Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Hotline || Arkib ||

EDISI ISNIN,
RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

JERUDONG, Jumaat, 3 Februari. - Tuan rumah, Negara Brunei Darussalam diletakkan dalam Kumpulan 'A', semasa pengundian Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah (HBT) Ke-4, 2012 yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club.

Turut sama diundi dalam kelompok tersebut terdiri Republik Singapura, Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Indonesia dan Republik Demokratik Rakyat Laos.

Mengisi Kumpulan 'B' terdiri Thailand, juara kejohanan ini pada tahun 2005 dan 2007, Timor Leste, Republik Viet Nam, Kemboja, dan Malaysia. Kejohanan kali keempat ini buat kali pertama disertai oleh Timor Leste dan sebahagian pasukan-pasukan akan tiba di negara ini pada 20 hari bulan.

Sepak mula kejohanan peringkat belia ASEAN ini akan bermula pada 25 Februari depan.

Berangkat menyaksikan cabutan undian ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, (NFABD).

Terdahulu keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman; Presiden NFABD, Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan NFABD, berangkat sama ialah anakanda DYTM, Yang Amat Mulia Pengiran Muda 'Abdul 'Aleem.

Dalam sembah alu-aluan, Presiden NFABD, Dato Paduka Haji Abdul Rahman antara lain menjelaskan Majlis Pengundian HBT 2012 merupakan memenuhi keperluan kejohanan terutamanya bagi peraturan kejohanan nombor 11 dan 12 yang memerlukan pasukan-pasukan menentukan tempat masing-masing dalam kumpulan.

Kejohanan tersebut tambahnya, dianjurkan oleh KKBS dengan kerjasama NFABD dan dibenarkan oleh Persekutuan Bolasepak Asian (AFC) serta disokong oleh Persekutuan Bolasepak ASEAN, AFF.

Semantara itu, Ketua Jurulatih HBT Brunei Darusaalam, Awang Kwon Oh Son menyatakan, beliau berpuas hati dengan kedudukan pasukan asuhannya yang menganggotai Kumpulan 'A' namun, menyedari kehadiran Republik Indonesia dan Kesatuan Myanmar yang pernah juara dan naib juara di HBT musim lalu.

Menurutnya, cabaran yang bakal dihadapi pasukan didikannya ialah dapat melayakkan diri ke pusingan suku akhir sebelum beraksi ke separuh akhir, tetapi hal itu bukanlah mudah, beliau berharap para pemainnya akan mempamerkan permainan yang terbaik sambil menang dalam semua perlawanan.

Apa yang penting tambahnya, ialah sokongan padu dari para peminat bola sepak tempatan akan dapat membakar semangat para pemain ketika pasukan HBT Brunei Darussalam beraksi nanti.

(Oleh : Abdullah Asgar)

Kembali ke muka utama