Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Cetusan Minda

CETUSAN MINDA 51

Ambil iktibar daripada kesalahan
dan pengalaman diri sendiri

Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


UJIAN dan dugaan Tuhan menuntut manusia agar belajar daripada kesalahan yang dilakukan. Bahkan memerlukan penilaian semula sebarang pengalaman. Tetapi berapa banyak orang yang mahu belajar dari kesalahan diri sendiri. Malah berapa banyak orang mengambil iktibar daripada pengalaman lalu! Nah, inilah masalah utama bagi kebanyakan manusia.

Biasalah, bila melakukan kesalahan maka segera salahkan orang lain. Biasalah, bila suatu kejadian buruk menimpa sering dianggap tidak baik baginya. Dicari-carilah apa sebab berlaku, punca masalah agar dapat diketahui. Namun selalunya yang diselongkar ialah kesalahan orang lain. Keadaan buruk itu menimpa diri sendiri kerana salah orang lain, konon-kononnya!

Atau lebih malang lagi, setengahnya berkata : "Ah, sudah kehendak Tuhan". Tuhan semacam disalahkan! Bawa mengucap banyak-banyak. Astaghafirullah hal'azim.

Lalu kita pun teringat pepatah Melayu : 'Sudah terhantuk baru tengadah'. Peristiwa terhantuk (tiang, dinding, pokok, atau mana-mana halangan) dapat kita anggap sebagai ujian agar kita berwaspada pada masa akan datang. Terhantuk itu memberi petunjuk jelas agar kita bersikap berhati-hati di masa-masa akan datang. Berwaspada!

Sepatutnya kita sepatutnya bersyukur, mengucapkan alhamdulillah. Ianya mendidik kita agar sentiasa bersikap waspada. Tetapi berapa banyak orang yang mengucap syukur dalam keadaan sedemikian?

Biasanya yang kita dengar ialah : "Aduh, jahanam betul tiang ini!" Lazimnya yang keluar dari mulut kita ialah kata-kata yang kurang enak didengar. Yang disumpah dan diseranah sering juga benda yang kaku. Kita tidak salahkan diri sendiri. Kita segan mengakui kecuaian diri sendiri. Kenapa? 'Tepuk dada, jangan tanya selera' tapi tanyalah kepada hati nurani.

Benar, marah, takut, gembira, dukacita, cemburu, cinta, bimbang dan sedih merupakan emosi biasa manusia. Seseorang yang matang emosinya akan belajar meluahkan emosi ini dengan sewajarnya.

Emosi ialah perasaan yang berkaitan dengan semua perkara dan aktiviti kehidupan kita. Contohnya, kebanyakan manusia merasa sedih dan berdukacita apabila seseorang yang dikasihi meninggal dunia. Perasaan sebegini adalah biasa dan apabila dihadapi dengan sepenuh hati serta tabah menjadikan seseorang dapat menerima kehilangan tersebut.

Jika tidak tahu cara menghadapi perasaan ini dengan sebaik-baiknya, kesedihan akan menguasai diri sendiri. Perasaan itu tidak dapat menyembuhkan rasa kehilangan tersebut, bahkan mungkin menyebabkan kesedihan menjadi semakin parah dan membimbangkan.

Contoh lain, kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan teruk secara fizikal biasanya membawa parut. Siapa tau parut itu mempengaruhi keupayaannya meluahkan perasaan kepada orang lain serta menerima perasaan yang sama menjelang dewasa.

Biasanya, perasaan bersalah, waima tidak berasas, merupakan sebahagian daripada masalah emosi yang kompleks yang boleh berlanjutan ke alam dewasa. Kita semua sesungguhnya menghadapi emosi, sama ada dengan cara yang membina atau membinasakan.

Memendam perasaan akan mendatangkan beberapa masalah mental malah boleh menjejaskan bentuk fizikal kepada sesetengah orang. Bagi yang lain pula, luahan emosi pada waktu atau keadaan yang tidak sesuai akan mengakibatkan maklum balas yang negatif.

Sebagai manusia, kita semua menghadapi masalah. Jadi memahami diri sendiri dan perkara yang merisaukan merupakan langkah penting dalam menyelesaikan masalah hidup kita. Cara bertindak kita tidak dapat tidak ditentukan oleh cara bekerja dan berhubung dengan orang lain.

Tanggapan palsu tentang sesuatu, tidak terkecuali seorang individu, boleh menghasilkan jangkaan yang tidak realistik. Walhal mengasingkan perkara yang realistik dengan tidak realistik merupakan bahagian penting bagi pertumbuhan pemikiran mental.

Contohnya, sesetengah orang lebih sensitif daripada orang lain. Dia akan berasa sedih jika dikritik atau melihat tanda yang menunjukkan mereka tidak dihargai oleh orang lain. Ini adalah contoh tanggapan palsu yang boleh membawa kepada tekanan emosi. Walhal hakikatnya, jika seseorang membuat sumbangan dalam apa bentuk sekali pun, tidak semestinya setiap orang akan memberi penghargaan yang sama.

Sesungguhnya setiap orang mempunyai lebih banyak kekuatan daripada yang sering diri sendiri sangkakan. Orang lain mungkin nampak kekuatan pada diri kita yang kita rasa kecil atau yang tidak kita sedari. Biasalah, terdapat juga kecenderungan untuk berasa janggal antara apa yang kita rasakan sebagai kekuatan dengan apa yang kita nampak orang lain rasai.

Seseorang yang memandang rendah terhadap kekuatan dirinya sendiri adalah apabila orang tersebut tidak dapat menerima pujian atau penghargaan tanpa menyangkal pujian atau penghargaan itu dengan cara yang lain. Lalu orang yang sama ini juga berkemungkinan tidak akan menerima tanggungjawab atau tugas yang mencabar kerana dia berasa bimbang yang dia tidak akan mampu melakukan kerja itu dengan memuaskan.

Lalu bagaimana? Nah, perkara yang perlu ada ialah kesanggupan untuk menyelami perasaan sendiri dan cara kita berhubungan dengan orang lain. Belajar mengenali diri sendiri boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Setiap penemuan itu pula tentunya boleh membuka kemungkinan baru untuk bertambah dewasa dan matang baik dalam cara berfikir, bertindak mahupun dalam mengawal emosi.

Apabila semakin belajar tentang dirinya sendiri, mungkin tambah mendidik untuk menerima batasan yang ada secara realistik, atau mulai melihat beberapa potensi yang tidak diketahui sebelum ini. Nah, apabila potensi itu ditemui, lalu belajar memaksimumkan potensi itu akan menjadikan hidup ini menarik dan mencabar. Kemudian setentunya tumbuh keyakinan.

Sesungguhnya nilai keyakinan seseorang itu boleh diukur dengan adanya ujian-ujian Tuhan dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam meniti kehidupan. Keyakinan adalah inti pati ilmu Tauhid. Tempat keyakinan itu adalah di hati. Keyakinan itu adalah amalan hati.

Benar, ramai orang boleh bersabar, boleh tenang dan tabah menghadapi ujian-ujian perit dan sulit secara berkumpulan. Tetapi sangat sekubit yang boleh bertahan ketika diuji secara individu terutama apabila ujian itu melibatkan keluarganya atau hartanya.

Malang sungguh, ada sebilangan kita hanya ingat Tuhan ketika ditimpa kesusahan. Ketika senang dan terlepas daripada musibah, kembali lupa kepada Tuhan!

Walhal pengalaman hidup boleh mempengaruhi peribadi diri individu. Terdapat pengalaman yang menjadikan individu itu lebih matang dalam berfikir dan bertindak. Namun ada juga pengalaman membuat individu bersikap lemah dan pengecut.

Kedewasaan dalam berfikir banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidup. Lihat dalam masyarakat hari ini, kebanyakan orang yang berdiri teguh adalah orang yang dulunya lemah. Dia bangkit hasil dari kesedaran bahawa dia tidak harus kalah dengan keadaan. Lihat berapa banyak anak-anak yang berbapakan pengalu, petani, nelayan dan buruh kasar di waktu kecil orang yang terpelajar dan memperoleh hasil pendapatan yang agak selesa apabila sudah berada di usia senja.

Individu itu sendiri yang mesti berusaha bukan hanya berserah kepada takdir. Pepatah Melayu ada mengatakan, 'Beras secupak tak akan jadi segantang' adalah dimaksudkan untuk setiap individu itu terus berikhtiar bukan sekadar 'punduk-punduk melangoi' televisyen atau asyik lepak-lepak walhal waktu peperiksaan sudah dekat. Peluang untuk belajar ada, tetapi enggan diambil. Ambil yang positif bukan yang negatif!

Islam mengajar manusia untuk terus berusaha, berikhtiar disusul dengan doa. Mengenai hasil yang bakal diperolehi, kita serahkan saja pada Allah.

Benar, kita selalu meletakkan harapan dan jangkaan yang tinggi menggunung dan menjadi kecewa ketika gagal mencapai kejayaan. Bina kekuatan yang anda ada, dan hargai yang menjadi sebahagian daripada anda.

Ingatlah bahawa semua orang yang berjaya pernah mengalami kegagalan tetapi mereka tidak membiarkan kegagalan itu melemahkan diri mereka. Keyakinan diri bukan datang secara alamiah. Sikap ini tidak timbul hanya kerana kita mahukannya. Sikap ini lahir kerana gigih, lutanan dan sentiasa bersemangat untuk mencapai kejayaan. Keyakinan diri perlu dibina dan dipupuk terus menerus. Ya, dibajai terus.

Semua orang pernah mengalami kegagalan. Pada suatu tahap, jika tidak dikawal, ini merosakkan keyakinan diri kita. Jika kita terlalu memikirkan kegagalan kita dan melupakan kejayaan yang lalu, ini mungkin membawa kepada kebimbingan dan ketakutan terhadap masa depan. Ini setentunya turut menjejaskan semula keyakinan diri.

Kedapatan sebilangan daripada kita asyik membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Faham-fahamlah dan sedarilah dari awal-awal lagi bahawa seseorang yang lebih berkebolehan daripada kita dalam sesuatu bidang, waima bidang itu sudah ditekuni, memang sentiasa ada. Ya, memang sentiasa ada dalam setiap waktu. Kecenderungan membuat perbandingan yang kerap, boleh membawa kepada kurangnya keyakinan diri tanpa disedari. Kerana itu kita harus bersyukur setiap apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan Kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."

Demikian peringatan Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7. Jadi jika anda berjaya, kemudian bersyukur, maka salah satu wujud syukur kita adalah mengembangkan keberhasilan kita kepada orang lain.

Kongsikan bersama kejayaan itu dengan orang lain. Toleh di sebelah kanan kita. Lihat di sebelah kiri kita. Pandang di depan kita. Selirik di belakang kita. Tinjau-tinjau di sekeliling kita. Mereka itu itu adalah orang-orang yang juga ingin berjaya seperi kita. Ingin bahagia seperti kita.

Orang yang boleh menerima apa adanya adalah orang yang mempunyai kekuatan motivasi. Baik motivasi yang bersifat luaran mahupun motivasi yang bersifat dalaman. Tentu saya yang afdal adalah motivasi dalaman.

Dia miliki kemampuan memotivasi dirinya untuk menerima segala sesuatu yang terjadi itu apa adanya. Tidak terlalu gembira, tidak terlalu sedih dan tidak terlalu berharap. Dia selalu boleh menangani secara positif. Kemampuan itu bermakna seberapa dapat melakukan sesuatu. Namun kemampuan berbeza maknanya dengan kecekapan.

Manusia dikatakan cekap bilamana dia menjalankan kerja atau tanggungjawabnya menurut apa-apa sistem atau peraturan atau kaedah kerja yang ditentukan secara autoritatif oleh birokasi.

Soalnya ialah, sama ada kecekapan ini boleh membawa kepada keberkesanan, yakni penghasilan yang bernilai. Para eksekutif pengurusan, lebih-lebih lagi di Barat, lebih gemar memakai istilah baru, iaitu kecemerlangan atau excellence, atau keberkesanan, bagi menggantikan perkataan kecekapan, iaitu sebagai sukatan bagi mencirikan organisasi yang berjaya.

Menurut mereka lagi, kecemerlangan tercapai sekadar melalui mutu manusia, tidak melalui birokasi. Manusia inilah yang dapat mengatasi segala kelemahan dan ketegalan birokasi bagi mengeluarkan hasil yang luar biasa, yang cemerlang di luar organisasinya, tanpa terikat dengan simpang-siur peraturan dalaman yang 'makin lama makin beku' malah sering kali memakan masa yang panjang untuk berubah.

Namun menurut pengertian birokratiknya, kecekapan lebih mirip diukur berasaskan kepatuhan manusia terhadap kaedah dan peraturan yang setara, tetapi kurang memerhatikan dinamik yang sentiasa terdapat dalam proses kerja menghasilkan satu-satu produk, proses yang sentiasa ditentukan oleh variabiliti yang berlaku di luar organisasi. Istilah cekap yang lebih ketara dan banyak dikaitkan dengan kerja pentadbiran harian dan mekanikal sesungguhnya tidak sesuai digunakan bagi menyukat kebolehan pekerja ilmu dan pengamat ilmu.

Perlulah diingat bahawa perubahan tidak semestinya boleh membawa kepada apa-apa pembaharuan dan pembaikan sekiranya tujuan perubahan itu tidak jelas. Kadang-kadang yang dikatakan perubahan itu cuma perhiasan sahaja. Kulitnya yang berubah. Isinya tidak. Dan isi dalam mana-mana pertubuhan atau institusi itu ialah manusia, bukan organisasinya.

Sejarah manusia berulang-ulang kali menunjukkan akibat buruk yang menimpa kepada individu-individu kerana melakukan kesalahan yang sama. Mungkinkah ini salah satu cara bagaimana Tuhan mengingatkan manusia tentang kesalahan itu. Tetapi manusia tidak insaf, maka kesalahan yang sama terus dilakukan, lalu mereka menerima akibat yang sama dan kadang-kadang akibatnya mungkin lebih parah dan lebih buruk lagi. Nah! Hubaya-hubaya, ambil iktibar dari kesalahan dan pengalaman diri sendiri.


Kembali ke muka utama