Ayah memandu kereta. Semasa dalam
perjalanan pulang aku memerhatikan trofiku
yang betul-betul berada di dalam genggamanku.
Aku masih tidak percaya bahawa benda itu aku
sedang pegang. Cahaya kilauan trofi berwarna
emas itu memancar terus ke mataku. Cahaya itu
cahaya matahari yang pernahku lihat. Ia mengingatkan
aku kisah di suatu pagi.
Cahaya matahari membuatkan anak mataku
mengecil. Aku terus berjalan tanpa memandang
ke kiri dan ke kanan. Setiap pagi, aku cepat-cepat
berjalan melintasi kelas nombor 1, 2 dan 3 yang
sudah pun dipenuhi oleh para pelajar. Aku takut
diumpat dan dikata-kata tidak baik di belakangku
oleh semua pelajar di situ. Sebab itu aku
cepat-cepat berjalan. Aku pun tidak tahu kenapa
sesetengah pelajar tidak suka akan aku. Ada
kalanya mereka melontar kata-kata sinis dan
lucah padaku.
Setelah semua kelas itu habisku lintasi, sungguh
lega rasanya. Setiap itu juga aku berdoa
kepada Tuhan supaya hari-hari di tahun akhir
aku belajar di Sekolah Menengah Jaya ini agar
cepat-cepat habis. Aku terus masuk ke kelas
nombor 4. Kelas tempat aku belajar. Rupanya
aku adalah pelajar terakhir yang masuk kelas.
Tetapi Cikgu Faridah belum datang mengambil
rekod kehadiran. Kelas agak riuh-rendah. Aku
terus berjalan menuju ke arah tempat dudukku.
Belum pun aku sempat duduk, Zahari, ketua
kelas, tiba-tiba datang meminta bantuan.
"Hey! Man boleh aku pinjam buku teks Ilmu
Alam?" Pinta Zahari. Tanpa berfikir panjang,
aku pun mengeluarkan buku Ilmu Alamku dan
menghulur kepada Zahari.
"Aku ambil buku ni. Kau kongsi dengan Aji?"
Kata Zahari. Kata-katanya itu mengejutkan
aku.
"Di mana buku awak?" tanyaku.
"Awak apa peduli," jawapnya.
"Sekarang buku ini aku punya. Kau tidak ada
buku. Itu kau punya hal." Sambungnya dengan
bongkak.
Tidakku sangka. Pagi-pagi itu pun ada yang
sanggup menyakiti aku. Aku tahu. Ini kerana
badanku yang pendek dan suka memakai kaca
mata besar. Akulah yang paling kecil dan kurus
di antara semua lelaki sekelasku. Dengan keadaanku
sedemikian aku mudah dibuli oleh
orang seperti Zahari yang berbadan besar, tinggi
dan menjawat jawatan ketua kelas itu. Tidakkah
dia mengetahui tindakannya itu memalukan
dirinya sendiri. Setelah aku dibuat begitu, raut
wajahku yang menyedihkan diperhatikan oleh
Aji, satu-satunya kawanku yang aku percayai.
"Azman, marilah duduk dekat saya." Kata Aji
yang mengajak aku duduk di sebelah kanannya.
Tanpa membuang masa, aku mengangkat meja
dan kerusiku dan meletakkannya di sebelah
kanan meja. Aku dan Aji sama-sama berkongsi
buku ilmu alam. Apa yang aku harapkan pada
masa itu ialah semoga Aji selalu bersama di
sampingku. Aku terfikir, jikalau dia tidak hadir
hari itu, sudah tentu aku tidak ada petunjuk
tentang apa yang aku pelajari hari itu. Aku sangat
terhutang budi kepadanya. Setiap kali aku menghadapi
masalah di dalam kelas, dia akan membantu
aku. Kadang kala aku berasa malu. Malu
kerana aku selalu menghadapi pelbagai masalah.
Aku seorang budak lelaki yang penakut dan
lemah. Sebab itulah aku selalu dibuli, senang
dipermain-mainkan oleh orang lain. Aku bukan
seorang yang bodoh. Aku lebih mengutamakan
orang lain, menghormati orang lain dari aku.
Sambil membaca topic Erosion dari buku ilmu
alam, aku dan Aji berbincang dan berkongsi
pendapat mengenai topik yang kami baca.
Tiba-tiba pintu hadapan kelas dibuka. Cikgu
Faridah masuk ke dalam kelas. Seperti biasa
semua 28 orang pelajar dalam kelas nombor
4 bangkit dan memberi salam kepada Cikgu
Faridah. Setelah siap mengambil rekod kehadiran
pelajar, Cikgu Faridah terus berjalan ke
belakang kelas. Dia menampalkan satu helai
kertas A4 berwarna putih di atas papan notis.
"Ok boys and girls, these is your mock exam
result. So.. you can look at it now." Kata Cikgu
Faridah sambil menunding jari ke arah kertas
yang telah ditampalnya itu.
Sekali lagi, setiap keputusan ujian bulanan,
peperiksaan dan ujian kelayakkan aku akan
merasa cemas dan berdebar-debar. Bagi aku
setiap keputusan ujian akan menentukan
kebolehan seseorang pelajar ketika menjawab
soalan-soalan peperiksaan. Seperti biasa, Zahari
dan Masnah adalah pelajar yang terawal melihat
keputusan itu. Manakala aku dan Aji adalah
antara pelajar-pelajar yang terakhir melihat
keputusan tersebut. Setelah pelajar-pelajar lain
melihat keputusan mereka, ternyata ada dalam
kalangan mereka menjeling hina padaku. Ada
juga yang tertawa-tawa apabila mereka melihat
aku. Sesekali aku terdengar bisikan pedas di
telingaku.
"Dia memang ulat buku." Aku terdengar
bisikan Zahari.
"Dia lagi. Benci aku." Kata seorang penuntut
perempuan.
"Mungkin dia menirulah." Aku terdengar
bisikan Salleh.
"Hairan bagaimana dia dapat? Mungkin cikgu
pilih kasih ke." Bisik Masnah kepada Saleha.
Bila aku dan Aji berjalan menghampiri papan
notis, semua pelajar yang berada di hadapan
papan tersebut mengelak dan beredar dari situ.
Sempatku melihat air muka mereka. Ada yang
muram, tunduk-tunduk dan sengaja mengelak
bertentang mata dengan aku.
"Tahniah Azman! Awak nombor satu lagi."
Kata Aji dengan tiba-tiba. Aku hanya senyum
dan diam.
"Awak pun apa kurangnya. Dapat nombor
dua. Baguslah tu …" Balasku. Dia hanya diam.
Memang aku seorang budak lelaki yang
penakut dan lemah. Senang dibuli orang. Tetapi
otak dan fikiranku lebih kuat. Bukan aku takbur.
Itulah kebenarannya.Walaupun tubuhku pendek
dan kurus, tidak semestinya aku tidak memiliki
sesuatu keistimewaan. Memang Tuhan telah
menjadikan manusia itu sempurna kejadiannya.
Akan tetapi semua manusia memiliki sifat dan
kebolehan yang berbeza-beza. Tidak semua
orang memiliki kecantikan, kekayaan, kepintaran
dan sebagainya.
Aku tahu. Segala jelingan, bisikan, ucapan,
wajah kemuraman dan sebagainya dari sesetengah
pelajar ada kaitannya dengan setiap
kejayaan yang ku raih. Pernah aku dengar dari
Azli. Katanya, Zahari selalu mengutuk aku kalau
aku dapat kecemerlangan dalam setiap ujian dan
peperiksaan. Aku bertambah kecewa bila Zahari
menghasut kawan-kawan di dalam kelas nombor
4 sahaja yang Zahari hasut, malah kelas nombor
1, 2 dan 3. Bukan hanya pelajar lelaki yang
berbuat demikian, malah pelajar perempuan
juga. Aku pernah mendengar khabar dari Azli.
Semua pelajar perempuan kelas nombor 1, 2, 3
dan 4 menabur fitnah ke atasku. Mereka menyatakan
bahawa aku sedang hangat bercinta
dengan Cikgu Laila. Cikgu yang dikatakan
mempunyai kecantikan yang luar biasa. Memang
cikgu kacukan Inggeris-Melayu suka akan
aku, aku adalah antara pelajar yang berkemampuan
menyelesaikan segala masalah kira-kira
dalam mata pelajaran Matematik D.