A+ A A-

8 pengedar dadah ditangkap

RAMPASAN barang-barang tegahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh. (Foto: Ihsan BKN)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 Oktober. - Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah berhasil membuat beberapa tangkapan berkaitan aktiviti pengedaran dan pembekalan dadah di negara ini dengan tertangkapnya enam lelaki dan dua wanita dalam tiga kejadian berasingan di Daerah Brunei dan Muara (DBM), Daerah Tutong dan Daerah Belait sepanjang minggu pertama dan kedua bulan Oktober tahun ini.

Dalam kejadian tersebut beberapa jenis dadah yang dipercayai syabu, ganja dan ketamin telah dirampas dianggarkan bernilai dalam pasaran gelap hampir BND120,000.

Pada 5 Oktober 2013, BKN dengan kerjasama pegawai-pegawai dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah menahan tiga warga tempatan, termasuk seorang wanita, berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun, semasa mereka melalui Pos Kawalan Kuala Lurah, DBM menggunakan kereta.

Pemeriksaan mendapati satu bungkusan dipercayai mengandungi dadah syabu yang beratnya melebihi 500 gram serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengambil dadah. 

Dadah tersebut dianggarkan bernilai lebih BND100,000 dalam pasaran gelap.

Sementara itu, pada 11 Oktober 2013, kerjasama antara BKN dan JKED sekali lagi berjaya mengesan percubaan untuk membawa masuk dadah terkawal ke negara ini melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh, Daerah Belait dengan tertangkapnya seorang rakyat asing berumur 28 tahun. 

BKN03 221013BARANG-BARANG rampasan yang ditemui di Kampung Bukit Panggal. (Foto : Ihsan BKN)

Pemeriksaan turut menjumpai barang dipercayai dadah ganja yang beratnya melebihi 400 gram dan dadah ketamin hampir lima gram yang kedua-duanya dianggarkan bernilai hampir BND7,000 dalam pasaran gelap.

Manakala pada 8 Oktober 2013, BKN telah berjaya menahan tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, di sebuah rumah di Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong. 

Hasil pemeriksaan telah menjumpai beberapa barang yang dipercayai dadah ganja dan dadah syabu di mana berat keseluruhannya melebihi 30 gram serta wang tunai dipercayai hasil dari aktiviti pengedaran dadah berjumlah hampir BND17,000.

Kes lapan orang tangkapan tersebut pada masa ini masih dalam siasatan bagi beberapa kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 termasuk kesalahan di bawah Seksyen 5 iaitu kesalahan membawa masuk dadah terkawal ke Negara Brunei Darussalam dan Seksyen 3A iaitu kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar. 

Hukuman am bagi kesalahan di bawah Seksyen 5 dan 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 ialah minimum lima (5) tahun penjara dan lima (5) kali sebat. 

Di bawah Seksyen 5, bagi kes yang melibatkan dadah ganja yang beratnya lebih 500 atau dadah syabu yang melebihi 50 gram, jika sabit kesalahan di bawah seksyen ini,  hukuman mandatori ialah mati. 

Hukuman mandatori MATI juga dikenakan di bawah Seksyen 3A bagi kes yang melibatkan dadah ganja yang beratnya lebih 600 gram atau dadah syabu yang melebihi 100 gram.

Dalam hubungan ini juga pihak BKN mengucapkan terima kasih kepada JKED atas kerjasama yang telah dihulurkan. 

BKN juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dengan menghubungi telefon 2448877 (waktu pejabat) dan talian Hotline 8777444 (selepas waktu bekerja).

PAUTAN JABATAN

  • harikebangsaan
  • dailydairy
  • bruneigovernment
  • infofoto
  • pentarama
  • pressroom

NOMBOR KECEMASAN

  • 991
  • 993
  • 995
  • 998

RADIO TELEVISYEN BRUNEI

  • RTB 1
  • RTB 2
  • RTB 3
  • RTB 4
  • RTB 5

Pautan ke akhbar-akhbar

  • borneoBulletin
  • sunday
  • weekEnd
  • mediaPermata
  • bt

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel