A+ A A-

Nilai dan unsur kebudayaan, kesenian negara tetap terpelihara

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah semasa berucap selaku tetamu kehormat menyampaikan plaq, wang tunai dan sijil kepadaJuara Pertandingan Menambat Dastar Kategori Remaja Awang Haji Muhd Ubaidah bin Haji Awang Damit (Foto: Haji Ariffin Haji Mohd. Noor)

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Januari. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), selaku agensi yang bertanggungjawab dalam memelihara warisan budaya akan sentiasa memastikan nilai-nilai dan unsur-unsur kebudayaan dan kesenian negara sama ada dalam bentuk nyata (tangible) dan tidak nyata (intangible) akan tetap terpelihara dan berkembang mengikut arus pembangunan dan kemajuan semasa global.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata, tanggungjawab berkenaan bukan hanya setakat untuk memelihara dan mengekalkan peninggalan warisan dan budaya berkenaan, tetapi juga untuk mengembang majukannya dan menjadikannya tetap relevan dan hidup dalam kehidupan masyarakat masa kini dan generasi yang akan datang.

Demikian jelas Yang Berhormat semasa merasmikan Pertandingan Menambat Dastar dan Menapih Sinjang Kebangsaan 2012 Peringkat Akhir, berlangsung di ruang legar, Airport Mall, di sini.

"Ini memandangkan warisan adat dan budaya adalah merupakan roh dan identiti bangsa yang menyumbang kepada perpaduan, peradaban, keunikan dan keunggulan bangsa Brunei. Warisan adat dan budaya juga mencerminkan kita sebagai bangsa yang mempunyai keperibadian yang kukuh tetapi lembut, tegas tetapi halus, berhemah dan bersopan santun," tambah Yang Berhormat.

Dalam usaha untuk mempertahan, menghidup dan mengembangkan warisan dan budaya bangsa Brunei, pendekatan yang diguna pakai, terang Yang Berhormat, ialah melalui kaedah 'penerusan dan perubahan' (continuity and change).

"Dengan kaedah sedemikian warisan dan budaya kita akan dapat berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi hambatan kepesatan pembangunan global yang pantas dan serba canggih," jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat menambah, pendekatan berkenaan juga menjadikan budaya dan warisan bangsa dapat menyumbang kepada perkembangan kreativiti dan inovasi di dalam masyarakat yang mengamalkan warisan dan budaya berkenaan dan tidak terkebelakang atau tertinggal oleh arus globalisasi.

"Masyarakat di Negara Brunei Darussalam masih utuh dan kukuh pada memelihara dan meneruskan warisan adat dan budaya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Antaranya ialah pemakaian dastar dan sinjang atau rancung. Masyarakat kita masih lagi mempraktikkan identiti kebruneian iaitu berbaju Melayu serta sinjang atau rancung sama ada di tempat kerja atau menghadiri majlis-majlis rasmi seperti majlis perkahwinan, majlis keagamaan, sosial dan sebagainya.

Malahan dastar dan sinjang mempunyai peranan yang signifikan dalam adat istiadat negara dalam mana baju Melayu juga akan dipakai lengkap bersama songkok atau dastar dan sinjang di majlis-majlis rasmi negara dan beradat istiadat," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, ini telah menjadikan warisan budaya memakai dastar dan bersinjang sebagai budaya yang hidup (living culture) dan masih relevan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di Negara Brunei Darussalam.

Di Negara Brunei Darussalam, kita, ujar Yang Berhormat, mempunyai keunikan pemakaian dastar dan sinjang yang diwarisi sejak zaman-berzaman di mana keunikan tersebut terdapat dari segi seni tambatan dastar dan tapihan pada pemakaian sinjang atau rancung serta seni menambat dastar dan menapih sinjang yang merupakan salah satu warisan 'intangible' bangsa Brunei.

Jenis-jenis dastar yang dipakai di negara kita, tambah Yang Berhormat, mempunyai tambatan atau lipatan yang berbeza yang akan menunjukkan status masing-masing seperti kerabat diraja, pembesar negara, orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai pentadbir, penghulu dan sebagainya, ini menjelaskan bahawa sinjang dan dastar mempunyai peranan yang tersendiri dalam masyarakat Brunei.

Yang Berhormat menegaskan generasi muda perlu mengetahui, mempelajari dan mengembangkan warisan tambatan dastar dan tapihan sinjang Brunei. Mempelajari teknik menambat dastar dan menapih sinjang ini tidak terhad kepada bentuk atau corak tradisi sahaja bahkan dengan peredaran dan perkembangan zaman kita boleh mengolahnya kepada corak yang lebih kreatif dan moden dengan menjadikan tambatan dan tapihan yang asli sebagai asas atau landasan kepada pembaharuan berkenaan.

Yang Berhormat juga yakin, minat dan kerjaya menambat dastar dan menapih sinjang ini boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan memandangkan dalam masyarakat Brunei ianya sentiasa dikehendaki di majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis yang bersesuaian dengan pemakaian pakaian berkenaan.

PAUTAN JABATAN

  • harikebangsaan
  • dailydairy
  • bruneigovernment
  • infofoto
  • pentarama
  • pressroom

NOMBOR KECEMASAN

  • 991
  • 993
  • 995
  • 998

RADIO TELEVISYEN BRUNEI

  • RTB 1
  • RTB 2
  • RTB 3
  • RTB 4
  • RTB 5

Pautan ke akhbar-akhbar

  • borneoBulletin
  • sunday
  • weekEnd
  • mediaPermata
  • bt

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel