"Alhamdulillah, dengan kurnia perkenan baginda juga maka hasrat penubuhan Politeknik ini telah dapat direalisasikan," tambahnya lagi.
Tertubuhnya Politeknik tersebut diharap akan menjadi peneraju bidang pendidikan dan latihan teknik dan vokasional pada peringkat diploma lanjutan yang berperanan untuk mempersiapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh industri dari masa ke semasa.
Tambah Yang Berhormat, Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 telah menyediakan 'multiple-pathway' kepada pelajar-pelajar ke peringkat yang lebih tinggi dan Politeknik merupakan salah satu laluan untuk menuju matlamat itu.
Dengan sumbangan negara yang menyediakan pendidikan yang dapat menyumbang kepada keperluan industri, penyertaan pelajar dari tahun 2007 dalam bidang Teknikal Vokasional telah meningkat sebanyak 19 peratus dari seramai 2,016 kepada 2,483 orang pada tahun 2011.
Namun Yang Berhormat menegaskan, kuantiti sahaja belum mencukupi malah mustahaknya ialah kualiti dan relevancenya dengan kehendak industri dan pasaran yang merupakan cabaran utama kepada Politeknik untuk melahirkan graduan-graduan yang akan dapat memenuhi keperluan industri dan agensi-agensi lain, dalam makna lain Politeknik mesti prihatin terhadap proses, 'output' dan 'outcome'.
"Kita berharap agar program-program Politeknik Brunei dapat memberikan lebih penekanan dengan tujuan untuk melahirkan lebih ramai teknologis dan pengusaha (entrepreneurs) daripada menghasilkan tumpuan kepada pengeluaran tenaga pengurusan sahaja," jelasnya.
Yang Berhormat menyeru semua pelajar untuk sentiasa menanamkan semangat ingin maju dan memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan dengan sebaik-baiknya agar dapat merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Petuan Negara Brunei Darussalam dalam memenuhi keperluan pembangunan sumber tenaga manusia negara bagi menghadapi cabaran dan keperluan masa hadapan.
Selain itu Yang Berhormat juga tertarik dengan teknik pembelajaran dan pengajaran yang digunakan di Politeknik iaitu 'model hybrid', yang menggabungkan pendekatan tradisi dan menggunakan pendekatan pengajaran 'problem based' yang mengutamakan penggunaan e-pembelajaran dan teknologi terkini.
"Dengan penggunaan kaedah ini, saya percaya, pelajar-pelajar Politeknik Brunei akan menjadi golongan pemikir yang akan menyumbang kepada pembangunan industri di negara ini," terangnya.
Yang Berhormat berharap agar Board of Governance dan kumpulan Pengurusan Politeknik akan sentiasa memantau perjalanan operasinya secara keseluruhan, dikaji dari masa ke semasa serta merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif baru bagi memastikan Politeknik ini menjadi sebuah institusi bertaraf dunia, selain pentingnya untuk menjalin hubungan rapat dengan rakan industri dan dalam arena antarabangsa, Politeknik Brunei juga perlu mengerat-jalinkan kolobrasi dengan politeknik atau institusi teknikal ternama di peringkat antarabangsa bagi memastikan keunggulan kurikulumnya.
"Justeru itu, Politeknik Brunei hendaklah terlibat dalam usaha kolobrasi dengan industri dan masyarakat, termasuk melibatkan diri dalam pertandingan-pertandingan dalam dan luar negeri, menyertai pertukaran pelajar, pengantarabangsaan, program-program berkembar, penghasilan penyelidikan teknikal, terlibat dalam acara-acara sukan, menghadiri persidangan, terlibat dalam aktiviti organisasi pelajar, program-program entrepreneur dan program kecemerlangan pelajar," saran Yang Berhormat.
Selain itu Yang Berhormat juga menegaskan dalam keghairahan mencapai kecemerlangan semua pelajar mesti secara terus menerus diajar dan dibekalkan dengan nilai-nilai murni Melayu Islam Beraja dan Pengetahuan Ugama Islam.
Seramai 433 orang pelajar lepasan 'A' Level dan Diploma akan mengikuti kursus ini selama dua tahun termasuk tiga bulan 'industrial attachment'. Dari jumlah tersebut seramai 228 orang pelajar akan mengikuti program berkaitan Business and Finance, 155 orang mengikuti program ICT, sementara 60 pelajar diberikan peluang mengikuti Program Science and Engineering.
(Oleh : Khartini Hamir)
Kembali ke muka utama