Manage PermissionsManage Permissions

Kampung Bolkiah jadi ristaan

13/12/2014

Oleh: Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor dan Nurul Syakirah Zaini / Foto : Md. Arif Morni


rencana01 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

rencana03 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

KAMPUNG Bolkiah 'A' merupakan salah sebuah kampung di Daerah Brunei dan Muara. Pada mulanya, pada penghujung tahun 1995, kampung ini ditadbir oleh seorang ketua iaitu Awang Haji Ibrahim bin Pehin Dato Amar Setia Diraja Haji Kassim. Setelah beliau bersara, jawatan tersebut dijawat oleh Awang Shahminan bin Haji Matzin pada 16 Februari 2009.

Kampung ini merupakan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang telah ditubuhkan pada 5 Oktober 1992. Kampung Bolkiah 'A' ini terletak berdekatan Kampung Buang Sakar, Mukim Lumapas. Pada awal tahun 1980-an, kawasan ini belum ada penduduk, walau bagaimanapun pada tahun 1985 ada beberapa buah rumah telah mula didirikan hingga pada tahun 1994 terdapat sebanyak 48 buah rumah kesemuanya. Pada ketika itu, kampung ini yang dinamakan sebagai Kampung Buang Sakar (Air) di bawah pentadbiran Ketua Kampung Kasat, Mukim Lumapas.

rencana02 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

BENGKEL Tenunan yang terdapat di Kampung Bolkiah 'A'. (Foto : Md. Arif Morni)

Pada tahun 1993, bermulalah pembinaan Skim Perumahan YSHHB dan siap dibina pada tahun 1994. Perumahan ini diberikan keutamaan pada mangsa-mangsa kebakaran yang terdiri daripada Kampung Setia Pahlawan, Kampung Peramu, Kampung Saba, Kampung Petagian, Kampung Kota Batu dan Kampung Sungai Matan.

Kampung ini mula didiami pada 15 Julai 1994 dan diresmikan pada 22 Ogos 1994 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bertempat di Sekolah Menengah Sayyidina Omar Al-Khattab. Selain daripada itu, penduduk kampung asal di kampung tersebut sebanyak 48 buah rumah telah dipindahkan ke Skim Perumahan ini dan rumah-rumah mereka telah diganti rugi oleh pihak YSHHB dengan bayaran yang berpatutan.

rencana04 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

KETUA Kampung Bolkiah 'A', Awang Shahminan bin Haji Matzin ketika ditemui pada
Program Sua Muka anjuran Jabatan Penerangan. (Foto : Md. Arif Morni)

Kampung ini terletak antara kawasan Sungai Brunei menuju ke Daerah Temburong dengan perjalanan lebih kurang 7 kilometer dari Bandar Seri Begawan menggunakan perahu tambang dan 45km dari Bandar Seri Begawan menggunakan jalan darat. Kampung ini mempunyai keluasan 3.75sq km. Kampung Bolkiah 'A' ini mempunyai 226 buah rumah, keramaiannya lebih kurang 1500 penduduk.

Selain daripada itu, beberapa buah rumah telah digunakan sebagai cawangan pejabat Yayasan untuk kegunaan Bengkel Tenunan, cawangan pos polis dan surau (pada masa ini digunakan sebagai tempat Kelas Dewasa Wanita). Di samping itu juga, terdapat beberapa kemudahan awam disediakan seperti jalan raya, klinik, bekalan eletrik, air serta talian telefon. Kampung ini juga dilengkapi dengan alat saluran najis yang menuju kedaratan. Malahan sampah-sarap juga dikutip setiap hari dengan menggunakan perahu yang disediakan oleh JASTRe bagi mengekalkan kebersihan di kampung tersebut.

rencana05 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

RUMAH Bengkel Tenunan yang terletak di Kampung Bolkiah 'A'. (Foto : Md. Arif Morni)

Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja dengan pihak kerajaan dan hanya sebilangan kecil sahaja bekerja di pihak swasta dan bekerja sendiri seperti berniaga, menjual ikan, menambang dan sebagainya. Penduduk kampung ini juga menerima bantuan kerajaan. Bantuan-bantuan berkenaan seperti:

- Penerima pencen tua : 72 orang

- Bantuan Kebajikan : 48 orang

- Elaun Orang Kurang Upaya
(cacat) : 5 orang

- Anak Yatim : 10 orang

Antara aktiviti yang diungkayahkan di kampung ini ialah Kelas Muqaddam bagi wanita dewasa, majlis tahlil dan doa arwah. Malah penduduk kampung ini juga giat mengadakan beberapa pertandingan-pertandingan antaranya, perlawanan futsal, bola sepak, bina badan dan sebagainya. Selain daripada itu, penduduk kampung ini, terutamanya dalam kalangan wanita-wanitanya giat membuat keropok udang dan kuih sapit dengan bantuan peralatan yang disedikan oleh YSHHB. Kelas penenunan juga diadakan selama 3 tahun. Kelas ini adalah inisiatif YSHHB untuk membantu ekonomi penduduk di kampung tersebut. Antara pencapaian yang telah dikecapi ialah pada tahun 2009, Kampung Bolkiah 'A' telah dinobatkan sebagai kampung yang paling bersih.

rencana07 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

ANTARA kemudahan yang terdapat di kampung ini ialah
Pos Polis Kampung 
Bolkiah 'A'. (Foto : Md. Arif Morni)

rencana06 131214 kampung bolkiah jadi ristaan

 

SEBUAH jambatan yang konkrit dibina bagi penghubung penduduk Kampung Bolkiah 'A' dan 'B'. (Foto : Md. Arif Morni)

Ketua Kampung mencadangkan pembinaan sekolah rendah diadakan agar penduduk kampung kekal berada di kampung tersebut. Menurut Ketua Kampung lagi, ketiadaan sekolah rendah ini adalah menjadi masalah utama bagi penduduk di kampung ini, hingga memaksa mereka untuk berpindah dari kampung tersebut dan akhirnya mengganggu kelancaran di dalam membuat apa jua aktiviti.

Attachments