|

Sabtu, 4 Februari 2012
11 Rabiulawal 1433
'KEMERDEKAAN'
- Tuntutan setiap bangsa
KINI kita telah memasuki bulan Februari 2012. Dalam
beberapa minggu saja lagi kita akan menyambut Hari
Kebangsaan Ke-28.
Sidang Pengarang kali ini cuba menyentuh apa sebenarnya
erti kemerdekaan? Dan mengapa ianya menjadi tuntutan setiap
bangsa?
Setiap bangsa di dunia ini memang inginkan bernaung pada
sebuah negara yang merdeka. Mereka mahu menentukan hala
tujunya sendiri tanpa campur tangan lain.
Lihatlah bangsa Kurdis, betapa bangsa ini inginkan untuk
mendapatkan sebuah negara yang merdeka bahkan sampai
sekarang bangsa Kurdis belum lagi mempunyai negeri sendiri.
Lihatlah bangsa Yahudi, pada asalnya mereka memang tidak
mempunyai negeri. Pergerakan Zionist bekerja keras untuk
mendapatkan tanah air untuk bangsa Yahudi. Akhirnya pada
tahun 1948, negeri Israel yang merdeka ditubuhkan walaupun
dengan mengambil hak kedaulatan negeri lain.
Kita imbas kisah negara Yugoslavia, kejatuhan Yugoslavia
pada tahun 1992 adalah disebabkan kebangkitan beberapa
etnik-etnik yang inginkan sebuah negara mereka sendiri.
Dengan kebangkitan ini, Yugoslavia berpecah dan lahirlah
enam buah negeri republik iaitu Slovenia, Croatia, Bosnia-
Herzegovina, Macedonia, Montenegro dan Serbia.
Begitu juga dengan Czechoslovakia yang akhirnya berpecah
dan lahirlah dua negeri merdeka iaitu : Czech Republik dan
Slovakia.
Kita imbas kisah kejatuhan Soviet Union pada tahun 1991.
Setiap rakyat yang ada dalam Soviet Union pada masa itu
mahukan mempunyai kerajaan sendiri. Mereka sudah tidak
lagi yakin akan sistem politik dan ekonomi Soviet Union
menyebabkan pergerakan 'Nationalist' merebak pada seluruh
Soviet Union. Dengan tekanan dan desakan rakyat, regim Soviet
Union pun memberikan kemerdekaan kepada negara-negara
di bawahnya iaitu : Estonia, Latvia, Lithuania, Armenia,
Azerbaijan, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Rusia,
Tajikistan, Turkmenistan, Ukraine, Uzbekistan, Georgia.
Kita saksikan betapa bangganya rakyat Timor - Leste apabila
diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 2002
walaupun negara itu sebuah negara susah tetapi kemerdekaan
itu lebih bererti kerana mereka bebas untuk memilih hala
tujunya sendiri.
Sengaja kita paparkan kisah-kisah ini agar ianya menjadi
ukuran kepada kita betapa besar erti kemerdekaan ini
bagi sebuah bangsa apatah lagi apabila mereka telah bertahuntahun
mengalami penderitaan akibat penaklukan dan
penjejahan.
Bagi Negara Brunei Darussalam, kemerdekaan yang
diisytiharkan pada 1 Januari 1984 adalah anugeraha terbesar
daripada Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul
Khairi Waddien kepada rakyat Brunei. Kemerdekaan yang kita
capai ini adalah atas kebijaksanaan Al-Marhum. Kita harus
sampaikan perkara ini kepada generasi baru yang tidak
mengetahui akan hakikat ini.
Dengan kemerdekaan ini, negara dapat memilih hala tujunya
sendiri tampa campur tangan kuasa-kuasa asing. Pilihan
kerajaan kita adalah untuk menjadikan negara ini menjadi
negara yang mengutamakan kebajikan rakyat sebagai agenda
utama. Dalam satu akbar luar negeri pernah ditulis :
'Oil producing countries should follow Brunei'. Akbar berkenaan
menyentuh bagaimana negara Brunei mengagihkan
pendapatan dari hasil minyak untuk kebajikan rakyat sedangkan
beberapa negara pengeluar minyak yang lain mengambil hasil
minyak untuk kepentingan sendiri dan keluarga mereka.
Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan
memberikan perlindungan, naungan, pendidikan, penjagaan
kesihatan, keadilan, pertahanan, kemudahan awam,
keselamatan dan sebagainya. Sampai bila-bila pun jasa kerajaan
kepada kita tidak akan dapat dibalas. Tetapi yang kerajaan mahu
daripada rakyatnya hanyalah ketaatan, tidak lebih dari itu.
Oleh itu, bersempena dengan Hari Kebangsaan yang akan
menjelang marilah kita sambut dengan semangat patriotik yang
tinggi. Kita zahirkan kebanggaan menjadi rakyat Negara Brunei
Darussalam dengan menaikkan bendera negara pada rumah
masing-masing, bangunan-bangunan kerajaan dan komersial
bermula pada hari majlis menaikkan bendera besar pada
12 Febuari 2012 ini.
Lazimnya sebelum menjelang saja Hari Kebangsaan, Jabatan
Penerangan dengan kerjasama agensi-agensi yang lain akan
mula mengadakan kempen mengibarkan bendera di semua
daerah. Tujuannya adalah untuk menyampaikan mesej akan
seruan kerajaan agar setiap rakyat untuk mengibarkan bendera
sempena Hari Kebangsaan. 'NEGARAKU BRUNEI
DARUSSALAM'.
(Pengarang)
Kembali ke muka utama
|