahan.

Jika sudah memiliki kad kredit, sentiasalah selalu beringat agar tidak boros ketika berbelanja menggunakan kad kredit. Kalau boleh, beli secara tunai sahaja dan elakkan berhutang. Apa yang paling penting ketika menggunakan kad kredit ialah disiplin. Jika tiada disiplin yang kuat dalam diri maka berlakulah penyalahgunaan kad kredit.

Sebagai rumusannya, terdapat beberapa kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut secara bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun yang amat merugikan.


Kembali ke muka utama