Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Hotline || Arkib ||

EDISI ISNIN,
RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
sebaik-baik pemimpin

BULAN Rabiulawal telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali apabila tibanya bulan Rabiulawal, seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, putera kepada Abdullah dan Siti Aminah sebagai penyinar kepada dunia yang kelam dalam kegelapan jahiliah. Kelahiran dan kebangkitan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir telah membawa sinar bahagia kepada umat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain yang mana yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin dan yang gagah menindas yang lemah. Perundangan terletak pada pandangan nafsu bukannya wahyu sehingga dunia menjadi bercelaru kehilangan pedoman dan ketiadaan sistem yang mampu dijadikan tempat rujukan untuk berlindung.

Kelahiran Nabi Muhammad sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terserlah dengan pengutusan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu sendiri sebagai Rasul pembawa agama Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa tertentu sahaja sebagaimana nabi-nabi sebelum ini.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di Akhirat. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam adalah rahmat daripad Allah yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al Anbiyaa’: 107).

Sebagai seorang Rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi pemimpinpemimpin yang lain. Baginda bersifat ma’sum iaitu terpelihara dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu, arah dan tujuan yang dibawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala iaitu agama Islam. Kini Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu Al-Qur’an dan As- Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Dalam ruangan Menuju Keredaan Allah kali ini kita akan melihat beberapa pengajaran dan contoh teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolehi darjat takwa yang diharap-harapkan. Berikut adalah sebahagian daripada bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah :

RUMAH TANGGA

Keharmonian hidup berumah tangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumah tangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolehi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat-menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga. Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumah tangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contohcontoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya. Di dalam rumah tangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumah tangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu-membantu.

Dalam kehidupan berumah tangga, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumah tangganya. Sebagai seorang suami, Rasulullah. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apaapa makanan yang sedia ada saja.

Di samping Rasulullah menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolongmenolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih daripada seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur. Walau bagaimanapun, Rasulullah tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

JIRAN

Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran dalam kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni pada kalangan masyarakat sesuatu tempat. Dalam hal ini, Rasulullah telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya; sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya; dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat. Maka hendaklah dia katakan perkara yang baik atau dia diam.”

Maksud dan tujuan daripada hadis tersebut adalah jelas untuk mengajar umat Islam supaya tidak menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kebajikan orang lain. Walaupun pengaruh kehidupan zaman moden sekarang, terutama oleh kemajuan sains dan teknologi, menjadikan seseorang merasai dirinya sudah terlepas dari orang lain, namun tanggungjawabnya sebagai seorang individu Muslim tetap kekal dan mesti dilaksanakannya.

Mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Thabarani bahawa tanggungjawab seseorang terhadap jirannya ada lapan perkara :

i. Menziarahinya apabila dia sakit.

ii. Mengiringi jenazah apabila dia meninggal dunia.

iii. Membantunya apabila dia memerlukan bantuan.

iv. Melindunginya pada masa dia dalam kesusahan dan kepapaan.

v. Ucapkan tahniah apabila dia memperolehi nikmat.

vi. Ucapkan takziah apabila dia ditimpa kesusahan.

vii. Jangan meninggikan binaan rumah melebihi bangunan rumahnya sehingga menyekat udara kepadanya.

viii. Janganlah menyakitinya dengan bau enak masakan kecuali diberikan kepadanya.

JIMAT CERMAT

Rasulullah adalah seorang yang sangat berhati-hati dan cermat dalam kehidupannya. Dalam perbelanjaan hidupnya, Baginda memperlihatkan bahawa sekalipun Baginda menguasai sebuah kerajaan Islam yang mampu untuknya berada dalam kemewahan, namun yang ternyata Baginda bukanlah orangnya yang mementingkan keduniaan. Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa berjimat cermat khususnya dalam perbelanjaan sehari-sehari.

Sumber kekayaan yang dimiliki hendaklah dipergunakan untuk kepentingan bersama membantu golongan yang memerlukannya, bukan untuk dihabis dan dibelanjakan begitu sahaja. Agama Islam menentang tabiat dan perbuatan membazir. Menurut Al-Qur’an, orangorang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Oleh yang demikian, seseorang Islam hendaklah menggunakan hartanya dengan cara yang sebaik-baiknya, kerana perbelanjaan yang dilakukan pada perkara yang tidak disukai oleh Islam amat besar padahnya di hari Akhirat nanti.

Berkenaan hal ini, Imam At-Tirmizi telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya : “Tidak berganjak kedua-dua kaki seseorang dari tempat berdirinya di Mahkamah Tuhan pada Hari Kiamat sehingga dia disoal tentang umurnya pada perkara apakah dia habiskan, tentang ilmunya untuk apakah dia gunakan, tentang harta bendanya dari manakah dia dapati dan ke mana dibelanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah dia susutkan kemudian dan kecergasannya.”

Contohnya pada kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri jelas memperlihatkan betapa dirinya tidak dikuasai oleh nafsu dan pengaruh harta benda keduniaan. Baginda memakai pakaian yang sekadarnya untuk melindungi badan dari panas dan sejuk, memakan makanan sekadar untuk hidup malah kadang-kadang Baginda tidak makan apa-apa.

PENUTUP

Semoga dalam sedikit pengajaran dan contoh teladan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini dapat menjadikan kita semakin tunduk dan patuh kepada segala ajaran Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah dalam Surah Ali‘Imran, ayat 53 yang bermaksud : “Ya Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan (Kitab Injil) dan kami telah mengikut Rasul (Mu) oleh itu jadikanlah kami bersama golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu).”


Kembali ke muka utama