Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Hotline || Arkib ||

EDISI ISNIN,
RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Putri Norizah artis muda
harumkan nama negara
Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Koleksi Putri Norizah binti Ibnor Riza

LAGU bertajuk ‘Sebarkan Ke Seantero Dunia’ dendangan Putri Norizah yang sering berkumandang di corong-corong radio dan klip videonya selalu ditayangkan di kaca televisyen pada tahun 2004 dulu telah menaikkan nama beliau di persada seni tanah air. Beliau yang memang lahir daripada keturunan darah seni adalah hasil penerus jejak daripada perkahwinan pasangan Ibnor Riza bin Haji Ibrahim dan Norhayati binti Haji Md. Nor.

Ayahnya merupakan penyanyi Malaysia yang terkenal pada tahun 80-an ke 90-an dan kini menyanyi sepenuh masa dan sering mengadakan persembahan di majlis-majlis tertutup, konsert diraja dan persembahan televisyen terutama di RTM. Manakala ibunya juga merupakan seorang penyanyi tempatan yang memang asli berasal dari Negara Brunei Darussalam.

PUTRI Norizah muncul sebagai juara ‘Miss ASEAN Television Charm 2011’ di 2nd. ASEAN Television Charm di Ho Chi Minh City, Viet Nam.

Gadis berusia 20 tahun ini mula menyanyi di khalayak ramai ketika berumur 7 tahun dan mula aktif dalam bidang nyanyian secara serius sejak tahun 2003. Bakat nyanyiannya mula dikenal pasti oleh pemilik PhuturePhase Productions, Fathan bin Haji Anuar atau lebih dikenali dengan Hans Anwar iaitu seorang penyanyi dan komposer.

Ketika itu Putri Norizah baru berumur 12 tahun yang mana beliau telah dipilih untuk menyanyikan lagu bertajuk ‘Jambangan Kasih’ yang digubah oleh komposer dari Malaysia, Ross Ariffin, dalam Majlis Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Pada tahun 2004, lagu kanak-kanak berunsur pop tradisional bertajuk ‘Sebarkan Ke Seantero Dunia’ yang menceritakan tentang permainan tradisi kanak-kanak Brunei seperti ancau-ancau laut, bola belidar, bit-bit ucing dan datok harimau telah diperkenalkan dan perlu dipraktikkan kepada kanak-kanak zaman sekarang agar tidak pupus ditelan zaman. Lagu tersebut sering menjadi siulan anak-anak muda di sana sini sehingga ke hari ini.

Dari sana, maka bermulalah titik perjalanan beliau sebagai seorang insan seni yang siap sedia menceburkan diri dalam dunia hiburan dan kemudian menjadi penyanyi profesional serta artis rakaman. Putri Norizah telah mengumpulkan lagu-lagu hits beliau dari tahun 2006 hingga 2008 yang dirangkai menjadi satu album berjudul 'PUTRI NORIZAH' yang dilancarkan pada 3 November 2008 di Negara Brunei Darussalam ketika beliau berumur 17 tahun.

Kebanyakan lagu-lagunya telah berada di carta-carta teratas di stesen-stesen radio tempatan iaitu Rangkaian Pelangi, Rangkaian Nasional dan Kristal FM. Lagulagunya juga dapat didengar oleh penumpang-penumpang yang mengikuti semua Pesawat Penerbangan Diraja (RBA) menerusi ‘Sky Show’ sejak bulan Disember 2009.

Selain itu, beliau telah mewakili Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dalam pelbagai acara pertandingan nyanyian di seluruh pelusuk dunia seperti Memorandum Persefahaman Program Pertukaran Kebudayaan Bersama Negara-negara Serantau Radio Televisyen Brunei (RTB).


BERSAMA seorang para peserta World Championships of Performing Arts 2011 (WCOPA 2011) di Hollywood, Los Angeles, California – Amerika Syarikat.

Beliau dianggap sebagai ‘One of the Most Invited’ dalam kalangan artis-artis tempatan memandangkan keupayaannya di dalam menyampaikan pelbagai jenis genre lagu daripada pop, balada dan pop tradisional yang menjadikan beliau begitu dikenali oleh para pendengar daripada golongan kanak-kanak sehingga orang dewasa.

Sebagai artis muda yang berjaya, beliau mempunyai keistimewaan untuk melibatkan diri dalam pelbagai program khusus untuk para belia di negara ini seperti menyampaikan ceramah motivasi dan sebagainya.

Selama lapan tahun berkecimpung dalam industri muzik, beliau telah merakamkan sebanyak 19 buah single yang digubah oleh para komposer tempatan dari PhuturePhase Productions seperti Joe Mdan Rosman Masri dan tiga buah single yang digubah oleh penyanyi dan komposer tanah air, Awangku Amilin bin Pengiran Haji Yahya.

Lagu-lagu yang pernah dikeluarkan melalui single beliau kebanyakannya telah dikompilasi menjadi satu album dengan gandingan lagu-lagu artis tempatan yang lain agar para pendengar dapat menikmati lagu-lagu daripada artis Negara Brunei Darussalam. Selain itu, Putri Norizah juga berjaya memenangi pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara. Antara anugerah yang paling eksklusif yang pernah beliau menangi ialah pada tahun 2005, yang mana beliau merupakan juara bagi Kategori Junior ‘Pilihan AKIRA Talentime’ anjuran Rangkaian Pilihan dan pemenang anugerah bagi Kategori ‘Vokalist Wanita Pilihan Terbaik 2004 - 2005’ dalam Anugerah Pelangi anjuran Rangkaian Pelangi.

Beliau pernah memenangi anugerah pingat gangsa di ‘ASEAN GOLDEN MELODIES Festival cum Contest’ yang berlansung di Ho Chi Minh City, Viet Nam pada tahun 2008 dan memenangi anugerah ‘Penyanyi Terbaik’ bagi Simfoni Tanah Air Peringkat Akhir pada tahun 2009 dengan membawakan lagu bertajuk ‘Ingat Beringat’. Pada tahun 2010, beliau mendapat tempat kedua bagi ‘Miss Ao Dai SSEAYP 2010’ yang disertai oleh para peserta kapal belia dari negara-negara ASEAN di Fuji Maru, Jepun anjuran peserta-peserta belia dari negara Viet Nam.


BERSAMA para peserta China-ASEAN Youth Camp 2010 di Nanning, Republik Rakyat China semasa menyertai kem tersebut tahun lalu.

Tahun ini iaitu tahun 2011 telah banyak menjadikan beliau seorang yang dewasa setelah berjaya dan dimahkotakan sebagai ‘Miss ASEAN Television Charm 2011’ pada 2nd. ASEAN Television Charm di Ho Chi Minh City, Viet Nam.

Putri Norizah telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi lima kategori nyanyian sehingga beliau dianugerahkan ‘Five Medals of Champion of the World Division Winner 2011Awards’ dan dianugerahkan pingat emas bagi Kategori ‘Spokes Model’ di World Championships of Performing Arts 2011 (WCOPA 2011) di Hollywood, Los Angeles, California - Amerika Syarikat.

Boleh dikatakan Putri Norizah sudah banyak menempah nama di pelusuk dunia dan mengharumkan negara dengan menyumbangkan keistimewaan yang ada pada dirinya. Dengan penampilannya yang bertudung juga tidak pernah sesekali menjadi penghalang bagi popularitinya, dan menjejaskan reputasinya untuk menjadi seorang artis Muslimah yang berkualiti. Sehingga ke hari ini, beliau masih lagi aktif menyanyi dalam majlis- majlis tertentu dan mewakili negara untuk bertanding dan membuat persembahan.

Selain berjaya dalam bidang nyanyian, Putri Norizah juga seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Beliau yang baru memperolehi Diploma Kebangsaan dalam Business Management itu ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.


Kembali ke muka utama