Manage PermissionsManage Permissions

Mukim Bangar terima arus pembangunan

16/10/2015

‚ÄčOleh : Hezlinawati Haji Abd Karim / Foto : Jabatan Penerangan dan Ihsan Jabatan Daerah Temburong

menyusur

TERLETAK pada kedudukan yang strategik di Daerah Temburong, Mukim Bangar, salah sebuah daripada lima buah mukim di Daerah Permata Hijau bumi Darussalamknk ini tidak ketinggalan menerima arus pembangunan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Ini dapat dilihat dengan terbinanya beberapa buah bangunan kerajaan bagi melicinkan lagi hal ehwal pengurusan dan pentadbiran di daerah yang kaya dengan hutan hujan tropika ini, di mana di Mukim Bangarlah terletaknya Pekan Bangar yang merupakan Pusat Pentadbiran Daerah dan berfungsi sebagai persinggahan dan pusat perhubungan.


Antara kemajuan yang dapat dinikmati oleh penduduk di mukim ini amnya dan penduduk di Daerah Temburong khasnya ialah dengan terbinanya bangunan Kompleks Pemeriksaan Imigresen Ujung Jalan, Mukim Bangar; bangunan baru bagi Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong, terletak di Pekan Bangar dan tidak ketinggalan terbinanya Jambatan Persahabatan menghubungkan Kampung Ujung Jalan, Mukim Bangar, Daerah Temburong dengan Daerah Limbang, Sarawak.

RENCANA 171015 SABTU MUKIM BANGAR TERIMA ARUS PEMBANGUNAN 01

RENCANA 171015 SABTU MUKIM BANGAR TERIMA ARUS PEMBANGUNAN 02ANTARA prasarana yang menandakan arus perkembangan pembangunan
di Mukim Bangar amnya dan di Daerah Temburong (atas dan kanan).

Selain itu, kompleks bangunanbangunan kerajaan juga terletak di Pekan Bangar, di samping bagi memudahkan lagi urusan dan pentadbiran para penduduk di daerah ini. Ini menjadikan Mukim Bangar sebagai sebuah mukim yang agak sibuk dengan pelbagai aktiviti berbanding mukim-mukim lain di Daerah Temburong. Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar juga dibina di Mukim Bangar yang sering kali digunakan bagi mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi di daerah ini, di samping beberapa buah balai raya di kampung-kampung di bawah tadahan Mukim Bangar.


Dengan keluasan 113 kilometer persegi atau 43 perpuluhan 6 batu persegi, di Mukim Bangar jugalah terletaknya kedai-kedai yang setentunya membantu menggerakkan ekonomi di daerah ini antaranya Kompleks Utama Bumiputera Pekan Bangar, Tamu Muhibbah aneka selera dan deretan kedai-kedai yang telah lama ujud di Pekan Bangar bagi memudahkan para penduduk di daerah ini mendapatkan keperluan harian mereka.


Pada tahun ini, Mukim Bangar telah berada di bawah kepimpinan akar umbi yang baru, Awang Haji Abdul Rahman bin Merusin, yang telah menerima Sijil Lantikan Penghulu Mukim Bangar dan seterusnya membacakan Ikrar dan menandatangani Ikrar Penghulu Mukim Bangar pada 15 Mei 2015 dalam satu majlis yang berlangsung di kediamannya di Kampung Ujong Jalan, Mukim Bangar. Ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei, Awang Haji Abdul Rahman menjelaskan, Mukim Bangar mempunyai sebanyak 19 buah kampung dan Penghulu Mukim Bangar mempunyai tadahan Ketua Kampung sebanyak empat buah iaitu Ketua Kampung Menengah, Ketua Kampung Batang Tuau, Ketua Kampung Puni dan Ujong Jalan dan Ketua Kampung Belingos dengan keramaian sejumlah 2,558 orang penduduk, terdiri dari pelbagai bangsa termasuklah Melayu, Murut, Iban, Cina dan bangsa-bangsa lainnya.

RENCANA 171015 SABTU MUKIM BANGAR TERIMA ARUS PEMBANGUNAN 03PENGHULU Mukim Bangar, Awang Haji Abdul Rahman bin Merusin.

Beliau seterusnya menjelaskan, ke arah memastikan perkembangan bidang pendidikan tunas bangsa di Mukim Bangar, Kementerian Pendidikan telah membina dua buah sekolah rendah di mukim berkenaan iaitu Sekolah Rendah Puni dan Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar. Selain itu, dua buah sekolah pendidikan swasta juga terdapat di Mukim Bangar iaitu Sekolah Suria Jaya dan Sekolah Pai Yuek. Manakala satu-satunya sekolah menengah di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar juga dibina di Mukim Bangar. Sementara itu, bagi memastikan syiar Islam tidak diabaikan, beberapa buah masjid dan sekolah ugama juga dibina di Mukim Bangar.


PENGLIBATAN BELIA


Golongan belia di kampung-kampung di bawah tadahan Mukim Bangar bergiat aktif menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di daerah tersebut baik aktiviti dari segi keugamaan, kesukanan, mahupun kemasyarakatan. Menurut Awang Haji Abdul Rahman, mereka malahan turut dilantik menjadi ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) di bawah tadahan Mukim Bangar ke arah menjayakan dan mengembang majukan lagi Mukim Bangar dan kampung masing-masing.

RENCANA 171015 SABTU MUKIM BANGAR TERIMA ARUS PEMBANGUNAN 04TELUR masin antara produk yang terdapat di Mukim Bangar (atas dan bawah).

RENCANA 171015 SABTU MUKIM BANGAR TERIMA ARUS PEMBANGUNAN 05

RENCANA 171015 SABTU MUKIM BANGAR TERIMA ARUS PEMBANGUNAN 06GOLONGAN wanita di kampung-kampung di bawah tadahan Mukim Bangar bergiat aktif menghasilkan produk
di bawah program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) antaranya pembuatan Karipap Mini MPK Menengah.

Selain itu, golongan wanita di Mukim Bangar juga tidak berdiam diri, malah sebaliknya aktif mengusahakan beberapa produk di bawah program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) antaranya pemerosesan telur masin yang dikendalikan oleh Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Puni dan Ujong Jalan dan pembuatan Karipap Mini MPK Menengah yang diusahakan hasil penglibatan aktif Biro Wanita MPK Menengah, di samping perusahaan-perusahaan lain seperti kraf tangan dan sebagainya. Mengakhiri temu bual, Awang Haji Abdul Rahman melahirkan harapan agar para penduduk di Mukim Bangar akan saling bekerjasama dan bersatu padu ke arah meningkatkan dan memajukan lagi mukim berkenaan khususnya dan Daerah Temburong amnya dari semasa ke semasa. Beliau juga berharap para penduduk Mukim Bangar akan terus komited bagi mengembangluaskan lagi penghasilan 1K1P di bawah tadahan Mukim Bangar bagi membantu pihak kerajaan menjana ekonomi di negara ini.


Attachments