Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Iktibar dari kejadian yang ada
Oleh : H.A. Manap

KITA DALAM kehidupan kita ini ada kalanya kita perlu merenungkan dengan ketajaman mata hati akan sesuatu kejadian yang ada di persekitaran kita, misalnya paling dekat batu yang sentiasa disirami air menghasilkan bekas dan berlubang. Sebiji batu yang keras jika selalu ditimpa atau sentiasa menerima titisan air meskipun hanya setitis demi setitis, tetapi terjadi secara berterusan akan membuat sebiji batu yang keras tersebut menjadi berlubang. Kenyataan ini tidak dapat kita nafikan, ia selalu kita amati dan perhatikan. Justeru itu ada kata-kata yang berbunyi 'Titisan air menimpa batu lambat-laun akan menjadi lubang juga akhirnya'. Inilah juga falasafah yang sering kita dengar bila kita menerima nasihat dari orang tua-tua kitani. Ia merupakan dorongan dan rangsangan yang amat positif, untuk mendorong seseorang itu agar bergerak dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemajuan dan mencipta kecemerlangan diri. Maksudnya agar kita sentiasa giat dan gigih berusaha, tidak mudah menyerah dan mengaku kalah dalam membina kehidupan ini. Meskipun sedikit perkembangan yang dicapai tetapi jika berterusan dan memiliki komitmen yang tinggi maka insya-Allah akan berhasil akhirnya.

PENGAJARAN

Air yang lunak bahkan sangat lunak mampu menghasilkan lubang pada ketulan batu besar yang keras, inikan pula kita yang telah dikurniakan akal dan fikiran oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Kuncinya ialah komitmen. Bagaimana kerasnya benda tertentu, tetapi jika tidak ditimpakan ke batu maka batu tidak akan pecah.

Yang penting adalah tindakan. Sedikit demi sedikit asal terus dilakukan dengan penuh ketekunan, suatu saat hasilnya akan boleh diperolehi juga. Iktibarnya ialah kita mesti mengorak langkah, di saat kita mengharungi zaman yang penuh dengan cabaran untuk menuju tujuan matlamat hidup kita. Meskipun selangkah demi selangkah, tetapi akan membawa kepada puncak tujuan, asalkan arah yang kita tempoh benar dan bermatlamat yang kukuh. Cuba sekarang kita bayangkan, bagaimana keadaan kita sepuluh tahun yang telah lalu, tahun yang sekarang hanya memahatkan sejarah dan akan terus kita tinggalkan meskipun ingatan kita tetap dekat kepadanya. Jika sepuluh tahun yang lalu kita adalah seorang yang pemalas dan sekarang masih pemalas, maka sepuluh tahun ke depan jika kita tidak mahu berubah kita akan tetap jadi orang yang pemalas. Jika sepuluh tahun yang lalu kita adalah seorang pemarah dan panas baran dan sekarang masih juga dengan keadaan sikap seperti dahulu kita, maka sepuluh tahun mendatang jika kita tidak mahu berubah dan mengubah sikap kita, maka akan tetaplah kita menjadi orang yang pemarah. Jika sepuluh tahun yang lalu kita masih tidak mampu mencipta kecemerlangan diri, malahan asyik dengan sikap susah dan payah berubah nescaya pada tahun-tahun yang mendatang kitalah juga akan kekal menjadi orang yang akan payah diubah.

BERUBAHLAH ...

Kerana itu kita perlu berubah dari saat ini. Kita tidak boleh melakukannya besok, atau lusa. Kerana besok mungkin akan ada sesuatu yang menghalang kita untuk berubah. Kita perlu meletakkan keyakinan diri bahawa kita boleh berubah. Meskipun sepayah dan serumit mana perubahan yang ingin kita lakukan, kita pasti akan mencapai hasilnya asalkan matlamat dan tujuan kita adalah kemas dan terarah.

Persoalan perubahan ini kita timbulkan kerana lebih ramai yang sudah merasakan bahawa dalam keadaan cabaran, perubahan semasa dan iklim kehidupan yang terlalu pantas dan cepat berubah ini rentaknya terlalu sukar untuk diikuti. Namun hakikatnya tidak bererti perubahan hanya berlaku dari suasana dan iklim yang ada dan kita berubah kerana keadaan mengubah kita. Kita sepatutnya merasa perlu untuk mencari jalan secara berterusan untuk lebih proaktif ke arah perubahan. Jangan jadikan kita mangsa perubahan bila kita tidak bersiap berdepan dengannya. Bila ini berlaku banyak perkara sampingan akan terpaksa kita hadapi. Misalnya kita terpaksa berdepan dengan keadaan yang mungkin tidak sesuai dengan kita, mungkin juga kita akan terpaksa berdepan dengan iklim perubahan yang terlalu sukar dan berat untuk kita terima dan banyak lagi kemungkinan-kemungkinan yang menyekat kita untuk melakukan perubahan.

Biarlah kita bersiap dan berubah sekalipun ia dalam skala yang kecil akan tetapi, akhirnya ia akan menghasilkan suatu yang besar lagi bermakna. Perubahan itu adalah peta jalan kita, jika kita melakarkan yang terbaik, bertawakallah kepada Allah, mudah-mudahan kita akan diberikan jalan untuk membina perubahan yang menarik dalam kehidupan. Lihatlah ke hadapan kerana di sana akan terbentang luas jalan yang akan membawa kita mengikut peta jalan yang kita lakarkan. Jaga dan hargailah hari-hari yang kita miliki kerana itu adalah kesempatan untuk kita melakukan yang terbaik untuk kehidupan kita. Kalau batu pun boleh terhasil lubang, kerana titisan air, kita pula akan lebih mampu dari itu …


Kembali ke muka utama