Manage PermissionsManage Permissions

Warta Mukim Berakas 'A' wajar dicontohi

24/10/2015

‚ÄčOleh : Norliah Md. Zain / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman, Mohd. Mahdi Haji Marsidi

menyusur

MUKIM Berakas 'A' merupakan antara sebuah dari 17 mukim yang terdapat di Daerah Brunei dan Muara di negara ini. Selaras dengan pertambahan penduduk danknk perkembangan infrastruktur dari tahun ke tahun, Mukim Berakas telah mula dipecahkan kepada Mukim Berakas 'A' dan 'B' pada tahun 1996. Penghulu pertama bagi Mukim Berakas 'A' adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji A.Ahmad bin Husin, sementara penghulu pertama bagi Mukim Berakas 'B' ialah Allahyarham Haji Ismail bin Apong.


PROFIL


Seramai sembilan orang ketua kampung yang bernaung di dalam Mukim Berakas 'A'. Kampungkampung yang terdapat di dalam Mukim Berakas 'A' ialah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri dan kawasan sekitarnya, Kampung Lambak 'A', Kampung Lambak 'B', Kampung Pancha Delima / Anggerek Desa, Kampung Orang Kaya Besar Imas / Pulaie, Kampung Jaya Setia / Jaya Bakti, Kampung Burong Pingai Berakas, Kampung Delima Satu dan Kampung Serusop. Menurut Laporan Awal Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2011, Negara Brunei Darussalam, Mukim Berakas mempunyai 31,180 orang penduduk dengan 5,321 buah tempat kediaman.


Mukim ini juga menikmati banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti masjid, sekolah-sekolah, klinik, bekalan air, elektrik, telefon dan jalan raya. Kemajuan dari segi infrastruktur di mukim ini juga nampak menonjol dengan adanya bangunan-bangunan kerajaan dan pelbagai bangunan pusat membeli-belah yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

RENCANA 241015 SABTU Warta Mukim Berakas A wajar dicontohi 01AHLI Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji A.Ahmad bin Husin,
penghulu pertama bagi Mukim Berakas 'A'.

Menurut Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji A.Ahmad, selaku Penghulu Mukim Berakas 'A', antara produk-produk yang diusahakan terdapat di mukim ini ialah kain tenunan, pembuatan songkok, kuih-muih dan kimpalan (welding). Tambah Yang Berhormat lagi, antara perusahaan yang sering menjadi tumpuan di mukim ini ialah menyewa pakaian pengantin.


Salah sebuah kampung yang terdapat di mukim ini juga pernah terpilih menyertai Anugerah Kampung Cemerlang peringkat kebangsaan iaitu Majlis Perundingan Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri. Kampung ini telah memperkenalkan produk Minyak Tamu Lawak pada anugerah tersebut. Produk ini telah berjaya mendapat banyak permintaan sama ada dari dalam mahupun luar negeri yang mana ia sering digunakan sebagai minyak urut.


Produk-produk Mukim Berakas 'A' juga pernah dipamerkan sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah dan Rumah Teres Meragang, Rumah Kembar serta Rumah Teres Tanah Jambu dan Kampung Panchor (Mengkubau) di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) serta Rumah Kembar dan Rumah Teres Kampung Mata-Mata (Katok 'B') serta Rumah Teres Kampung Lugu di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara, pada 24 Januari 2015. Pameran itu diadakan di rumah Ketua Kampung Pancha Delima / Kampung Anggerek Desa, iaitu Awang Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya'akub yang juga Pemangku Ketua Kampung Orang Kaya Besar Imas / Pulaie, iaitu sejurus selepas menganugerahkan anak-anak kunci rumah.


Antara produk Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas 'A' yang mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika itu ialah ubat-ubatan tradisional, kuih-muih tempatan, songkok dan kain songket.

RENCANA 241015 SABTU Warta Mukim Berakas A wajar dicontohi 02PENDUDUK Mukim Berakas 'A' juga pernah mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam
sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-29 tahun yang berlangsung di kawasan lapang
Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak.

Sebagai Ahli MMN, Yang Berhormat juga aktif meninjau perkembangan kampung di dalam mukim yang ditadbirnya misalnya mengadakan Majlis Ramah Mesradan Sesi Dialog Penghulu dan Ketua Kampung, Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) di Mukim Berakas 'A' dan Mukim Berakas 'B' Bagi Zon I yangtelah berlangsung pada 30 Disember tahun lalu. Tujuan majlis itu adalah bagi mendengar dan menerima pandangan dan nasihat serta  permasalahan yang ada sekiranya dapat disampaikan dan diterima pada Persidangan MMN. Ia juga adalah bagi membincangkan dan melahirkan idea dalam usaha untuk mendapatkan maklumat dan pandangan yang boleh memberikan sumbangan ke arah meningkatkan kemajuan mukim kampung, kawasan, daerah dan negara.


Mukim ini juga aktif dalam mempersembahkan kesenian melayu Brunei seperti berdondang, syair, deklamasi puisi, tarian asli, lagu-lagu Melayu asli bagi mempertahankan dan mengangkat martabat kebudayaan orang-orang Brunei. Antara lagu-lagu asli yang diperkenalkan ialah Ting kumala tikus, Usin satu sen jadi seratus, Perapat buahnya buntar, Linggayung buah bangkita, Kalau rapat jangan diunjar, Cucu marhum anak pendeta dan Bang inambang telayu-layu utai.


Sementara itu, bagi menyemai rasa
patriotik terhadap negara, penduduk Mukim Berakas 'A' juga pernah mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-29 Tahun yang berlangsung di kawasan lapang Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak.


WARTA MUKIM BERAKAS 'A'


Mukim Berakas 'A' sungguh bertuah kerana mempunyai seorang penghulu yang mempunyai minat mendalam di dalam bidang penulisan. Bakat yang ada tidak disia-siakan dengan adanya usaha menerbitkan Warta Mukim Berakas 'A' yang rasanya tidak banyak mukim yang mampu berbuat demikian.


Tambahan lagi mukim ini juga aktif mengadakan acara-acara sama ada pada peringkat mukim atau pun kampung membuatkan warta ini dapat di isi dengan bahan-bahan berita mengenai aktiviti-aktiviti tersebut.

RENCANA 241015 SABTU Warta Mukim Berakas A wajar dicontohi 03SEBAHAGIAN daripada Warta Mukim Berakas 'A' yang telah terbit.

Warta Mukim Berakas 'A' telah dilancarkan pada 29 Januari 1997 oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara ketika itu, Dato Paduka Haji Mohd. Kassim bin Haji Johan. Warta ini memaparkan bahan-bahan berita mengenai aktiviti-aktiviti sekitar Mukim Berakas 'A'. Warta ini merupakan antara media maklumat penghulu dan ketua-ketua kampung Mukim Berakas 'A' dalam mengetengahkan kegiatan-kegiatan yang diadakan, di samping memuatkan sejarah-sejarah dan kejayaan yang dicapai oleh penduduk kampung.


Bermula dengan cetakan hitam putih dan sekarang berwarna, warta yang mengandungi 12 muka surat ini lazimnya dicetak sebanyak 3,000 naskhah dengan perbelanjaan sendiri yang kemudiannya diagih-agihkan kepada ketua-ketua kampung, para penduduk dan juga jabatan-jabatan kerajaan.


Dengan adanya usaha menerbitkan warta ini, mudah-mudahan ia dapat menjadi pendorong kepada mukim-mukim yang lain kerana ia boleh menjadi penyambung maklumat kepada para penduduk kampung danmenjadi ristaan kepada anak bangsa.


Attachments