|
Projek Penghijauan dan Kebersihan BSB diteruskan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Februari. - Penyertaan dan kerjasama pihak swasta sangat penting dalam menjana dan memelihara kebersihan Negara Brunei Darussalam.
Kerjasama semua pihak termasuk pemilik-pemilik bangunan, peniaga-peniaga dan penyewa-penyewa di kawasan komersial diharapkan dapat sama-sama memelihara keindahan serta kebersihan alam sekitar secara berterusan agar bandar kita sentiasa bersih, indah, selesa dan selamat untuk didiami oleh rakyat serantau mahupun para pelancong.
 TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof ketika merasmikan papan tanda di kawasan Menglait.
(Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)
Sebagai kesinambungan kepada Program Penghijauan dan Kebersihan Bandar Seri Begawan (BSB) yang dilancarkan tahun lalu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof pagi tadi menghadiri Majlis Pelancaran Projek Penghijauan dan Kebersihan BSB bagi kawasan Menglait Utara dan Pangkalan Gadong Utara.
Aktiviti yang diadakan adalah termasuk penanaman pokok dan pembinaan landskap yang melibatkan anak-anak pohon tempatan.
 YANG Dimuliakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menanam sepohon pokok di kawasan Kompleks Sukan Menglait.
(Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)
Program Penghijauan dan Kebersihan BSB dikendalikan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Jabatan Bandaran BSB, agensi-agensi swasta dan penuntut-penuntut sekolah.
(Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad)
Kembali ke muka utama
|