Manage PermissionsManage Permissions

HLP bantu pelajar luar bandar

28/05/2016

‚ÄčOleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim / Foto : Ihsan peserta HLP

UNIVERSITI Brunei Darussalam (UBD), institusi pendidikan tinggi di negara ini yang menjadi anganan dan pilihan pertama setiap para cendekiawan yang ingin menimba ilmu pengetahuan. Selain melahirkan para cerdik pandai atau graduan yang berkualiti, UBD juga melahirkan para ilmuwan yang sedia berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat. Ini dapat dilihat dengan budi yang diberikan melalui pengendalian kelas-kelas tambahan di salah sebuah rumah panjang di Daerah Temburong, iaitu Rumah Panjang Kampung Amo 'B' oleh sekumpulan mahasiswa / mahasiswi UBD melalui salah satu program yang dipanggil 'Human Library Project' atau HLP.

Menurut Ketua HLP (Februari 2016), Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin bin Haji Abd. Momin projek yang diungkayahkan oleh mahasiswa mahasiswi UBD yang sedang menjalani Community Outreach Program (COP) pada Tahun Ke-3 dalam pengajian mereka itu berkonsepkan library dengan mengetengahkan mahasiswa-mahasiswi UBD yang bertindak sebagai sumber rujukan ilmu. Mereka bukan sahaja mengongsikan ilmu pengetahuan, tetapi juga pengalaman-pengalaman yang berguna kepada penuntut-penuntut yang mengambil bahagian dalam projek berkenaan. Ia merupakan salah satu alternatif selain dari kaedah konvensional seperti membaca buku dan sebagainya.

''Dalam projek ini, mahasiswa mahasiswi UBD akan cuba membantu pelajar-pelajar untuk mengatasi kelemahan-kelemahan mereka dalam pelajaran sekali gus menambah ilmu pengetahuan mereka,'' jelasnya.

RENCANA 01 SABTU 28052016 HLP bantu pelajar luar bandar

KREATIF ... Pelajar luar bandar ini tidak kurang juga kreatifnya dalam melaksanakan pembelajaran mereka.

Berperanan sebagai human libraries, Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin menjelaskan, para mahasiswa mahasiswi terbabit menyebarkan bukan saja ilmu pengetahuan, tetapi juga pengalaman yang hidup yang bermanfaat. Sepanjang projek dijalankan, mereka mengendalikan kelas-kelas tambahan kepada penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah Kampung Amo dan sekitarnya yang disampaikan melalui aktiviti-aktiviti berpengetahuan yang menyeronokkan supaya proses pembelajaran lebih menarik.

MENDAPAT SAMBUTAN

HLP merupakan hasil usaha UBD bersama dengan Majlis Perundingan Kampung Amo. Projek pertama HLP ialah pada tahun 2013 dan disertai oleh 15 pelajar. Walaupun menerima penyertaan yang sedikit pada awal pelaksanaannya, Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin menjelaskan, penyertaan para pelajar terhadap projek tersebut menunjukkan peningkatan setelah beberapa semester. Memandangkan sambutan yang semakin menggalakkan itu, mahasiswa mahasiswi UBD yang terlibat telah mengadakan beberapa jualan dan acara-acara amal untuk mengutip dana bagi membiayai HLP terutamanya dari segi logistik dan bahan-bahan mengajar.

Manakala pelaksanaan HLP kali ini, iaitu pada 10 Februari 2016 yang lalu, Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin seterusnya menjelaskan bahawa sambutan adalah menggalakkan di mana seramai 40 pelajar terdiri daripada pelajar-pelajar dari Kindergarden dan sehingga Tahun 6 telah didaftarkan. Tanpa diduga, ujarnya lagi, pihak mereka juga menerima permohonan penuntut-penuntut di peringkat menengah dan oleh yang demikian para penuntut terbabit didaftarkan dalam HLP dengan kelas-kelas yang berbeza dengan penuntut-penuntut pada peringkat rendah disebabkan kepadatan jadual.

RENCANA 02 SABTU 28052016 HLP bantu pelajar luar bandar

KANAK-KANAK luar bandar nampak selesa dan ceria sepanjang proses pembelajaran yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa mahasiswi UBD (atas dan bawah).

RENCANA 03 SABTU 28052016 HLP bantu pelajar luar bandar

PROSES PEMBELAJARAN

Menyentuh mengenai proses pembelajaran pula, Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin menjelaskan, pembelajaran dibuat berkonsepkan kelas tambahan di mana guru-guru HLP kali ini mengadakannya pada sebelah malam, setiap hari Isnin hingga Jumaat. Metode yang digunakan pula agak berlainan. Mengambil contoh dari segi teknikal beliau menjelaskan guru-guru HLP lebih banyak mengadakan aktiviti-aktiviti sambil belajar di dalam kelas (belajar sambil berhibur) dengan tujuan agar proses pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan mampu menarik perhatian pelajar-pelajar untuk lebih fokus dan lebih berminat kepada subjek yang diajarkan.

IMPAK POSITIF

Projek kemasyarakatan seumpama ini setentutnya memberikan impak yang positif khasnya kepada pelajar-pelajar dan penduduk Kampung Amo amnya. Begitu juga dalam kalangan para mahasiswa-mahasiswi UBD yang menjadi guru-guru HLP. Menurut Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin, selain dari perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman bersama pelajar-pelajar, guru-guru HLP secara tidak langsung menimba pengalaman baharu dan pengetahuan tentang sosiobudaya masyarakat di Kampung Amo dan sekitarnya.

Selain dari itu katanya lagi, terdapat perkembangan positif pada pelajar-pelajar yang menyertai HLP terutamanya dari segi akademik. Tahap kefahaman mereka dalam pelajaran terutamanya dalam subjek-subjek yang sukar semakin bertambah. Keberadaan guru-guru HLP katanya lagi, bukan saja sebagai penyalur ilmu pengetahuan, tetapi juga sebagai wadah motivasi kepada pelajar-pelajar. Kemesraan yang terjalin di antara guru-guru dan pelajar-pelajar menjadikan mereka lebih berani untuk tampil dan mengutarakan persoalan-persoalan yang tidak dapat mereka jawab. Ini sangat sesuai untuk dijadikan sandaran pada masa akan datang.

RENCANA 04 SABTU 28052016 HLP bantu pelajar luar bandar

KETUA HLP (Februari 2016), Awang Muhammad Hafiz Muizzuddin bin Haji Abd. Momin (dua, kiri) bergambar bersama para pensyarah, Ketua Rumah Panjang Kampung Amo 'B' dan mahasiswa-mahasiswi UBD sempena dengan projek tersebut.

HARAPAN

Beliau berharap projek berkenaan akan berterusan kerana sangat berfaedah kepada semua pihak yang terlibat. Di samping usaha mahasiswa-mahasiswi UBD yang terlibat dalam projek ini mengumpulkan dana bagi pembiayaannya, para mahasiswa / mahasiswi yang terlibat dalam mengendalikan projek tersebut juga berharap semoga ada pihak-pihak yang berkesudian untuk memberikan sumbangan bagi menjayakan projek berkenaan. Mereka seterusnya berharap HLP dapat dijadikan pemangkin dalam memberi kesedaran kepada para sukarelawan supaya turut serta dalam projek berkenaan. Dengan adanya penglibatan sukarelawan tersebut ujarnya lagi, projek seumpama ini akan dapat diadakan secara berterusan, malah bukan saja terhad di Daerah Temburong, tetapi juga di seluruh daerah.

Majlis penutup projek berkenaan bagi semester kali ini telah diadakan di Rumah Panjang Kampung Amo 'B', Mukim Amo, Daerah Temburong pada 22 Mei yang baru lalu yang dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru yang terlibat dalam projek tersebut, disempurnakan oleh Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, Pengiran Dr. Haji Muhammad bin Pengiran Haji Damit. Semoga projek seumpama ini dapat membantu dalam mencapai Wawasan Negara 2035 dan menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mahukan negara ini melahirkan belia-belia yang berilmu.


Attachments