Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Hotline || Arkib ||

EDISI ISNIN,
RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Hidup dalam dua bentuk kehidupan

KAMPUNG SALAMBIGAR, Jumaat, 3 Februari. - Kita hidup dalam dua bentuk kehidupan iaitu kehidupan benda dan kehidupan bukan benda.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkata kehidupan benda boleh dilihat, dirasa, dipegang dan diraba, sementara kehidupan bukan benda tidak boleh dilihat, dirasa, dipegang dan diraba.

Namun jelas Yang Berhormat, ada juga kadang-kadang unsur benda, tetapi tidak dapat dilihat, dipegang atau diraba seperti fikiran, rasa hati, azam, cita-cita dan sebagainya kerana kita tidak tahu dan tidak nampak bagaimanakah rupa fikiran, rasa hati dan lain-lain itu walaupun kita tahu, semuanya itu adalah wujud dan ada, malah kita hidup juga dengannya dan menggunakannya.

Dalam cermah Kuliah Subuh Bersama Mufti sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1433 Hijriah yang diadakan di Masjid Kampong Salambigar di sini Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, ini yang di dalam diri, benda yang di luar diri lagi lebih sulit, lebih susah dan malah lebih mustahil untuk kita dapat melihatnya dan mengetahuinya seperti dosa, pahala, rahmat, berkat dan seumpamanya, namun semua benda-benda ini juga adalah wujud atau benar adanya.

Akan tetapi, jelas Mufti Kerajaan bagi orang-orang yang beriman, perkara ini nampak dilihat bukan dengan mata kasar, tetapi dengan 'mata hati' melalui hakikat dan sinaran iman yang berperanan mengenalkan kita kepada pahala, dosa, rahmat dan berkat itu, dan kerana itulah juga jika orang-orang yang beriman diajak untuk menambah pahala, menagih rahmat dan berkat, mereka akan segera menyahutnya, sementara jika diajak melakukan dosa mereka akan lari berundur seribu langkah ke belakang.

Yang Berhormat dalam ceramahnya juga menjelaskan bagi sesebuah rumah, peralatan rumah seperti kerusi meja dan perabot adalah sesuatu yang diperlukan dan kelengkapan yang selalu difikirkan, tetapi keperluan yang lebih patut diutamakan dan mustahak ada ialah berkat, rahmat dan cahaya ketuhanan bagi sesebuah rumah kerana ia akan menghindari makhluk-makhluk lain mengambil tempat di dalam rumah tersebut sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu kubur, sesungguhnya rumah yang dibaca di dalamnya Surah Al-Baqarah, tidak akan dimasuki syaitan."

"Inilah keperluan yang mengatasi perabot dan kemudahan, malah mengatasi segalanya. Bukan rumah besar dan perabot mewah yang utama itu, tetapi berkat dan cahaya zikir. Malah menurut isyarat Nabi, jika tidak ada ini, tidak ada berkat dari ayat-ayat Allah, rumah tersebut akan menjadi sarang atau markas iblis syaitan," tegas Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata untuk menjadikan sesebuah rumah itu meriah dan tidak menjadi kubur (sunyi dan sepi), maka ia hendaklah dimeriahkan dengan bacaan Al-Qur'an dan ayat-ayat Allah agar ianya sentiasa berisi dengan berkat, berisi dengan rahmat Allah, dengan nur (cahaya) Al-Qur'an di mana malaikat gemar menghampirinya dan memasukinya, sementara para syaitan lari meninggalkannya.

"Agama Islam sangat-sangat mengambil berat perkara mendirikan 'rumah tangga' kerana ia adalah perkara suci, besar, dibuat atas perintah dan anjuran agama," terang Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, rumah tangga sifatnya adalah betul-betul rumah, tempat mendapatkan perlindungan dan berteduh dari pelbagai keburukan dan kejahatan, tempat dan cara untuk memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat.

Sementara perkahwinan atau pembentukan rumah tangga itu jelas Yang Berhormat tujuan besarnya ialah untuk mencapai 'iffah iaitu menyangga daripada segala yang haram, menjauhi dan menyelamatkan diri daripada perkara haram.

Tujuan perkahwinan atau pembentukan rumah tangga, tambah Yang berhormat salah satunya ialah untuk mencapai 'iffah iaitu supaya orang terselamat atau terlepas daripada terjatuh ke dalam lembah perzinaan.

"Jika di dalam membangun sesebuah rumah, kita amat berkira dan berhati-hati umpamanya dalam memilih hari, memilih sukut baik, kemudian begitu juga semasa hendak mendirikan tiang semata-mata untuk mengambil berkat tetapi bagaimana pula dengan membangun rumah tangga?" Yang Berhormat meluahkan pertanyaan.

Membangun rumah tangga terang Yang Berhormat adalah bererti kita membangun dan membina kehidupan, dan sepatutnya, kita adalah lebih lagi berkira dan berhati-hati, lebih fokus kepada berkat itu, dan menghindari perkara-perkara yang sia-sia yang boleh menghakis berkat dan yang boleh mendinding rahmat.

(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)

Kembali ke muka utama