Manage PermissionsManage Permissions

Skim Perkhidmatan Penghulu, Ketua Kampung 2013: Dikuatkuasakan 1 April 2015



Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman


MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Mei. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei  Darussalam telah memperkenankan bagi penguatkuasaan Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung tahun 2013 bermula 1 April 2015 bagi menggantikan Skim Tahun 1998.
Baginda seterusnya juga telah memperkenankan langkah pengemaskinian pendaftaran pengundi dan tatacara pengundian bagi pemilihan Ketua Kampung.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyatakan perkara tersebut  pada Majlis Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung yang baru di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Tujuan utama Skim Perkhidmatan baru itu jelas  Yang , ialah bagi mempertingkat, memperkukuh dan memantapkan lagi kewibawaan, mutu atau kualiti kepimpinan serta keberkesanan Institusi Penghulu dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan akar umbi dengan memupuk semangat kewarganegaraan yang baik dalam mendokong kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Institusi Penghulu dan Ketua Kampung yang diakui atau diiktiraf sebagai teras kepimpinan akar umbi yang berwibawa, tegas Yang Berhormat,  perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan.

Yang Berhormat berpendapat, cara untuk memperkukuh dan memantapkannya ialah dengan sentiasa menjamin adanya kepimpinan yang bermutu lagi berkesan oleh Penghulu Mukim dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan di peringkat akar umbi.

Maka menurut Skim baru ini tambahnya, orang yang pada masa ini menyandang jawatan Penghulu dan Ketua Kampung dan orang yang pada masa hadapan dilantik kejawatan penghulu dan ketua kampong adalah dan hendaklah individu yang berkebolehan membawakan kepimpinan yang berkesan dan berkualiti  kepada anak buah masing-masing di mukim dan di kampung.

Oleh itu, Skim tersebut jelas Yang Berhormat meliputi perubahan kepada syarat kelayakan akademik, di samping kelayakan kepimpinan, had umur memasuki perkhidmatan dan had umur dalam perkhidmatan.

Menurut Yang Berhormat, dari segi umur, Skim baru mensyaratkan calon hendaklah berumur tidak kurang daripada 45 tahun dan tidak lebih 55 tahun bagi dicalonkan untuk jawatan Ketua Kampung dan tidak kurang 45 tahun dan tidak lebih 60 tahun bagi calon penghulu, yang mana sebelumnya adalah 30 dan 60 tahun bagi calon ketua kampong dan 40 dan 60 tahun bagi calon penghulu.

140515 MASRI4 TAKLIMATSEBAHAGIAN Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.

Dalam hal ini jelas Yang Berhormat, Penghulu Mukim dan Ketua kampung yang baru dilantik akan berkhidmat selama sepuluh tahun, dan ia tertakluk kepada penilaian prestasi bagi perkhidmatan lima tahun pertama.

Setelah sepuluh tahun tambahnya, perlantikan semula adalah melalui proses pencalonan dan pengundian yang diadakan di mana jika terpilih barulah akan dilantik untuk tempoh lima-lima tahun sehingga mencapai umur 70 tahun.

“Tegasnya, prestasi seorang ketua kampung dan penghulu mukim tidak sahaja akan dinilai oleh Pegawai Daerah. Penduduk kampung dan mukimnya juga akan berperanan menentukan sama ada penghulu dan ketua kampung masing-masing layak meneruskan perkhidmatan setelah sepuluh tahun”, terang Yang Berhormat.

Sambil itu dalam waktu yang sama ujarnya, peluang adalah terbuka bagi calon-calon baru untuk tampil menawarkan diri berkhidmat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, penduduk kampung dan mukim pula akan mempunyai pilihan antara ketua kampung dan penghulu mukim yang telah diketahui tahap prestasi dan mutu kepimpinan masing-masing dengan calon atau calon-calon baru yang mungkin lebih berkelayakan serta berkebolehan memberikan kepimpinan peringkat akar umbi yang berkesan.

Skim baru ini katanya, juga memperkenalkan jawatan-jawatan ketua kampung dan penghulu yang baru dengan menjadikannya tiga peringkat dengan sukatan gaji yang baru serta pemberian elaun-elaun tetamu, perhubungan dan perjalanan.

Jelas Yang Berhormat, dalam skim baru ini akan ada jawatan penghulu dan jawatan Ketua Kampung Tingkat III, Tingkat II dan Tingkat I dengan sukatan gaji baru.

Menurutnya, skim baru ini memberikan ruang bagi kenaikan pangkat dalam jawatan penghulu dan ketua kampung yang tiada terdapat dalam skim lama.

Sementara itu, khas bagi jawatan Ketua Kampung ujarnya ianya membuka peluang bagi orang yang baru dilantik ke jawatan ketua kampung diberikan laluan direct entry, jika memenuhi syarat kelayakan akademik dan pengalaman kerja dalam pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan.

Yang Berhormat berkata, sukatan tanggagaji ketua kampung yang pada masa ini setakat C1-2 EB3 menurut Skim lama adalah diubah menjadi sebanding C1-2 EB3 bagi jawatan Ketua Kampung Tingkat III; C3-4 EB5 bagi jawatan Ketua Kampung Tingkat II, dan B2 EB3 bagi jawatan Ketua Kampung Tingkat I.

Tambahnya, sukatan tanggagaji jawatan Penghulu Mukim yang pada masa ini setakat C3-EB4 menurut Skim lama adalah diubah menjadi sebanding B3 bagi jawatan Penghulu Tingkat III; Kumpulan 3 bagi jawatan Penghulu Tingkat II; dan Kumpulan 2 bagi jawatan Penghulu Tingkat I.

“Perlu disebutkan bahawa perubahan tanggagaji ini adalah menimbang  kepada kelayakan-kelayakan akademik yang juga diubah dan ditingkatkan daripada kelayakan-kelayakan akademik dalam skim lama”, terang Yang Berhormat.

Dalam pada itu jelasnya, kesemua pemegang jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di dalam Skim Pekrhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung 1998 yang lama akan diserapkan ke dalam skim yang baru itu tertakluk kepada peraturan dan syarat-syarat skim baru.

Close