DARI SIDANG PENGARANG

Sabtu, 31 Januari 2009
4 Safar 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

HUBUNGAN BRUNEI - FILIPINA MANTAP SEJAK 25 TAHUN

HUBUNGANpersahabatan Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina kini sudah berumur 25 tahun sejak termeterainya hubungan diplomatik pada Januari 1984. Tahun 2009 menandakan hubungan yang istimewa sempena ulang tahun penubuhan 25 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. Ikatan tali hubungan antara kedua-dua negara telah lama terjalin kukuh lagi erat. Hubungan akrab dan mesra di antara Bandar Seri Begawan dengan Manila kini telah menampakkan kejayaan dengan termeterainya beberapa kerjasama yang dijalin dan berjalan baik ketika ini. Dalam makna yang lebih luas terutama dalam konteks serantau, kedua-dua negara berjiran Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) itu mampu memperluaskan dan memperdalamkan kerjasama dua hala dengan lebih kerap.

Keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina dari 29 hingga 31 Januari 2009 setentunya akan terus memahat tinta persahabatan mesra kedua-dua negara berjiran itu. Lawatan rombongan diraja Brunei memberi erti yang cukup mendalam dan signifikan tentang hasrat dan aspirasi BSB - Manila ke arah mengeratkan lagi jalinan persahabatan serta kerjasama yang sedia ada dan seterusnya meneroka peluang-peluang kerjasama baru yang lebih kompetitif. Sesungguhnya dengan lawatan kali ini dapatlah kedua negara saling membaharui persahabatan yang sedia akrab serta dapat pula memperkukuh dan menguatkan lagi hubungan mesra yang telah sedia ada di antara kedua buah negara dan rakyat masing-masing.

Negara Brunei Darussalam dan Filipina mempunyai jalinan hubungan yang amat istimewa lagi akrab sejak dari dahulu lagi. Pertukaran lawatan dan perundingan yang kerap antara pemimpin serta pegawai dari kedua-dua belah pihak telah memastikan kerjasama dan persefahaman yang berterusan di semua peringkat di antara kedua negara berjiran itu. Begitu juga BSB - Manila mempunyai banyak persamaan di segi kepentingan mahupun pandangan terhadap isu-isu serantau dan antarabangsa. Sama ada dalam konteks ASEAN ataupun persidangan-persidangan antarabangsa, kedua-duanya adalah mempunyai suara dan sikap yang sama untuk kestabilan, keamanan dan keadilan sejagat, di samping terus berpendirian positif untuk menjadi negara makmur dan maju dalam waktu yang dirancangkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis Persantapan Negara bagi meraikan Lawatan Negara Presiden Republik Filipina, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Gloria Macapagal Arroyo pada Ogos 2001 menekankan agar Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina berterusan meneroka kerjasama perniagaan, pelancongan dan pelaburan dan mencipta sinergi baru melalui Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Republik Filipina atau ringkasnya BIMP -EAGA.

Dari simpulan ikatan persaudaraan yang telah terjalin sekian lamanya di antara kedua negara telah membawa kepada kerjasama dalam pelbagai bidang yang kejayaannya diterjemahkan melalui kerjasama-kerjasama dalam pelbagai bidang terutama skop ekonomi, pendidikan, pertahanan, perdagangan, kesihatan dan perburuhan serta perhubungan udara.

Kerjasama ekonomi saban tahun terus berjalan lancar. Sepanjang tahun 2007, Brunei mengeksport dengan nilaian BND1.4 juta kepada Republik Filipina dan sebagai timbal balik negara kita mengimport BND9.8 juta dari Filipina yang kebanyakannya berupa peralatan-peralatan jentera dan kenderaan. Dalam kerjasama kewangan pula, kedua-dua belah pihak telah pun menandatangani Perjanjian Pengelakkan Cukai Berganda antara kedua negara pada tahun 1999. Di arena kerjasama pertahanan, Kerjasama Persefahaman (MOU) dalam bidang itu telah pun ditandatangani pada 22 Ogos 2001. MOU berkenaan merupakan rangka kerja dalam memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan dan kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan dan angkatan bersenjata kedua negara. Jawatankuasa Kerja Bersama Pertahanan (JDWC) yang diwujudkan mengkoordinasikan dan melihat kerjasama dua hala seperti pertukaran maklumat, latihan ketenteraan dan juga pertukaran kekerapan lawatan.

Landskap hubungan BSB - Manila terus cemerlang. Jalinan erat kedua negara terserlah bilamana 14,682 rakyat republik berkenaan sedang berkhidmat di Negara Brunei Darussalam yang meliputi 11,183 orang berkhidmat di sektor swasta, 3,314 sebagai pembantu rumah (amah) dan 185 yang lain bekerja di pelbagai agensi-agensi kerajaan. Kerjasama pendidikan amatlah menggalakkan bilamana kedua negara menandatangani MOU di bidang Kerjasama Akademik Dalam Pendidikan Tinggi pada 7 Mac 2005. Sehingga kini seramai 30 orang penuntut Filipina telah menjalani pengajian di Universiti Brunei Darussalam (UBD) di mana bagi sesi akademik 2008-2009, dua penuntut negara tersebut menjalani pengajian di bidang ijazah di UBD.

Persahabatan erat yang dilandasan hubungan berbaik-baik yang dirintis oleh pemimpin kedua negara akan melahirkan persefahaman dan kerjasama yang berterusan di masa mendatang. Dalam era perkembangan dunia masa kini yang didasari globalisasi, hubungan kerjasama dua hala dan persefahaman yang mendalam amat mustahak dalam memperkukuhkan rangkaian kerjasama dua hala yang lebih luas ruang lingkupnya. Pemimpin dua negara berjiran sememang melahirkan harapan tinggi agar Negara Brunei Darussalam - Republik Filipina sentiasa dipenuhi dengan kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan begitu juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara sentiasa erat dan berkekalan.


Kembali ke muka utama