Manage PermissionsManage Permissions

Jabatan Sekolah-Sekolah hulur derma BND18,582



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 April. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) telah menghulurkan bantuan derma berupa wang tunai berjumlah BND18,582 kepada 38 pelajar mangsa kebakaran rumah dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Kementerian Pendidikan, di sini.

Pelajar-pelajar tersebut merupakan mangsa kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Sungai Asam, Kampung Lurong Dalam, Kampung Pandai Besi dan Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara; Kampung Sungai Tanit, Bangar, Daerah Temburong dan Flat kediaman F6, Penanjong Kem, Daerah Tutong.

Para pelajar menerima bantuan sebanyak BND489 setiap seorang.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Awang Haji Abdul Rahim bin Derus selaku tetamu kehormat majlis.

Terdahulu, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), JSS, Awang Haji Mohd. Sharifuddin bin Haji Mohd. Salleh dalam ucapannya berkata, sumbangan derma yang dihulurkan diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban hidup yang dialami pelajar terutama dalam meningkatkan kemajuan dalam bidang pelajaran.

Selain itu, tambahnya, ia juga diharap akan digunakan bagi perkara-perkara yang berfaedah.

Sumbangan yang dihulurkan itu jelasnya, adalah sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap musibah yang menimpa para pelajar berkenaan.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Awang Zaman bin Haji Ghafar; pegawai-pegawai kanan JSS; pengetua; guru besar dan guru-guru dari sekolah-sekolah yang berkenaan serta ibu bapa juga penjaga pelajar-pelajar yang terlibat.
Close