Manage PermissionsManage Permissions

Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda masa kini

07/11/2015

Oleh: Abu Bakar Haji Abdul Rahman dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei

menyusur

knk

TAHUKAH awda pada mulanya Berakas merupakan sebuah kampung yang sangat luas namun sejak pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ia telah dibahagikan kepada dua bahagian menjadi Mukim Berakas 'A' dan Mukim Berakas 'B' disebabkan oleh kepesatan sektor pembangunan termasuk pembangunan perumahan.


Mukim Berakas 'A' mempunyai beberapa buah kampung termasuk beberapa kawasan perumahan yang dipimpin oleh Yang Berhormat Awang Haji A.Ahmad bin Husin dan salah sebuah kampung yang terkandung di dalamnya ialah Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda.


Menyebut tentang kampung ini masyarakat di negara ini pada umumnya lebih mengenal nama panggilan Kampung Delima atau Kampung Delima Satu sahaja berbanding dengan nama penuhnya itu.

rencana 071115 sabtu kampung delima satu 01

SALAH satu pembangunan infrastruktur yang ketara di Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda 

ialah pusat komersialnya yang menawarkan pelbagai keperluan.

Untuk mengetahui lebih lanjut, Ketua Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda, Pengiran Roslan bin Pengiran Haji Tuah menceritakan.


MENGENALI ASAL USUL


Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda merupakan sebuah kampung yang tapak kawasannya adalah kurnia Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien (Al-Marhum Seri Begawan) bermula pada tahun 1952.


Bermula saat itu sebahagian daripada para penduduk di Kampung Bakut Pengiran Siraja Muda di Kampong Ayer sedikit demi sedikit mula berpindah bagi mendapatkan kawasan perumahan tersebut seluas dua ekar bagi setiap satu keluarga.


Awang Sugut bin Mahat dan Pengiran Haji Buntar bin Pengiran Sulaiman merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kawasan yang telah diberikan itu untuk diperlaksanakan wujudnya kampung berkenaan.

rencana 071115 sabtu kampung delima satu 02

KETUA Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda, Pengiran Roslan bin Pengiran Haji Tuah 

ketika menceritakan susur galur ketua kampung berkenaan dari dulu hingga sekarang.

Luas kawasan bagi kampung tersebut pada ketika itu bermula dari kawasan Pusing Keliling dan Stesen Minyak TAIB, Berakas sehinggalah membawa ke kawasan Bangunan Hua Ho Mall Manggis di Jalan Muara, manakala lebarnya pula menjangkau ke sebahagian kawasan Kampung Orang Kaya Besar Imas.


Pada mulanya, kebanyakan kawasan yang dianugerahkan ditanami dengan tanaman padi.


Menyentuh dengan nama Kampung Delima Satu ia diambil bersempena dengan nama sepohon pokok buah delima yang ditanam oleh Awang Sugut bin Mahat di belakang rumahnya.


Nama delima tersebut telah dibawa dalam perbincangan bersama penduduk-penduduk kampung yang akhirnya dipersetujui untuk menamakan kampung berkenaan sebagai Kampung Delima Satu.

rang yang diamanahkan untuk memimpin kampung pada ketika itu selaku ketua kampung yang pertama ialah Awang Sugut bin Mahat. Setelah Awang Sugut bin Mahat meninggal dunia pada tahun 1957 dan pada tahun 1958 Pengiran Haji Buntar bin Pengiran Sulaiman telah mengambil alih tugas selaku ketua kampung berkenaan.


Semasa memimpin kampung tersebut, Pengiran Haji Buntar telah mencadangkan agar nama Kampung Delima Satu dan Pengiran Siraja Muda disatukan dan cadangannya itu telah dipersetujui sehingga ke hari ini dikenali dengan nama Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda.

rencana 071115 sabtu kampung delima satu 03

KUMPULAN Tausyeh yang terus giat dijalankan oleh kaum wanita di kampung berkenaan.

Malah nama tersebut juga telah mendapat perkenan apabila pada 14 Januari 1964, Al-Marhum Seri Begawan melalui Pegawai Daerah Brunei dan Muara telah memperkenankan nama yang telah dicadangkan itu.


Sejak saat itu maka rasmilah nama Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda. (Tarikh ini adalah berdasarkan tarikh yang didaftarkan daripada Pegawai Daerah Brunei dan Muara yang mana sijil akuan rasminya masih disimpan oleh Pengiran Haji Tajuddin bin Pengiran Haji Buntar (anak Allahyarham Pengiran Haji Buntar bin Pengiran Sulaiman).


Sebelum Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda ini diterokai, terdapat satu kawasan tempat tinggal Puak Kedayan, ini berpandukan kepada tanah perkuburan yang masih ada dan salah satu nama yang masih diingati itu ialah nama 'Datu Kuncang' dan tanah perkuburan lama serta batu nisan yang masih ada di Simpang 579, Jalan Kebangsaan Lama dan Simpang 179, Jalan Delima Dua, ujar Pengiran Roslan.


Namun menurut catatan Pusat Sejarah Brunei, iaitu menerusi hasil kajian mereka melalui pengkisah cerita, Pengiran Haji Chuchu bin Pengiran Abdul Rahim yang merupakan salah seorang yang terlibat semasa perpindahan tersebut menceritakan.


Menurutnya, asal mula kampung tersebut adalah berpunca daripada sepohon pokok delima yang ditanam oleh Awang Sugut bin Mahat di hadapan rumahnya.


Sebelum bernama Kampung Delima Satu, kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Sungai Agat yang dihuni oleh orang-orang darat yang pekerjaan mereka adalah bercucuk tanam.


Pada ketika itu juga kebanyakan penduduk darat ini bekerja sebagai penoreh getah di Kompeni Estate Berakas selain bekerja dengan kerajaan.


Pada tahun 1955, atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah mengurniakan lot-lot tanah sebanyak dua ekar setiap satu keluarga bagi rancangan perpindahan pertama penduduk Kampong Ayer, iaitu terdiri dari Kampung Bakut Pengiran Siraja Muda, Kampung Pandai Besi dan Kampung Setia Pahlawan.


Setelah lebih setengah abad bertapak, Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda kini terus mengalami perkembangan dan pembangunan yang pesat terutama dalam mengharungi saingan kemajuan yang bermula dari sebuah kawasan bercucuk tanam menjadi sebahagian dari kawasan Bandar Seri Begawan bermula 1 Ogos 2007.


Sebagai sebuah kampung dalam bandar, Kampung Delima Satu Pengiran Siraja Muda juga tidak terlepas dari menikmati dari pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam memenuhi tuntutan kebajikan rakyat dan penduduk di dalamnya sebagaimana yang dinikmati oleh kampungkampung yang lain di negara ini.


Malah kampung ini juga sangat terkenal dengan kompleks komersialnya yang menawarkan berbagai-bagai pilihan kepada pelanggannya, di samping sering menjadi tumpuan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri untuk berbelanja selain mempunyai satu pusat penjagaan kanak-kanak.


Bagi memastikan keselamatan kampung ini sentiasa terjamin, ketua kampung berserta ahli-ahli majlis perundingan kampungnya bersama Pasukan Polis Diraja Brunei sentiasa bekerjasama dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah serta perkara-perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara dengan melakukan operasi kejiranan, iaitu melakukan rondaan pada waktu malam.


Sementara kumpulan tausyeh yang diwujudkan beberapa tahun lalu merupakan salah satu aktiviti penduduk kampung ini khususnya kaum wanita.


Dengan menerima sambutan yang sangat menggalakkan, kumpulan tausyeh ini sering mengikuti berbagai-bagai pertandingan yang dianjurkan oleh berbagai-bagai pihak selain mendapat tempahan untuk membuat persembahan daripada pihak-pihak tertentu termasuk pihak persendirian dan juga jabatan-jabatan kerajaan.

Attachments