|
MINDA PEMBACA
MINDA PEMBACA yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Bersama Membanteras Jenayah'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut :
Media massa berperanan sedarkan masyarakat
JENAYAH merupakan suatu perbuatan atau kegiatan yang menjadi larangan dan ditegah serta salah di sisi undang-undang. Perbuatan jenayah juga adalah perbuatan yang merugikan diri sendiri dan juga merugikan negara. Malahan kegiatan jenayah yang semakin meningkat juga akan memberikan kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Peratusan jenayah di negara kita juga semakin meningkat.
Jenayah itu berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara bersembunyi atau terang-terangan. Sebagai contoh jenayah curi, rompak, rogol, pugut, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya adalah jenayah yang sering kita dengar. Begitu juga dengan jenayah kolar putih seperti, rasuah yang berlaku tanpa kita sedari. Oleh itu, sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita perlu sama-sama bertanggungjawab dalam membanteras jenayah dari terus berleluasa.
Sebagai langkah pertama, ia perlu bermula dari rumah. Ibu bapa adalah pendidik pertama bagi anak-anak. Ini kerana ibu bapa adalah contoh teladan yang terbaik untuk anak-anak. Anak-anak perlu dididik dengan sempurna dari rohani dan jasmani. Sebagai sebuah negara yang berpegang dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), agama Islam adalah aspek penting dalam mendidik anak-anak agar mereka membesar menjadi insan yang bermoral dan berakhlak tinggi. Dengan adanya iman dan akidah yang kuat di dalam diri anak-anak, tentu mereka akan dapat menghindarkan diri mereka dari terjebak melakukan sebarang kegiatan jenayah. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dengan kasih sayang secukupnya tetapi bukanlah bermaksud terlalu mengongkong anak-anak sehingga anak-anak mempunyai dendam di hati lalu melepaskan kemarahan mereka dengan melakukan jenayah.
Selain itu, kerjasama dari pihak sekolah juga diperlukan dalam membanteras jenayah. Di sini peranan guru adalah sangat penting. Guru perlu mendidik murid-murid dengan tegas jika mereka melanggar peraturan sekolah. Teguran-teguran dan nasihat serta kaunseling perlu diberikan kepada murid-murid yang bermasalah dan yang melakukan kesalahan. Pihak sekolah juga hendaklah memberikan kesedaran dan motivasi kepada murid-murid tentang kesalahan-kesalahan serta hukuman yang akan diterima oleh pesalah-pesalah jenayah melalui taklimat atau ceramah.
Media massa juga perlu menyumbangkan inisiatif yang lebih aktif dalam membanteras jenayah. Segala rancangan televisyen, dan bahan cetak yang mengandungi adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda anak-anak remaja perlu ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan atau diterbitkan.
Penguat kuasa undang-undang dan hukuman yang berat juga perlu dikuatkuasakan agar mereka yang ingin membuat sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang akan berasa takut dan berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang. Apa yang lebih penting lagi, rondaan juga perlu kerap dijalankan oleh pihak polis terutama pada tempat-tempat yang sudah dikenal pasti sering berlaku kegiatan jenayah.
Kesimpulannya, sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita juga sama-sama bertanggungjawab dalam menjaga keamanan dan ketenteraman negara, bukannya menyerahkan 100 peratus tanggungjawab itu kepada pihak-pihak yang berkenaan. Jika semua lapisan masyarakat bekerjasama dalam membanteras jenayah tentu kegiatan jenayah di negara kita akan berkurangan. Dengan itu keamanan dan keharmonian negara akan tetap sentiasa dijaga dan dapat kita
nikmati bersama.
Nurul Khairunnisa binti Md. Nasir,
No. 828 Kampung Lumapas 'B', BJ3524.
No. K/P : 01-030627
Menghalang jenayah dari berleluasa menyelamatkan negara
DALAM menyelusuri era siber yang mencabar ini, kita sering disajikan dengan pelbagai kes-kes jenayah sama ada melalui media massa, surat khabar, media elektronik, dan televisyen serta internet.
Walaupun kes-kes jenayah di negara ini tidak begitu kritikal, namun sebelum ianya menular adalah lebih baik jika jenayah yang dilakukan perlulah dicegah dan dibanteras.
Ini kerana, sebagai rakyat dan penduduk di negara ini adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap individu itu mentaati apa-apa jua undang-undang yang telah ditetapkan sejak sekian lama.
Apa pun bentuk jenayah itu sama ada ianya kesalahan kecil mahupun yang besar, ianya merupakan satu kesalahan yang tidak dapat sepatutunya mendapat tempat di sisi masyarakat.
Mentaati kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam perlu sentiasa ada dalam diri setiap individu itu. Perlu kita ketahui, keharmonian dan kemakmuran sesebuah negara itu bergantung kepada kurangnya berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Kita tidak mahu negara kita dikenali hanya kerana kejadian jenayah yang dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab. Jenayah yang berleluasa perlulah diambil serius dengan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pesalah berkenaan.
Kita di negara ini patut bersyukur kerana atas kebijaksanaan dan perhatian serius pihak-pihak yang berwajib telah berhasil membanteras apa-apa juga kes-kes atau kejadian jenayah dari berleluasa telah berhasil.
Apa yang penting dalam melayari kehidupan ini, kita perlu ada sifat malu dan hormat-menghormati di antara sesama kita sendiri. Dengan adanya kedua-dua sifat ini akan membuat kita sedar untuk tidak melakukan sebarang jenayah yang merugikan itu.
Oleh itu adalah tanggungjawab semua pihak dan individu untuk bersama-sama berganding bahu membanteras apa-apa jua jenayah, sama ada jenayah itu dilakukan oleh ahli keluarga terdekat kita. Menghalang jenayah dari berleluasa bermakna kita telah menyelamatkan maruah diri, bangsa, agama, dan negara kita yang tercinta ini.
Rahimah binti Haji Tengah,
No. 2, Blok 9, Berek MTSSR, Jalan Muara,
Bandar Seri Begawan, BB4713.
No. K/P : 00-115823.
Semua pihak memainkan peranan banteras jenayah
SEBUT saja soal jenayah masyarakat akan mengaitkannya dengan agensi-agensi keselamatan dan penguat kuasa keamanan negara. Yang pastinya soal membanterasnya pula akan dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang pada tahun genap 89 tahun usianya di dalam menjamin keselamatan dan keamanan negara. PDB bertekad untuk menjalin dan mengukuhkan kerjasama di antara masyarakat untuk membanteras jenayah, selaras dengan tema Hari Polis 'Mengukuhkan Kerjasama Dengan Masyarakat Membanteras Jenayah'.
Pasukan keamanan kita sering mengadakan Operasi Bersepadu di segenap ceruk rantau negara ini termasuk di sempadan laut dan darat bagi memastikan tiada anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat keamanan dan membolosi kawalan keselamatan negara.
Baru-baru ini, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dalam ucapannya sempena Seminar 'Pentingnya Media Kepada Pasukan Polis' menekankan kepada semua anggota polis akan pentingnya PDB melaksanakan siasatan dan memaklumkan orang ramai khususnya pengadu mengenai perkembangan sesuatu kes atau masalah yang diadukan kepada pihak polis. Hal ini menampakkan betapa prihatinnya Pesuruhjaya Polis di dalam mengeratkan hubungan PDB dengan masyarakat. Hal ini sangat penting kerana dengan adanya makluman atau tindakan yang diambil terhadap sesuatu kes atau masalah dimaklumkan kepada si pengadu khasnya dan masyarakat amnya boleh meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kemampuan PDB.
PDB kini semakin aktif merapatkan hubungan dengan masyarakat kebelakangan ini, ini dapat dilihat di institusi-institusi kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah dan lain-lain tumpuan masyarakat seperti kompleks membeli-belah, pihak PDB kerap kali mengadakan jerayawara-jerayawara untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga keselamatan diri dan harta benda. Jerayawara ini juga dapat memperlihatkan perkembangan PDB di dalam peranannya membanteras jenayah.
Di kawasan kampung dan pedalaman, PDB juga aktif merapatkan hubungan dengan masyarakat iaitu melalui program ziarah ke kampung-kampung dan mendengar permasalahan orang awam, khususnya mengenai aktiviti kurang sihat. Pasukan itu juga sering mengadakan perbincangan dan dialog bersama ketua kampung, dan penghulu mukim bagi bertukar-tukar pendapat, dan mendengar masalah mereka. Selain mendirikan pos-pos polis dan, mengadakan rondaan bersama di kawasan-kawasan pedalaman yang terpencil. Ini memperlihatkan kesungguhan mengawal dan menjaga keselamatan, dan keamanan di kampung-kampung tidak terkecuali di kawasan pedalaman.
Masyarakat dalam pada itu seharusnya memainkan peranan dengan tidak hanya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya di bahu PDB dalam membanteras jenayah. Masyarakat diberi peluang untuk bekerjasama seperti mengadakan Pasukan Kejiranan Kampung yang penyertaannya dibukakan kepada semua peringkat masyarakat tidak mengira usia dan bangsa.
Pihak media turut memainkan peranannya di dalam membanteras jenayah. Hal ini ialah kerana media, sama ada media cetak dan media elektronik masa ini memberi impak besar kepada masyarakat. Media elektronik seperti televisyen, radio dan lebih canggih dapat menyebarkan mesej kepada masyarakat dengan cepat dan pantas. Merealisasikan matlamat untuk menyebar mesej ini, pihak media haruslah memberi sokongan kepada pasukan keamanan dan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang dengan mengurangkan kos pengiklanan atau meniadakan bayaran undang-undang dalam membanteras sebarang bentuk jenayah yang cuba mengganggu gugat keamanan, keselamatan dan kestabilan negara kita yang tercinta ini.
Bersamalah, kita membanteras jenayah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam, sebuah negara bebas dari jenayah.
Haji Afiq bin Haji Julah,
Peti Surat 702, Seria, KB1190,
Kuala Belait.
No. K/P : 01-033690.
Berganding bahu demi keselamatan
JENAYAH boleh didefinisikan sebagai melakukan sesuatu perkara dengan kemahuan sendiri, ataupun secara paksa oleh orang, mahupun pihak lain walaupun tahu akan risikonya yang tinggi terhadap diri sendiri, ahli keluara dan kawan-kawan serta salah di sisi undang-undang negara dan agama kita, Islam. Akan ada kesan-kesan yang begitu buruk daripada jenayah terhadap diri kita terutamanya, para belia.
Salah satu daripadanya ialah para belia kita yang melakukan jenayah akan dipinggirkan, dipandang rendah serta dihina oleh sesetengah ahli keluarga dan kawan mereka. Ini akan menyebabkan para belia kita mungkin akan berhenti sekolah terutamanya yang masih bersekolah, peluang untuk mendapatkan pekerjaan amat tipis kerana mempunyai rekod jenayah serta tidak dapat dipercayai oleh ahli keluarga dan sabahat mereka.
Walau bagaimanapun, kita boleh bekerjasama dalam menangani jenayah di negara yang kita cintai ini dengan berbagai-bagai cara. Salah satu daripadanya, alhamdulillah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan telah pun memasukkan rasuah sebagai mata pelajaran baru dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, dan para pelajar akan mengetahui rasuah sebenarnya, hukum dan hukumannya di sini undang-undang negara dan agama kita, Islam.
Pada zaman yang serba canggih ini semua bank, restoran, gedung perniagaan dan kedai runcit telah pun memasang kamera keselamatan (CCTV) dan mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua pengawal keselamatan untuk mempertingkatkan lagi keselamatan. Dengan cara ini para perompak akan dapat dikesan dalam tempoh yang singkat dan ditangkap jika mereka cuba untuk merompak.
Apa pun, sebenarnya kejayaan hanya akan dicapai jika semua pihak berganding bahu meningkatkan lagi usaha membanteras jenayah di negara kita, terutama kesannya terhadap para belia, kerana merekalah pemimpin negara di masa akan datang, kepada generasi-generasi yang seterusnya serta akan menentukan hala tuju pembangunan negara kita juga, sama ada maju, atau mundur.
Mohd. Ali Azhar bin Haji Suhaili,
No. 23, Simpang 18, Jalan 64,
Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan,
Berakas, BC3115.
No. K/P : 01-049645.
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'Budayakan Kehidupan Yang Bercalakan Kebruneian'. Tarikh tutup : 20 Mei 2010.
2. 'Negaraku Brunei Darussalam'. Tarikh tutup : 27 Mei 2010.
3. 'Bersama Membanteras Jenayah'. Tarikh tutup : 3 Jun 2010.
4. 'Utamakan Kebersihan dan Keselamatan Makanan'. Tarikh tutup : 10 Jun 2010.
5. 'Jauhi Rasuah Hidup Selamat'. Tarikh tutup : 17 Jun 2010.
6. 'Membina Rakyat Brunei Yang Bertanggungjawab'. Tarikh tutup : 24 Jun 2010.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting MINDA PEMBACA,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelitabrunei@information.gov.bn
Kembali ke muka utama
|