Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Hotline || Arkib ||

EDISI ISNIN,
RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya


Klik logo untuk arkib Irsyad Hukum

Adakah Melebihi Jumlah
Bayaran Pinjaman Itu Riba?

MEMBERI pinjaman atau hutang kepada orang yang memerlukan adalah perbuatan yang terpuji. Islam menggalakkan umatnya untuk saling tolong-menolong dalam perkara berkebajikan antara satu dengan yang lain. Hal ini disebutkan dalam al-Qur’an, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Namun ada kalanya memberi pinjaman kepada seseorang juga boleh terdedah kepada riba atau disebut oleh syara‘ sebagai riba al-qardh. Maka apabila terbabit dengan riba, jadilah memberi pinjaman itu tidak lagi menjadi perbuatan yang terpuji, malahan ia menjadi perbuatan yang terkutuk.

Riba itu jelas hukumnya haram menurut al-Qur’an, hadits dan ijma‘. Ia juga termasuk dalam perbuatan dosa-dosa besar yang membawa pengamalnya kepada kesudahan yang buruk dan mendapat azab yang pedih di akhirat.

Orang Islam yang terlibat mengamalkan riba akan mendapat laknat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan berada jauh dari rahmat Allah seperti mana yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi makan riba, dan penulis, dan dua saksinya.”

(Hadits riwayat Muslim)

Riba al-qardh

Riba al-qardh bermaksud riba yang terhasil dari pinjaman yang mensyaratkan manfaat untuk pemberi pinjam. Sebagai contoh Ali memberi pinjaman $100 kepada Abu dengan syarat memulangkannya setelah setahun sebanyak $150. Wang $50 tambahan yang disyaratkan oleh Ali itu adalah riba.

Contoh riba al-qardh lagi ialah seperti Ali memberi pinjaman $100 kepada Abu dan diberi tempoh setahun untuk menjelaskannya. Oleh kerana Abu tidak mampu melunaskan hutangnya dalam tempoh tersebut lalu Ali memanjangkan tempoh pembayaran dengan syarat memulangkannya sebanyak $150.

Pada zaman jahiliyyah, apabila penghutang tidak mampu melunaskan hutangnya setelah sampai tempoh pembayaran, maka tempoh tersebut dipanjangkan lagi dengan syarat digandakan jumlah hutangnya. Begitulah seterusnya apabila penghutang itu tidak mampu melunaskan hutangnya setelah sampai tempoh sehingga menyebabkan jumlah hutangnya menjadi berlipat ganda.

Itu yang menyebabkan turunnya ayat al-Qur’an yang melarang aktiviti memakan riba. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan (atau mengambil) riba (yang sifatnya menjadikan hutang itu) berlipat ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka yang disediakan untuk orang-orang kafir.”

(Surah Ali ‘Imran: 130-131)

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa meletakkan syarat tambahan ketika memulangkan pinjaman itu adalah riba. Bahkan meletakkan syarat supaya memulangkan pinjaman yang lebih baik daripada yang dipinjam seperti memulangkan pinjaman emas yang rosak dengan emas yang baik itu juga adalah riba. Selagi mensyaratkan pulangan yang mendatangkan keuntungan kepada pemiutang, maka itu adalah riba dan batal akadnya.

Mensyaratkan pulangan yang kurang daripada pinjaman

Jika dalam akad pinjaman itu disyaratkan pulangan yang kurang jumlahnya daripada pinjaman asal seperti Abu meminjam $100 daripada Ali dan Abu mensyaratkan supaya dia hanya memulangkan $80 sahaja ataupun disyaratkan pulangan yang kurang baik daripada pinjaman seperti Abumeminjam emas yang baik daripada Ali dan Abu mensyaratkan supaya dia hanya memulangkan emas yang rosak, maka syarat tersebut adalah batal. Manakala akad pinjamannya pula sah sebagaimana menurut pendapat yang ashah.

Melebihi jumlah bayaran pinjaman kerana kehendak penghutang bukan kerana syarat.

Jika penghutang membayar hutangnya melebihi jumlah pinjaman dengan kehendak penghutang itu sendiri dan bukan kerana ia disyaratkan dalam akad untuk membayar lebih, maka bayaran yang lebih itu tidak termasuk dalam kategori yang dinamakan riba. Bahkan pembayaran yang sedemikian itu sangat digalakkan oleh syara‘ sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Seorang lelaki ada mempunyai hak ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dia (bercakap) kasar kepada Baginda, maka para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam merasa gelisah. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya bagi pemilik hak itu bercakap apa saja.” Lalu Baginda bersabda kepada mereka (sahabat): “Kamu belikanlah seekor unta dan berikanlah ia kepadanya.” Mereka berkata: “Sesungguhnya kami tidak menemuinya melainkan unta yang lebih baik daripada untanya.” Baginda bersabda: “Kamu belilah ia dan berikanlah ia kepadanya, kerana sesungguhnya daripada sebaik-baik kamu atau yang terbaik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik dalam membayar hutangnya.”

(Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, melebihi jumlah bayaran pinjaman kepada pemiutang bukan kerana adanya syarat bayaran lebih ketika akad pinjaman adalah amalan terpuji dan tidak makruh bagi pemiutang untuk mengambil lebihan jumlah bayaran tersebut.

Akan tetapi makruh bagi pemiutang apabila dia bertujuan untuk memperolehi bayaran lebih itu dengan memberi hutang kepada penghutang yang pada kebiasaannya akan membayar lebih setiap kali dia membayar balik hutangnya.

Demikianlah penjelasan mengenai perkara yang perlu diketahui khususnya bagi pemiutang dan penghutang agar muamalah mereka tidak jatuh kepada riba yang boleh mengheret ke neraka.

WALLAU'ALAM

Kembali ke muka utama