TINJAUAN

FENOMENA BENCANA ALAM MUSTAHAK DIJADIKAN IKTIBAR
Rencana oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn

HUJAN lebat ‘luar biasa’ sejak kebelakangan ini telah mengejutkan rakyat dan penduduk negara ini terutama di Daerah Brunei dan Muara (DBM). Beberapa kawasan terjejas ialah Kampong-kampong Bunut, Mulaut, Lambak, Terunjing, Serasa, Muara, Gadong, Jalan Kumbang Pasang dan beberapa tempat lain juga mengalami banjir yang dikatakan paling teruk sejak tahun 1991 itu. Kejadian ini juga mengingatkan kita berlakunya angin taufan dengan kelajuan 45 hingga 50 knot yang menjejaskan 34 buah rumah di Kampong Madang dan Manggis Dua pada 20 Ogos 1988 dan kejadian angin kencang yang berlaku pada tahun 2007.

Kejadian terbaru ini telah membawa implikasi yang agak kompleks bagi negara ini dan kesan daripada kejadian cuaca hujan lebat yang melanda negara ini pada 20 dan 21 Januari lalu menjejaskan banyak infrastruktur dan harta benda sama ada milik persendirian ataupun kemudahan awam, manakala jalan raya yang ditimpa banjir kilat menyebabkan pengguna jalan raya terkandas disebabkan kenderaan mereka dimasuki oleh air. Kebanyakan jalan-jalan yang terjejas juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di mana sebahagian jalan-jalan tersebut terpaksa ditutup disebabkan oleh tanah-tanah lumpur dan juga pokok-pokok yang tumbang. Banjir kilat juga menjejaskan terowong bawah tanah pusing keliling Kiulap - Gadong.

Banjir kilat juga menjejaskan beberapa bahagian di kawasan Stesen Utama Janakuasa Gadong 1 dimasuki air menyebabkan terputusnya bekalan tenaga elektrik dan telefon di beberapa kawasan di DBM. Dengan terputusnya bekalan elektrik dua hingga ke tiga hari, suasana kawasan yang terjejas kelihatan sunyi dan gelap di waktu malam.

Gangguan bekalan tenaga di kawasan-kawasan perniagaan telah menyebabkan banyak kerugian pada para peniaga. Selain daripada rumah-rumah persendirian, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta serta beberapa sekolah- sekolah yang terletak di kawasan-kawasan yang ditimpa banjir dan menjejaskan pelajaran murid-murid di sekolah tersebut.

Agensi petindak barisan hadapan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerah ke tempat kejadian bagi menjalankan tugas penyelamatan dan bantuan kecemasan serta menjalankan penilaian awal tentang risiko bahaya.

UJIAN

Apa yang lebih menyedihkan dari fenomena ini telah mengorbankan nyawa dua wanita iaitu seorang mangsa lemas disebabkan banjir kilat dan seorang mangsa tertimbus tanah susur.

Dalam Khutbah Jumaat minggu lepas menekankan sebagai umat Islam, kita hendaklah mempunyai kekuatan iman dalam menghadapi apa jua situasi yang dihadapi baik berupa ujian untuk umum, seperti kemarau panjang, kebakaran, hujan yang turun tidak hentinya sehingga menyebabkan berlakunya banjir, tanah runtuh atau ujian untuk diri atau peribadi seperti penyakit, kemiskinan, kematian orang yang disayangi, dijatuhi hukuman dan sebagainya.

Semua ujian ini haruslah dihadapi dengan ketabahan, ketenangan dan yang paling utama ialah menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Sifat sabar dan tabah dalam menghadapi musibah amat perlu kerana dengan sifat tersebut menjadikan kita reda terhadap qadak dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala, sekali gus mengelakkan diri kita dari bersikap marah, merasa kecewa, berputus asa dan resah gelisah dalam menghadapi ujian yang menimpa ini.

Pendek kata fenomena hujan lebat luar biasa itu memang merupakan bencana alam terburuk pernah dialami oleh negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan, yang mana hujan lebat mencecah sejumlah 167.7mm.

Agensi-agensi perbantuan yang lain se- perti Pasukan Polis Diraja Brunei, Perkhidmatan Kecemasan dan Kemalangan Kementerian Kesihatan atau Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pembangunan Masyarakat juga memberikan perkhidmatan bantuan yang diperlukan, di samping para media bertugas bagi melaporkan perkembangan kejadian berkenaan.

Dalam hal ini, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) secara terus- menerus akan mengkoordinasi, memantau dan mengawasi usaha-usaha yang dijalankan oleh agensi-agensi yang berkaitan, pusat ini juga selaku mengendali ‘lead agency’ dalam usaha-usaha yang lebih rumit.

Jika kejadian lebih rumit seperti kejadian tanah susur, ia memerlukan bantuan kepada penghuni, memberi khidmat nasihat, dan membuat langkah-langkah keselamatan, maka ianya melibatkan agensi- agensi berkenaan. Kerja-kerja pembersihan terus dilaksanakan di beberapa tempat di negara ini termasuk Jalan Tutong, Kampong Tasek Meradun, jalan keluar masuk dari Jalan Tutong menuju Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, jalan Kampong Lugu (menuju Lebuhraya Muara-Tutong). Simpang 1769, Kampong Tanjong Nangka, Jalan Tutong, Simpang 78, Jalan Kiulap dan Simpang 396 Jalan Jerudong.

Berikutan dengan kejadian hujan lebat ‘luar biasa’ dan tanah susur yang menjejaskan beberapa kawasan di DBM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan ‘turun padang’ berangkat meninjau NDMC yang terletak berdekatan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Lapangan Terbang Lama, Berakas dan seterusnya meninjau ke kawasan-kawasan bekas kejadian yang dilanda banjir kilat dan juga tanah runtuh.

Kita imbas kembali titah dalam perutusan Awal Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharam 1429 bersamaan 10 Januari 2008, antara lain baginda menekankan banyak benar isu yang patut ditangani antaranya ada yang mustahak di- segerakan, seperti isu banjir atau kawasan-kawasan yang mudah ditenggelami air.

Menurut baginda, ada pendapat bahawa perkara tersebut berpunca daripada sistem perairan atau perlongkangan yang kurang diberikan perhatian, yang ditumbuhi oleh rumput-rampai yang menyebabkan air tersekat atau tidak lancar mengalir. Jika ini betul, titah baginda apakah ia mustahak untuk diambil berat dan dibuat perubahan segera?

Dalam hubungan ini kecepatan bertindak pada waktunya adalah ciri utama untuk berjaya titah baginda sempena Tahun Baru Masihi 2009 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Kecepatan membuat perubahan, pembaharuan dan pembaikan adalah amalan negara yang berjaya.

Namun sebagai hamba Allah yang serba kekurangan, biarlah kita juga dengan jujur mengakui akan kelemahan kita masing-masing, tetapi serentak dengan itu berusaha memperbaikinya mana-mana yang mampu diperbaiki. Kita perlu ingat, bahawa Allah tidak akan mengubah nasib, sebelum perubahan dalaman kita lakukan. Antara benda dalaman itu adalah sikap kita.


Kembali ke muka utama