|
443 pelajar terpilih pengambilan pertama Politeknik Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Februari. - Seramai 443 pelajar yang terpilih dalam Pengambilan Pertama Pelajar Politeknik telah menghadiri Majlis Pelancaran Sesi Pengajian Pelajar-pelajar Pengambilan Pertama Politeknik Brunei 2012/2013 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), pada petang ini.
Dalam Majlis Perasmian tersebut, bacaan Surah Al Faatihah dipimpin oleh Awang Haji Abd. Warith bin Haji Raini dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Mujadallah (Ayat 11-13) yang disampaikan oleh Awang Haji Khairulizam bin Haji Jefrey yang merupakan Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) Tahun Empat dalam Jurusan Pengajian Islam.
 YANG Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Apong, Menteri Pendidikan ketika berinteraksi bersama para Pelajar yang mengikuti Pengambilan Pertama Politeknik Brunei Sesi 2012/2013.
(Foto : Dk Nur Hafilah Pg. Osman)
Kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Negara Brunei Darussalam, Dr. Awang Haji Junaidi bin Haji Abd. Rahman, dan seterusnya diteruskan ucaptama dari Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Apong dan melancarkan Majlis Perasmian Sesi Pengajian Pelajar-pelajar Pengambilan Sesi Pertama Politeknik Brunei 2012/2103.
Antara tetamu yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Ketua Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Jawatankuasa Pandu Politeknik Brunei, Urusetia Politeknik Brunei, Jawatankuasa Penyelenggara Majlis, ibu bapa dan penjaga dan pelajar-pelajar yang terpilih dalam pengambilan Politeknik Pertama ini.
 PARA pelajar Pengambilan Pertama Kursus Politeknik Brunei Sesi 2012/2013 ketika melafazkan ikrar pelajar pada Majlis Pelancaran Sesi Pengajian di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
(Foto : Dk Nur Hafilah Pg. Osman)
Di majlis tersebut juga, di tayangkan gambar 'slide' yang diambil sepanjang sesi orientasi yang berlangsung selama empat hari dan diikuti dengan bacaan ikrar dari para pelajar pengambilan pertama Politeknik Brunei bagi Sesi 2012/2013, diketuai oleh Awang Mohammad Noh bin Haji Osman yang mengambil Diploma Lanjutan Dalam Bidang Hiasan Dalaman.
Di sebelah pagi, para pelajar telah di bawa melawat ke Bangunan Politeknik yang bertempat di Ong Sum Ping, Jalan Kumbang Pasang yang mana para pelajar di bawa membuat lawatan ke kampus Politeknik dengan kakitangan Politeknik yang telah ditentukan.
Di akhir majlis, doa selamat dibacakan oleh Awang Haji Abd. Warith bin Haji Raini dan seterusnya para pelajar dan ibu bapa berpeluang untuk beramah mesra dengan Menteri Pendidikan.
(Oleh : Khartini Hamir, Nurul Ain Hamdani)
Kembali ke muka utama
|