Manage PermissionsManage Permissions

Mendekati RPN Rimba Kawasan I

02/01/2016

‚ÄčOleh : Norliah Md. Zain / Foto : Jabatan Penerangan

LOGO KNK 2016TERLETAK di Mukim Gadong A, ruangan ini akan menyingkap mengenai latarbelakang dan kehidupan penduduk kampung bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba Kawasan I. Kampung ini adalah di bawah pentadbiran seorang Ketua Kampung, Awang Adanan bin Taha.

Menurut Awang Adanan, kampung ini mula didiami kira-kira 21 tahun yang lalu iaitu pada Julai 1994. Dari sumber yang beliau perolehi, kawasan kampung ini pada mulanya adalah kawasan tempat berpadi dan menanam buah-buahan seperti nenas bagi penduduk Kampung Tungku. Beliau difahamkan ketika itu penduduk Kampung Tungku berjalan kaki sejauh lima ke enam kilometer untuk menuju ke kawasan tersebut.

Ujarnya lagi, Jalan 3 Kawasan I RPN Rimba merupakan tapak yang mula-mula sekali dibentuk dari seluruh kawasan RPN Rimba pada masa ini.

Memandangkan kampung ini merupakan perumahan bagi orang awam, selain bangsa Melayu, kampung ini turut dihuni sebilangan masyarakat Cina.

Sebanyak 251 buah rumah yang terdapat di kawasan ini yang mana 45 buah rumah daripadanya dihuni masyarakat cina manakala selebihnya adalah Melayu.

Secara keseluruhan kawasan ini dihuni oleh 2600 penduduk yang kebanyakannya bekerja dengan pihak kerajaan, di samping swasta.

RENCANA KNK 01 SABTU 02012016 MENDEKATI RPN RIMBA KAWASAN I

KETUA Kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba Kawasan I, Awang Adanan bin Taha.

Di kampung ini, sejumlah 190 orang penerima pencen tua, 98 orang menerima bantuan kebajikan, enam orang fakir miskin, 34 orang anak yatim dan enam orang muallaf.

AKTIVITI

Setibanya bulan puasa, kampung ini sangat aktif menganjurkan acara-acara keagamaan iaitu bersedekah dengan mengagih-agihkan makanan yang setentunya bagi meraih ganjaran yang berlipat ganda pada bulan yang penuh keberkatan itu.

Buat pertama kalinya, pada 10 Julai 2013, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Rimba Kawasan I mengagihkan lebih 500 bungkusan Bubur Lambuk di Gerai Ramadan, RPN Rimba.

Atas kesepakatan para ahli MPK aktiviti seumpama itu kemudiannya dijadikan sebagai aktiviti tahunan MPK tersebut di mana pada 29 Jun 2014 sebanyak 500 plastik Bubur Lambuk di tempat yang sama.

Kemudian pada 18 Jun 2015, MPK Rimba Kawasan 1 telah mengagihkan lebih 300 bungkus mi goreng di Gerai Ramadan, RPN Kampung Rimba.

RENCANA KNK 03 SABTU 02012016 MENDEKATI RPN RIMBA KAWASAN I

AKTIVITI pengagihan makanan Bubur Lambuk yang pernah dikendalikan oleh MPK RPN Rimba Kawasan I.

Kesemua makanan-makanan tersebut disedekahkan kepada para pengunjung dan orang ramai yang melalui jalan di kawasan gerai berkenaan.

Gerai Ramadan itu mengalami penambahan petak saban tahun yang disertai oleh kebanyakan para peniaga yang berjaja dari kawasan kampung tersebut. Dengan itu, para penduduk kampung dapat menambah pendapatan terutama golongan muda yang berkecimpung dan membantu keluarga. Dengannya, mereka dapat menyemai sifat berdikari dan mandiri, di samping mengisi masa terluang dengan perkara yang berfaedah.

Kampung ini juga amat memeduli golongan yang memerlukan dengan mengadakan majlis ibadah korban yang mana daging-daging ibadah korban diagihkan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan orang-orang yang berhak menerimanya.

Ibadah korban yang mula dianjurkan pada tahun 2008 itu merupakan hasil kerjasama daripada penduduk kampung. Oleh itu, pada setiap tahun pihak MPK membukakan penyertaan bagi mereka yang ingin menyertai ibadah tersebut.

RENCANA KNK 02 SABTU 02012016 MENDEKATI RPN RIMBA KAWASAN I

PENGAGIHAN daging ibadah korban kepada orang-orang yang berhak menerimanya.

Aktiviti tahunan itu diadakan bagi mengeratkan tali silaturahim sesama MPK dan penduduk kampung, di samping untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain aktiviti keagamaan, penduduk kampung di sini juga aktif di dalam turut serta dan bekerjasama dengan pertubuhan NGO, iaitu Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA). BASMIDA adalah sebuah pertubuhan antidadah di Negara Brunei Darussalam, yang ditubuhkan pada bulan Mac 1987.

Penyertaan penduduk kampung terutama para belia bersama BASMIDA menunjukkan kepekaan mereka dalam melakukan aktiviti-aktiviti antidadah di seluruh negara secara sukarela.

Semoga kemakmuran dan kehidupan yang penuh harmoni sentiasa berpanjangan di kampung ini.


Attachments