A+ A A-

Melestarikan penghayatan konsep MIB

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail ketika merasmikan Bengkel Pengukuhan Keperibadian Pelajar Berjiwa MIB bagi Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar dan Guru-guru Sekolah Rendah dan Menengah. (Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Julai. - Melayu Islam Beraja (MIB) telah dijadikan mata pelajaran teras bermula dari peringkat pendidikan Tahun 1 hingga ke peringkat pengajian tinggi di universiti-universiti.

Sehubungan dengan itu, program Kurikulum Pendidikan MIB di sekolah-sekolah rendah dan menengah serta di pusat pengajian tinggi direka bentuk bagi memastikan setiap penuntut dan pelajar akan dapat menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni MIB bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, berkepandaian dan berakhlak mulia.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail ketika merasmikan Bengkel Pengukuhan Keperibadian Pelajar Berjiwa MIB bagi pengetua-pengetua, guru-guru besar dan guru-guru sekolah rendah dan menengah di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan, Berakas, di sini, pagi tadi.

Katanya, konsep MIB bukanlah perkara baru seperti diketahui selepas pengisytiharan kemerdekaan tahun 1984 namun sejarah orang Melayu Brunei telah mengamalkan kehidupan yang berpandukan kepada ajaran-ajaran agama Islam, taat kepada raja dan beradat-istiadat sejak dahulu lagi.

Bengkel berkenaan dilihat untuk memantapkan dan melestarikan penghayatan konsep MIB khususnya di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi di negara ini.

Di samping, ianya juga untuk mendukung kosep MIB itu sendiri yang telah terbukti penghayatan dan pengamalannya sejak turun-temurun itu membawa kesejahteraan dan keamanan kepada negara dan rakyat Negara Brunei Darussalam.

Timbalan Menteri Pendidikan seterusnya berkata walau bagaimanapun pencapaian ilmu pengetahuan yang tinggi semata-mata belum pasti dapat menjana dan menjaminkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara tanpa disertai dengan adanya takwa dan iman serta akhlak dan keperibadian yang terpuji.

“Kesepaduan semua unsur ini adalah perlu dalam melahirkan modal insan Wawasan Negara 2035 iaitu melahirkan rakyat dan penduduk yang berilmu, berkemahiran dan bertemadun,” ujarnya.

Penerapan pengetahuan dan nilai-nilai ilmu dalam mata pelajaran MIB diharap akan dapat menjadikan setiap pelajar sebati dengan diri mereka sehingga mereka memiliki ketahanan nasional yang tinggi yang menjadi benteng daripada apa jua pengaruh atau fahaman yang menyeleweng yang boleh menjejaskan kehidupan diri, masyarakat dan kedaulatan negara.

Melalui pendidikan MIB jelasnya, nilai-nilai murni akan dapat disemai di peringkat awal persekolahan di kalangan pelajar dan membentuk sahsiah jati diri yang positif sesuai dengan konsep MIB, bagi mewujudkan rakyat yang memiliki semangat patriotik dengan mentaati dan mencintai agama, raja, bangsa dan negara.

Beliau menambah cabaran negara yang bukan sahaja setakat memperkembangkan kemajuan ekonomi dan sosial serta memelihara kemantapan politik dan meningkatkan kemajuan infrastruktur malah kemajuan ekonomi, infrastruktur dan sosial itu sendiri tidak akan mempunyai makna jika negara tidak dijelamai oleh rakyat dan penduduk yang mempunyai daya ketahanan dan modal insan yang berkualiti.

Beliau menekankan selaku pemegang amanah di bidang pendidikan pentingnya penghayatan MIB yang kukuh dalam kehidupan setiap pelajar bagi menangkis pengaruh-pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak dan tingkah laku agar tidak menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara.

Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perkembangan Kurikulum memainkan peranan penting dalam menyusun atur kandungan kurikulum bagi memastikan penerapan nilai-nilai positif dapat diperkukuhkan ke dalam diri setiap pelajar melalui nilai-nilai murni yang terpuji.

Selaku warga pendidik sememangnya menjadi 'role model' kepada para pelajar, ke arah itu usaha proaktif telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan seperti mengadakan bengkel-bengkel kepada guru-guru bagi mengukuhkan lagi ilmu pengetahuan dan teknik pengajaran serta pembelajaran yang lebih efisien.

Beliau menasihatkan kepada para guru agar memahami dan menghayati apa jua unsur-unsur yang terkandung dalam MIB yang betul dan tepat sekalipun bagi perkara-perkara yang kecil atau remeh-temeh bagi sesetengah orang. Namun pemahaman yang tepat dan jelas adalah penting diketahui oleh guru-guru sebelum diterapkan kepada diri para pelajar.

Beliau berharap agar kefahaman konsep MIB ini akan dapat membantu para guru dan pelajar untuk mengukuhkan lagi keperibadian pelajar berjiwa MIB iaitu suatu asas penting dalam pembinaan jati diri seorang warga negara ini.

Kefahaman MIB itu akan dapat meningkatkan kesedaran, membina dan mencetuskan semangat keyakinan diri justeru diharapkan agar para pendidik sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan negara akan kekal qarar selamanya menjadi sebuah negara yang berdaulat yang mengamalkan konsep MIB.

PAUTAN JABATAN

  • harikebangsaan
  • dailydairy
  • bruneigovernment
  • infofoto
  • pentarama
  • pressroom

NOMBOR KECEMASAN

  • 991
  • 993
  • 995
  • 998

RADIO TELEVISYEN BRUNEI

  • RTB 1
  • RTB 2
  • RTB 3
  • RTB 4
  • RTB 5

Pautan ke akhbar-akhbar

  • borneoBulletin
  • sunday
  • weekEnd
  • mediaPermata
  • bt

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel