A+ A A-

Tiga produk kosmetik dicemari bahan racun berjadual

ANTARA Produk kosmetik yang dilarang penjualan dan penggunaanya oleh Kementerian Kesihatan yang banyak didapati dijual melalui laman sosial terutama sekali facebook itu ialah Tabita Skincare Smooth Lotion mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin, Tabita Skincare Daily Cream mengandungi Mercury dan Salicylic Acid dan Tabita Skincare Nightly Cream mengandungi Mercury dan Salicylic Acid bahan yang boleh mengakibatkan kesan-kesan buruk yang membahayakan kesihatan. (Foto: Ihsan Kementerian Kesihatan)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 April. - Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan tiga jenis produk kosmetik yang dilarang penggunaannya setelah didapati dicemari dengan bahan racun berjadual dan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Produk kosmetik yang banyak didapati dijual melalui laman sosial terutama sekali Facebook itu ialah Tabita Skincare Smooth Lotion mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin, Tabita Skincare Daily Cream mengandungi Mercury dan Salicylic Acid dan Tabita Skincare Nightly Cream mengandungi Mercury dan Salicylic Acid.

Bahan-bahan pencemar dalam produk kosmetik berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan buruk yang membahayakan kesihatan.

Hydroquinone dan tretinoin adalah bahan-bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjaggan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersentiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit, sementara penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, menggelupas dan parut pada kulit.

Selain itu, penggunaan mercury di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan, manakala tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Salicylic acid pula adalah bahan yang boleh digunakan dalam produk kosmetik tetapi dalam had dan kondisi yang dibenarkan seperti yang ditetapkan di dalam Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), manakala penggunaan produk yang mengandungi salicylic acid dengan tahap yang tinggi boleh mengakibatkan kulit gatal, kering dan merah.

Kementerian Kesihatan tidak pernah menerima permohonan notifikasi bagi produk-produk kosmetik berkenaan sebelum ia dipasarkan dan berikutan dapatan ini, produk-produk kosmetik berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang menjual produk-produk tersebut (termasuk secara online seperti melalui Facebook) adalah diingatkan bahawa ia adalah satu kesalahan di bawah Perintah Ubat (Produk Kosmetik) 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa pengakuan notifikasi produk yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jika melanggar peraturan-peraturan serta sabit kesalahan boleh dipenjara atau denda tidak melebihi BND5,000 dan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

Para pengguna yang membeli dan menggunakan mana-mana produk tersebut adalah dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya dengan serta-merta dan jika mereka mengalami kesan buruk atau merasa tidak sihat, hendaklah berjumpa dengan doktor dengan segera.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati mana-mana produk yang disebutkan di atas masih dipasarkan di Negara Brunei Darussalam.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian 2230036 atau di Unit 2G8 : 04, Tingkat 8, Kondominium Ong Sum Ping.

PAUTAN JABATAN

  • harikebangsaan
  • dailydairy
  • bruneigovernment
  • infofoto
  • pentarama
  • pressroom

NOMBOR KECEMASAN

  • 991
  • 993
  • 995
  • 998

RADIO TELEVISYEN BRUNEI

  • RTB 1
  • RTB 2
  • RTB 3
  • RTB 4
  • RTB 5

Pautan ke akhbar-akhbar

  • borneoBulletin
  • sunday
  • weekEnd
  • mediaPermata
  • bt

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel