|
Penutup Dikir Maulud di KUPU SB
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Februari. - Majlis Dikir Maulud sempena memperingati hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diadakan beberapa malam di negara ini berakhir secara berasingan di kedua surau Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Hadir selaku tetamu kehormat di surau siswi KUPU SB ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim manakala di surau siswa pula, Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abdullah bin Awang Lampoh.
 RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi di surau siswi KUPU SB.
(Foto : Mohd. Sahrizal Hj. Said)
Acara di kedua surau dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah oleh tetamu kehormat diikuti dengan Dikir Asalamualaika, Badat Lana dan Bisshahrin sejurus selepas Sembahyang Fardu Maghrib kemudian Dikir Marhaban dibawakan selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak.
Tujuan utama Majlis Dikir Maulud ialah untuk memberi ruang kepada warga KUPU SB supaya bergiat aktif di samping menjalani ibadah yang diwajibkan serta memperolehi ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala jika kita ikhlas melakukannya.
 TIMBALAN Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Abdullah bin Awang Lampoh semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi di surau siswa KUPU SB.
(Foto : Mohd. Sahrizal Hj. Said)
Selain itu, majlis juga bertujuan untuk menyemarakkan bulan Rabiulawal dengan berzikir dan berselawat ke atas Baginda dan menghayati serta mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai uswqah hasanah sepanjang masa.
Turut hadir pada majlis itu ialah para mahasiswa dan mahasiwi dan pegawai serta kakitangan KUPU SB.
(Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani)
Kembali ke muka utama
|